Friday, 15 July 2011

6. Tahun Kesedihan dan Dakwah ke Taif

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan betapa kesedihan ditinggalkan orang-orang yang dikasihi, tidak melemahkan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Tahun Kesedihan (Tahun ke-10 Kerasulan).
  
1. Abu Tolib, bapa saudara Nabi SAW yang kuat mempertahankan Baginda meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman. Nabi SAW bersungguh-sungguh mendesak agar Abu Tolib ucapkan syahadah ketika terbaring nazak, namun dia enggan kerana takut dapat malu dari kaumnya.

2. Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah merahmati dan mengampuni kamu. Aku akan terus memohon keampunan untukmu sehinggalah Allah menegahku.”

3. Lalu, Allah SWT menurunkan wahyu yang melarang Nabi dan orang beriman berbuat demikian:

"Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam." (At-Taubah 9: 113)

4. Apabila Abu Tolib meninggal, musyrikin Quraisy yang dahulunya segan dan gerun kepadanya mula bertindak kasar kepada Nabi SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Kadang-kadang ada kaum kerabat Da'I yang tidak bersamanya, tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Oleh itu, sentimen kabilah dan kekeluargaan boleh digunakan oleh Da’I untuk melindungi Dakwah selagi mana dia tidak seiringan melakukan kemungkaran bersama mereka.


5. Isteri tercinta Nabi SAW, Khadijah RA juga kemudiannya meninggal dunia pada tahun yang sama. Khadijah RA dulunya banyak berperanan ringankan kerungsingan dan kesedihan Baginda SAW dalam hadapi permusuhan Quraisy.

Khadijah RA juga banyak infaqkan harta bendanya untuk Dakwah. Dengan ketiadaan Abu Tolib dan Khadijah RA, tekanan dan perbuatan menyakiti Rasulullah SAW semakin hebat.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Isteri solehah yang beriman dengan kebenaran Dakwah dan perjuangan akan permudahkan banyak kesulitan yang dialami oleh Da’I. Isteri akan meringankan kerungsingan Da’I dan membangkitkan semangatnya untuk terus berdakwah serta teguh di atas jalannya.

Khadijah RA adalah contoh terbaik bagi seorang isteri yang yakin pada Dakwah dan Kebenaran. Kehilangannya menyebabkan Rasulullah SAW bersedih hati dan sugul. 

 B. Dakwah ke Taif.
  
1. Selepas kematian Abu Tolib dan Khadijah, Rasulullah SAW keluar menuju ke Taif. Baginda SAW ke sana dengan harapan akan dapat sambutan baik dan sokongan kepada Dakwah dari Bani Thaqif.

2. Namun, penduduk Taif menolak Dakwah Baginda secara kasar. Kanak-kanak disuruh menyakiti dan melontar batu pada Baginda SAW sehingga berdarahlah jasadnya yang suci.

3. Baginda berlindung di sebuah kebun lalu berdoa:

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kau-lah Tuhan golongan yang lemah dan Kau juga Tuhan-ku. Kepada siapa Kau serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis, atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Jika Kau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun, keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kau berhak untuk mencela aku sehingga Kau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”  

4. Nabi SAW pulang dari Taif dengan Dakwahnya ditolak oleh Bani Thaqif. Baginda telah berlindung di sebuah kebun milik adik beradik Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah.

5. Kedua beradik yang melihat Nabi SAW kepenatan setelah mendapat layanan buruk Bani Thaqif telah perintahkan Addas (hamba mereka yang beragama Nasrani) menghidangkan setangkai anggur pada Baginda.

6. Nabi SAW menerimanya dan ucapkan Bismillah. Addas tertarik mendengar Basmallah kerana tiada sesiapapun di kalangan kaum itu mengucapkan sebegitu. Setelah berdialog dengan Nabi SAW, Addas memeluk Islam. 

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Pemergian Nabi SAW ke Taif setelah penduduk Makkah memusuhi Dakwahnya merupakan bukti kekentalan tekad dalam jiwanya untuk sebarkan Islam. Ini jadi bukti bahawa Nabi SAW tidak berputus asa dalam menghadapi penolakan orang terhadap Dakwah Islam. 

Ketika Dakwah di tempat sendiri ditolak dan dimusuhi, Da’I perlu mencari medan-medan baru yang berpotensi untuk Dakwah.

Tindakan penduduk Taif menghasut kanak-kanak agar melontar batu pada Nabi SAW tunjukkan bahawa kejahatan itu sama sahaja walau di mana ia berada (bergantung pada kaum jahil untuk sakiti Da’I).   

Peristiwa berdarahnya kaki Nabi SAW akibat disakiti padahal Baginda seorang yang mulia menjadi bukti penindasan dan kesakitan yang akan ditanggung Da’I dalam berdakwah.

Doa Nabi SAW semasa di kebun menegaskan kejujuran Baginda dalam berdakwah serta keazamannya dalam perjuangan meskipun berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Da’I hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam berdakwah. 

Jika mendapat sengsara, Da’I akan kembali kepada Allah SWT dan memohon kekuatan daripada-Nya. Doa ini juga menunjukkan bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Da’I adalah kemurkaan Allah SWT, bukannya kemurkaan makhluk.


Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 3, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie 

No comments: