Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis ke-2 dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah. Ia juga dikenali sebagai Hadis Jibril. Hadis ini agak panjang dan membincangkan 3 asas utama dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
Mari kita ikuti perbincangannya!
Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:
Juga daripada Umar RA, beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh, dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya, sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah SAW dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pahanya.
Dia segera berkata, “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, kamu mendirikan Solat, mengeluarkan Zakat, dan menunaikan Haji jika kamu mampu mengerjakannya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” Kami merasa hairan terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.
Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Iman.” Lalu Baginda SAW bersabda, “Bahawa kamu beriman kepada Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, Hari Kiamat dan kamu beriman dengan ketentuan Baik dan Buruk-Nya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!”
Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Ihsan.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Bahawa kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!”
Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Hari Kiamat.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak tahu bila berlakunya Hari Kiamat).”
Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Lalu Baginda menjawab, “Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya. Dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan.”
Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Wahai Umar, tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang ad-Din kamu.”
(HR Muslim)
Makna Perkataan.
Kenapa Hadis Ini Penting?
Ibnu Daqiq al-‘Iid berkata:
“Hadis ini adalah hadis yang merangkumi semua amalan zahir dan batin. Ilmu-ilmu syariat semuanya merujuk dan lahir daripada hadis ini. Ia seperti ibu kepada sunnah kerana ia mengandungi himpunan ilmu-ilmu sunnah, seperti al-Fatihah dinamakan Ummul Quran kerana ia mengandungi himpunan pengertian al-Quran.”
Pengajaran Hadis Buat Kita:
1. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan kata-katanya.
2.Digalakkan memakai pakaian yang bersih dan menggunakan bau-bauan yang harum untuk memasuki masjid serta menghadiri majlis ilmu.
3. Kita perlu menjaga adab di dalam majlis ilmu dan ketika berhadapan dengan Guru/Murabbi.
4. Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah SWT. Dari segi syarak bermaksud ad-Din yang dibina di atas 5 tunggak Rukun Islam iaitu:
i) Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah SWT.
ii) Mendirikan Solat dalam waktunya, dengan rukun dan syarat yang sempurna. Juga menjaga sunat dan adabnya.
iii) Mengeluarkan Zakat.
iv) Berpuasa pada bulan Ramadhan.
v) Menunaikan Haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.
5. Iman dari segi bahasa ialah at-Tasdiq (membenarkan). Dari segi syarak ialah Tasdiq yang Jazim (Keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap Rukun Iman:
i) Kewujudan Allah Yang Maha Pencipta dan bahawa Allah itu Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
ii) Kewujudan makhluk Allah SWT iaitu para Malaikat-Nya dan mereka adalah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan. Mereka sentiasa taat dan patuh kepada setiap arahan-Nya.
iii) Kitab-kitab samawiyah yang diturunkan oleh Allah SWT. Kitab-kitab ini adalah syariat-Nya sebelum ia diseleweng dan diubah oleh tangan-tangan manusia.
iv) Para Rasul yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada makhluk-Nya. Mereka diberikan kitab-kitab samawiyah dan bersifat maksum (terpelihara dari dosa).
v) Hari Kiamat, iaitu hari Allah SWT membangkitkan manusia dari kubur dan memberi pengadilan terhadap amalan baik dan buruk mereka semasa hidup di dunia.
vi) Semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan taqdir (ketentuan) Allah SWT dan kehendak-Nya. Berdasarkan hikmah yang hanya diketahui oleh-Nya sahaja.
6. Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kita ikhlas dalam beribadah kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Dia melihat segala perbuatan kita, kecil atau besar.
7. Ilmu tentang masa berlakunya Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT. Dia tidak memberitahu kepada makhluk-Nya samada Malaikat mahupun para Rasul.
8. Antara tanda-tanda yang menunjukkan dekatnya Kiamat ialah:
i) Berlakunya kerosakan akhlak di mana ramai anak derhaka dan menyanggahi orang tua mereka. Mereka memperlakukan keduanya seperti hamba, dan mereka sebagai tuannya.
ii) Terbalik dan bercampur baurnya urusan, sehingga sehina-hina manusia menjadi Raja dan Pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa dan harta. Mereka bermegah-megah dengan bangunan pencakar langit dan merasa bongkak terhadap makhluk.
9. Seorang Muslim hendaklah bertanya mengenai perkara yang bermanfaat untuk dunia dan akhiratnya sahaja, serta meninggalkan soalan yang tidak berfaedah.
10. Jika kita menghadiri majlis ilmu dan merasakan bahawa hadirin perlu mengetahui suatu masalah, tapi tiada seorangpun yang bertanya, maka perlu kita bertanya tentang perkara tersebut meskipun telah mengetahuinya. Agar hadirin turut dapat mengambil manfaat.
11. Jika seseorang yang ditanya tentang sesuatu maka tidak ada cela baginya untuk berkata: “Saya tidak tahu” dan hal tersebut tidak mengurangkan kedudukannya.
Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk kita semua!
Rujukan:
Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto
2 comments:
Mohon share
Tkasih
Post a Comment