Thursday, 14 July 2011

Kaedah Pertemuan Dua Madrasah Fiqh (2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan meyambung semula perbincangan lalu tentang beberapa kaedah untuk memahami kemungkinan bertemunya dua aliran Fiqh masa kini.

Pertemuan Dua Madrasah (Bahagian 2).

Kaedah-kaedah seterusnya ialah:

D. Diperbolehkan Iltizam dengan 1 Mazhab bagi Orang Awam.

1. Di antara kesalahan yang tersebar di kalangan umat Islam di zaman fanatik mazhab adalah kewajiban beriltizam dengan satu mazhab saja, dan haram intiqal (berpindah) ke mazhab lainnya. Dan pandangan yang berlawanan pula ialah larangan iltizam dengan satu mazhab. 

2. Kedua pendapat ini tanpa dalil. Kewajipan iltizam dengan satu mazhab dan larangan intiqal mazhab lain baik secara umum mahupun dalam masalah tertentu, baik sebelum atau sesudah mengamalkannya, tiada dalil syara’nya. 

3. Allah SWT dan Rasul-Nya  hanya mewajibkan kita beriltizam dengan hukum syara’. Dan jika kita tidak mengetahuinya terus daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah, diperbolehkan untuk bertanya kepada ahlu adz-dzikri tanpa ada pambatasan kepada satu-satu pendapat sahaja.

4. Para Sahabat RA bertanya kepada para fuqaha’ (di kalangan Sahabat) dan mereka menjawab pertanyaan tersebut. Tidak seorangpun daripada sahabat yang ditanya itu mewajibkannya untuk tidak bertanya lagi kepada yang lain baik dalam masalah yang sama mahupun masalah yang lainnya. 

5. Demikianlah kaum muslimin di sepanjang masa, hingga di zaman 4 imam mazhab itu sendiri. Tiada seorangpun daripada mereka yang melarang muridnya mengambil pendapat ulama lain. Tidak pernah ada pemikiran yang mewajibkan iltizam dan melarang intiqal, kecuali kemudiannya.

6. Demikian juga pendapat yang mengharamkan iltizam dengan satu mazhab dan menganggapnya sebagai syirik. Ini juga tidak ada dalilnya. Jika ada seseorang yang merasa cocok dengan seorang ulama kerana ketakwaannya, dan selalu lebih disenangi fatwanya, maka dalam Islam juga tidak ada dalil yang melarangnya, baik ulama itu dari kalangan 4 madzhab atau selainnya. 

Yang tidak boleh adalah meyakini bahawa iltizam itu hukumnya wajib secara syara’. Kemudian jika suatu saat ingin intiqal ke mazhab lain, maka tidak ada yang menghalanginya.

E. Kewajiban Mengikuti Dalil bagi Pengikut yang Mampu Mengkaji.

1. Seorang muslim pengikut mazhab yang sudah mampu mempelajari hukum syara’, maka kewajipannya adalah mencari dalil bagi setiap masalah yang dikajinya, mendalaminya, memahami pendapat yang berbeza dan dalil-dalilnya, kemudian memilih yang paling dekat dengan Kitabullah dan As-Sunnah. 

2. Meskipun sikap ini membuatnya mengambil mazhab ini dan itu. Bahkan jika memerlukannnya untuk berijtihad sendiri dalam masalah-masalah baru yang belum dibahas oleh ulama sebelumnya.

3. Walaupun demikian, tiada larangan syara’ bagi seorang muslim pengikut mazhab untuk mengikuti satu mazhab sehingga dia mampu mempelajari seluruh masalah dengan kewajipanan mengikuti dalil yang lebih kuat dan bertahan pada dasar mazhab pilihannya dalam masalah lain. 

4. Allah SWT tidak pernah memberikan taklif kepada seseorang kecuali mengikut kemampuannya. Kandang-kadang, seorang muslim perlu berbulan-bulan tafarrugh (menfokuskan diri) untuk mempelajari satu masalah sehingga dapat menemukan dalil yang lebih kuat yang memuaskannya. 

5. Maka tidak salah kalau dia masih menjadi muqallid dengan salah seorang Imam, sehingga dia mampu mempelajari masalah. Lalu ketika telah menemukan dalilnya masih bersama dengan Imam yang diikutinya, dia boleh terus di situ. Dan jika mendapatkan dalil yang kuat ada pada Imam lain, maka dia akan pindah ke pendapat lain.

F. Diperbolehkan Talfiq.

1. Talfiq bererti mengambil daripada pelbagai mazhab untuk satu masalah dan sampai kepada cara mazhab itu berpendapat. Secara ringkas talfiq adalah seperti penjelasan berikut:

i. Mengambil satu masalah daripada satu mazhab dan mengambil masalah lain dari mazhab lain yang tidak berhubungan dengan masalah pertama, diperbolehkan menurut jumhur ulama yang tidak mewajibkan iltizam dengan satu mazhab dan memperbolehkan intiqal ke madzhab lain. 

ii. Seperti seorang yang solat dengan Mazhab Syafi’i, kemudian zakatnya dengan Mazhab Hanafi, atau puasa dengan Mazhab Maliki.

iii. Iltizam tentang satu masalah syara’ dengan satu mazhab, lalu intiqal ke mazhab lain dalam masalah yang sama. Seperti solat Zohor dengan satu mazhab kemudian solat Asar dengan mazhab lain, hal ini juga diperbolehkan oleh jumhur ulama yang tidak mewajibkan iltizam dengan satu mazhab.

2. Bentuk talfiq yang diperselisihkan adalah talfiq dalam satu masalah saja. Seperti seorang muslim berwudhu' menyapu sebahagian kepala sesuai dengan Mazhab Syafi’i, kemudian menyentuh wanita dan merasa tidak batal kerana taqlid kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang menganggap bersentuhan dengan wanita tidak membatalkan wudhu, kemudian dia solat. 

3. Para ulama mazhab terkemudian mengatakan, wudhu' itu sudah batal kerana telah bersentuhan dengan wanita, dan tidak sah menurut Abu Hanifah kerana menyapu kepalanya tidak sampai 1/4, tidak sah menurut Imam Malik kerana tidak menyapu seluruh kepala.

4. Talfiq di sini menyeret kepada cara yang tidak diajarkan oleh mazhab manapun. Inilah yang tidak diperbolehkan.

i. Sesungguhnya talfiq jika dilakukan dengan dalil yang kuat daripada orang yang mampu mengkaji dalil-dalil hukum syara’, diperbolehkan. Kerana kewajipan seorang muslim adalah berijtihad untuk dirinya sendiri. Dan ini bukan sisi yang diperselisihkan.

ii. Sedangkan talfiq yang dilakukan orang awam, diperbolehkan juga, kerana mazhabnya orang awam adalah mengikuti fatwa muftinya. Dan orang awam tidak ditugaskan untuk mengkaji mazhab dan melihat sudut-sudut perbezaan. Kerana, jika dia mampu melakukan hal ini tentu dia menjadi muqallid, bukan awam. 

Para sahabat RA ketika bertanya tentang satu masalah tidak menanyakan kepada seluruh orang yang mengetahuinya, dan yang ditanya juga tidak mensyaratkan jika sudah mengambil pendapatnya dalam masalah ini agar tidak bertanya kepada orang lain dalam masalah yang sama. 

Ini bermakna bahawa generasi terbaik telah melakukan talfiq ketika mazhab dan pendapat para Sahabat RA belum dikumpulkan dan dibukukan. Setiap muslim bebas bertanya kepada mana-mana sahabat yang ditemui, lalu bertanya ke sahabat lainnya, tanpa meneliti apakah dua pertanyaan itu berkaitan atau tidak.

iii. Contoh tentang wudhu' di atas, dapat kami jelaskan bahawa wudhu' itu telah benar menurut mazhab Syafi’i, sudah benar menurut pandangan syara’, kerana Mazhab Syafi’i bukan syariat yang berdiri sendiri, tetapi pintu yang dipergunakan seorang muslim untuk sampai kepada syariah Allah. 

Ketika sudah masuk ke mazhab itu dia sudah berada di ruang syariah, wudhu'nya benar dalam pandangan syariah. Jika dia menyentuh wanita dengan mengikuti mazhab Hanafi, maka wudhu'nya tetap sah sesuai dengan mazhab itu, ertinya sesuai dengan syariat Islam kerana mazhab Hanafi juga bahagian daripada syariat Islam.

iv. Kemudian talfiq yang dilakukan dengan dalil yang kuat, oleh orang yang mampu, dan larangan bagi orang awam, akan tercemar bahawa ada satu masalah yang haram atas seorang muslim dan halal bagi muslim lainnya. Hal ini tidak dapat diterima dalam hukum Islam yang di antara ciri-cirinya adalah  syumul (menyeluruh). 

Yang telah halal dalam syariah, halal untuk semua. Dan yang haram untuk dalam syariah, haram untuk semua.

v. Syeikh At-Torsusi, Al-Allamah Abu as-Su’ud, Al-Allamah Ibnu Nujaim, Al-Allamah Ibnu Arafah Al-Maliki, Al-Allamah Al-Adawi, dan lain-lain telah menfatwakan diperbolehkannya hukum murakkab atau talfiq. (lihat Kitab Usul Fiqh Al-Islami, DR Wahbah Az Zuhaili).

Tatabbu’ Ar-Rukhash Dalam Talfiq.

1. Ada sebahagian orang awam yang memilih Tatabbu’ Ar-Rukhash dan pendapat-pendapat yang aneh dalam mazhab-mazhab atau ulama dengan semangat talahhi (main-main), tasyahhi (senang-senang), atau mencari yang paling senang. Adakah diperbolehkan?

2. Majoriti ulama melarang talfiq yang demikian kerana sudah berubah menjadi ikut selera. Syariat Islam melarang kita mengikuti nafsu. Ibnu Abdul Barr menyebutkan ijma’ larangan ini.
3. Sebahagian ulama membolehkannya dalam beberapa mazhab, kerana tidak ada larangan dalam syariat yang melarangnya. Al-Kamal bin Al Hammam berkata dalam kitab At-Tahrir

“Sesungguhnya seorang muqallid dipersilakan mengikuti yang dia kehendaki, meskipun seorang awam mengambil setiap masalah dengan ucapan mujtahid yang lebih ringan baginya, saya tidak tahu apa yang melarangnya secara naqli dan aqli. Keberadaan manusia yang mencari apa yang lebih ringan baginya dari pendapat para mujtahid yang ahli berijtihad, saya tidak mengetahui celaannya dalam syariat Islam. Dan adalah Rasulullah SAW menyukai apa saja yang meringankan umatnya.”

4. Benar, bahawa tiada perbezaan hukum syara’ antara rukshah dan azimah, selagi masih hukum syara’ yang memiliki dalil sohih. Jika diperbolehkan talfiq dalam masalah pokok, maka tiada sisi larangan untuk memilih yang mudah-mudah selama rukhshah itu memiliki dalil syara’. 

5. Tidak boleh dikatakan bahawa hukumnya makruh jika tidak ada dharurat atau uzur, dan diperbolehkan tanpa makruh jika ada situasi dharurat atau uzur. Rasulullah SAW tidak pernah diberi pilihan 2 hal, kecuali memilih yang paling mudah selama tidak ada dosa (diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza dalam Sohih Bukhari Muslim, Muwattha’ Malik, Musnad Imam Ahmad dan Sunan Ad-Darimiy). 

6. Prinsipnya, setiap muslim diberi kebebasan memilih antara pendapat-pendapat produk ijtihadiyah yang berbeza-beza, dan insyaAllah pendapat-pendapat itu tidak ada dosa.

7. Perlu diingatkan bahawa talfiq hanya berlaku dalam masalah-masalah ijtihadiyah yang zhanni. Sedangkan untuk masalah-masalah yang bersifat qath’i tidak ada ruang untuk memilih rukhshah atau talfiq

8. Sepertimana jika talfiq atau mencari rukhshah itu menyeret kepada pelanggaran agama, maka hukumnya haram seperti jika dengan talfiq itu menyebabkan arak, zina, dan perbuatan haram lainnya yang qath’i menjadi harus. Ia tidak mungkin menjadi halal, baik dengan talfiq mahupun dengan cara lain.

Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat! ^_^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

No comments: