Sunday, 10 July 2011

Sejarah Perkembangan Fiqh (2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan meyambung semula perbincangan tentang Sejarah Perkembangan Fiqh.

Mari kita ikuti bersama sambungan siri kedua ini...

B. Selepas Kewafatan Nabi SAW Sehingga Kebangkitan 4 Imam Mazhab:

1. Setelah Rasulullah SAW wafat dan wilayah-wilayah baru Islam sangat luas, keperluan ijtihad para sahabat kian meningkat

Hal ini disebabkan oleh 2 perkara:

i. Islam dipeluk oleh masyarakat baru, dan mempertemukannya dengan persoalan yang tidak pernah terjadi di masa Rasulullah SAW. Ditambah lagi dengan tiada wahyu yang turun, sedangkan terdapat keperluan untuk mengetahui hukum agama dan penjelasannya.

ii. Seseorang Sahabat RA tidak mengetahui semua sunnah Nabi SAW. Baginda mungkin sampaikan atau praktikkan satu hukum syara' di hadapan sebahagian atau seorang sahabat sahaja, dan tidak dilketahui oleh yang lain. Hal ini mendorong sebahagian Sahabat berijtihad dengan ilmu mereka. 

3. Jarak antara para Sahabat RA yang berjauhan setelah kematian Umar bin Al-Khattab RA, maka terbukalah ruang kemunculan dua madrasah yang berbeza dalam Fiqh:

i. Madrasah al-Hadis di Hijjaz, ini kerana kebanyakan mereka berpegang kepada riwayat hadis. Hijjaz adalah bumi pertama Islam. Setiap penduduknya memiliki sekurangnya satu hadis atau lebih. Juga tabiat dan kehidupan mereka yang tidak banyak berubah menyebabkan kurangnya keperluan berijtihad.

ii. Madrasah ar-Ra’yi di Kufah. Disebut demikian kerana banyak menggunakan akal dalam mengenali hukum-hukum syara'. Ini kerana sedikitnya hadis, akibat kurangnya sahabat di sana. Juga disebabkan banyak masalah baru dalam masyarakat baru di situ.

4. Awalnya, perbezaan antara dua madrasah itu amat ketara. Namun, ia semakin berkurang setelah pembukuan hadis-hadis. Ditambah  pula oleh keseriusan para ulama untuk menyaring dan menjelaskan martabat Hadis, sehingga tidak banyak memerlukan pendapat kecuali ketika tiada nash untuk sesuatu masalah yang timbul. 

Adapun berijtihad dalam sandaran nash itu sendiri memang sudah ada di Madrasah al-Hadis juga di Madrasah ar-Ra’yi.

5. Pada fasa ini, berlaku perkembangan fiqh yang besar dan menjadi satu bidang ilmu tersendiri dengan menampilkan ulama-ulama besar yang terkenal. 

Mereka adalah para ulama 4 mazhab, iaitu:

i. Abu Hanifah, An-Nu’man bin Tsabit (80-150 H) dikenal dengan sebutan Al-Imam Al-A’zham (Ulama Besar), berasal dari Parsi. Merupakan memimpin Ahlu ar-Ra’yi, pencetus pemikiran Istihsan (menganggap baik sesuatu), dan menjadikannya sebagai salah satu sumber hukum Islam. Kepadanyalah Mazhab Hanafi dinisbahkan.

ii. Malik bin Anas Al-Ashbahi (93-179 H). Beliau merupakan Imam Ahli Madinah yang menggabungkan antara hadis dan pemikiran dalam fiqhnya. Beliaulah pencetus istilah al-Masolih al-Mursalah (kebaikan yang tidak disebutkan dalam teks) dan menjadikannya sebagai sumber hukum Islam. Kepadanyalah Mazhab Maliki dinisbahkan.

iii. Muhammad bin Idris As-Syafi’i Al-Qurasyi (150-204 H). Mazhabnya lebih dekat kepada Ahlul Hadis, meskipun beliau banyak mengambil ilmu dari pengikut Abu Hanifah dan Malik bin Anas. Kepadanyalah Mazhab Syafi’i dinisbahkan.

iv. Ahmad bin Hanbal As-Syaibani (164-241 H). Beliau adalah murid Imam Syafi’i, dan mazhabnya lebih dekat kepada Ahlul Hadis

6. Hakikatnya, sebelum kemunculan para imam ini, bersama dan sesudah mereka itu, terdapat  juga ulama-ulama besar lain yang tidak kalah peranannya: 

i. Di kalangan Sahabat RA: Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anhum

ii. Di kalangan Tabi'in: Said bin Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’i, Al-Hasan Al-Bashri, Makhul, dan Thawus rahimahumullah

iii. Sezaman dengan 4 Imam:  Imam Ja’far As-Shadiq, Al-Auza’i, Ibnu Syubrumah, Al-Laits bin Sa’d rahimahumullah dan lain-lain.

7. Namun, keempat Imam Mazhab itu memiliki para pengikut yang merangkumkan pendapatnya, merapikan, menjelaskan, atau meringkasnya untuk disajikan dengan lebih mudah kepada umat Islam Hasilnya, umat Islam dapat memahami hukum-hakam Islam secara lebih tersusun rapi. 

8. Kemudian, diajarkan pendapat tersebut di masjid-masjid selama beberapa tahun sehingga ia menjadi asas  panduan bagi kehidupan umat Islam. Mereka tidak perlu merujuk kepada kitab-kitab tafsir, atau hadis untuk mengetahui hukum Islam kerana telah disajikan dengan kaedah mazhab Fiqh.

Wallahu a'lam.

Begitulah bahagian kedua Sejarah Perkembangan Fiqh, iaitu di era selepas kewafatan Rasulullah SAW dan kebangkitan 4 Imam Mazhab.

Di entri akan datang, kita akan berbincang pula tentang Sejarah Perkembangan Fiqh di era seterusnya, insyaAllah!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

No comments: