Saturday 2 July 2011

Hadis 3: Rukun-rukun Islam

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis ke-3 dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah. Hadis ini tidaklah terlalu panjang, namun penting kerana meliputi tonggak-tonggak dalam agama Islam.

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;

“Islam dibina di atas 5 perkara; Penyaksian bahawa tiada Tuhan (Ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan Solat, menunaikan Zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah dan Puasa bulan Ramadhan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Makna Perkataan:


Kenapa Hadis Ini Penting?

Hadis ini sangat agung kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah Islam dan menghimpunkan hukum hakamnya.

Di dalamnya terdapat pengenalan kepada agama dan persoalan-persoalan yang berhubung dengannya serta himpunan rukun-rukunnya.

Rukun-rukun ini terdapat nasnya di dalam al-Quran.

Pengajaran Hadis Buat Kita

1. Rasulullah SAW mengumpamakan Islam yang dibawanya dengan binaan kukuh yang tegak di atas asas dan dasar yang tetap lagi mantap.

2. Baginda menjelaskan bahawa dasar pembinaan Islam tersebut adalah:

i) Mengucap Dua Kalimah Syahadah:

Makna syahadah ini ialah mengakui kewujudan Allah SWT dan keesaan-Nya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW dan Risalahnya.

Rukun ini umpama asas jika dinisbahkan dengan rukun-rukun yang lain.

Dengannya, seseorang terkeluar dari daerah kekufuran dan melayakkannya memasuki Syurga seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyebut La ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan, nescaya dia akan masuk syurga.” (HR al-Bazzar)

ii) Mendirikan Solat.

Yang dikehendaki adalah menjaga Solat dan mendirikannya dalam waktu, serta menyempurnakan syarat dan rukun, serta menjaga adab dan sunatnya.

Dengan menjaga kesemua aspek di atas, Solat akan memberikan kesan positif kepada diri Muslim seperti firman Allah SWT:

“…Dan dirikanlah Solat (dengan tekun), sesungguhnya Solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar…” (Al-Ankabut 29: 45)

Solat juga merupakan syiar dan tanda bagi seorang Mukmin, sabda Rasulullah SAW:

“Pemisah di antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan Solat.” (HR Muslim dan lainnya)

Sabda Baginda SAW lagi: “Solat itu tiang ad-Din.” (HR Abu Nua’im)

iii) Mengeluarkan Zakat.

Iaitu mengeluarkan bahagian tertentu daripada harta (yang cukup nisab dan memenuhi syarat-syarat wajib Zakat) kepada fakir miskin dan mereka yang berhak menerimanya.

Zakat adalah ibadah harta-benda. Dengannya akan terlaksana keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan kepapaan, serta melahirkan kasih-sayang, kemesraan dan rasa saling hormat-menghormati di antara sesama Muslimin.

Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang berusaha membersihkan harta mereka (dengan menunaikan Zakat harta itu).” (Al-Mukminuun 23: 4)

“Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya (menjadi) hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Al-Maarij 70: 24-25)

iv) Mengerjakan Haji di Baitullah.

Iaitu pergi ke Masjidil Haram pada bulan-bulan Haji (Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah) bagi melaksanakan ibadah yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW.

Haji merupakan ibadah harta-benda dan tubuh badan. Ia memberi banyak manfaat kepada individu dan masyarakat.

Ia juga menjadi perhimpunan (muktamar) Islam yang terbesar dan peluang terbaik bagi seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia bertemu.

Ibadah Haji difardhukan pada tahun ke-6 Hijrah dengan turunnya firman Allah SWT:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjaka ibadah Haji dengan mengunjugi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Ali Imran 3: 97)

“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadah Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-bintang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Al-Hajj 22: 27-28)

v) Berpuasa di bulan Ramadhan.

Puasa pada bulan Ramadhan telah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, iaitu dengan turunnya firman Allah SWT:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu…” (Al-Hajj 22: 27-28)

Puasa adalah ibadah yang terdapat padanya perbersihan jiwa, ketinggian ruh, dan kesihatan tubuh badan.

Barangsiapa berpuasa kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan menuntut keredhaan-Nya, maka ia (Puasa) merupakan penghapus keburukan dan menjadi sebab memasuki Syurga.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)


3. Sesiapa yang melakukan semua rukun ini, dia adalah Muslim yang sempurna Imannya.

i. Tapi, sesiapa yang yang meninggalkan semuanya, dia adalah kafir secara qat’ie (muktamad).

ii. Sesiapa yang mengengkari salah satu daripadanya, ulama’ bersepakat mengatakan bahawa dia bukanlah Muslim.

iii. Sesiapa beriktiqad (tentang kewajipan kesemuanya) namun mencuaikan salah satu daripadanya (selain Syahadah) kerana malas, maka dia adalah Fasiq.

iv. Sesiapa yang melakukannya dan hanya mengakuinya dengan lidah secara berpura-pura, maka dia adalah Munafiq.


4. Matlamat Ibadah di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang zahir sahaja, tetapi yang dikehendaki dengan Ibadah adalah tujuan, makna dan pelaksanaannya.

i. Oleh itu, tiada manfaat Solat yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, serta Puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kemaksiatan. Begitu juga tidak diterima Zakat atau Haji yang dilakukan kerana riak dan inginkan kemasyhuran.

ii. Tetapi, tidak bererti kita boleh meninggalkan Ibadah jika tidak tercapai hasilnya. Yang dikehendaki adalah kita berusaha membawa diri agar ikhlas beribadah dan cuba mencapai segala tujuannya.


5. Akhir sekali, difahami daripada hadis ini bahawa Islam adalah Akidah dan Amalan. Tiada guna Amalan tanpa Iman, dan sebaliknya tiada guna Iman tanpa Amalan.

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto





1 comment:

momoiro mojako said...

Assalamualaikum..jzkk utk sharing yg bermanfaat ni. Utk penambahbaikkan di masa hadapan, mungkin saudara/i memperbaiki dalil Al-Quran yg menyokong ibadat puasa utk bulan Ramadhan.Potongan ayat tersebut dipetik daripada surah Al-Baqarah :185 bukan daripada Al-Hajj.

Keep writing and May Allah blessed your effort =)