Friday 15 July 2011

6. Tahun Kesedihan dan Dakwah ke Taif

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan betapa kesedihan ditinggalkan orang-orang yang dikasihi, tidak melemahkan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Tahun Kesedihan (Tahun ke-10 Kerasulan).
  
1. Abu Tolib, bapa saudara Nabi SAW yang kuat mempertahankan Baginda meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman. Nabi SAW bersungguh-sungguh mendesak agar Abu Tolib ucapkan syahadah ketika terbaring nazak, namun dia enggan kerana takut dapat malu dari kaumnya.

2. Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah merahmati dan mengampuni kamu. Aku akan terus memohon keampunan untukmu sehinggalah Allah menegahku.”

3. Lalu, Allah SWT menurunkan wahyu yang melarang Nabi dan orang beriman berbuat demikian:

"Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam." (At-Taubah 9: 113)

4. Apabila Abu Tolib meninggal, musyrikin Quraisy yang dahulunya segan dan gerun kepadanya mula bertindak kasar kepada Nabi SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Kadang-kadang ada kaum kerabat Da'I yang tidak bersamanya, tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Oleh itu, sentimen kabilah dan kekeluargaan boleh digunakan oleh Da’I untuk melindungi Dakwah selagi mana dia tidak seiringan melakukan kemungkaran bersama mereka.


5. Isteri tercinta Nabi SAW, Khadijah RA juga kemudiannya meninggal dunia pada tahun yang sama. Khadijah RA dulunya banyak berperanan ringankan kerungsingan dan kesedihan Baginda SAW dalam hadapi permusuhan Quraisy.

Khadijah RA juga banyak infaqkan harta bendanya untuk Dakwah. Dengan ketiadaan Abu Tolib dan Khadijah RA, tekanan dan perbuatan menyakiti Rasulullah SAW semakin hebat.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Isteri solehah yang beriman dengan kebenaran Dakwah dan perjuangan akan permudahkan banyak kesulitan yang dialami oleh Da’I. Isteri akan meringankan kerungsingan Da’I dan membangkitkan semangatnya untuk terus berdakwah serta teguh di atas jalannya.

Khadijah RA adalah contoh terbaik bagi seorang isteri yang yakin pada Dakwah dan Kebenaran. Kehilangannya menyebabkan Rasulullah SAW bersedih hati dan sugul. 

 B. Dakwah ke Taif.
  
1. Selepas kematian Abu Tolib dan Khadijah, Rasulullah SAW keluar menuju ke Taif. Baginda SAW ke sana dengan harapan akan dapat sambutan baik dan sokongan kepada Dakwah dari Bani Thaqif.

2. Namun, penduduk Taif menolak Dakwah Baginda secara kasar. Kanak-kanak disuruh menyakiti dan melontar batu pada Baginda SAW sehingga berdarahlah jasadnya yang suci.

3. Baginda berlindung di sebuah kebun lalu berdoa:

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kau-lah Tuhan golongan yang lemah dan Kau juga Tuhan-ku. Kepada siapa Kau serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis, atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Jika Kau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun, keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kau berhak untuk mencela aku sehingga Kau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”  

4. Nabi SAW pulang dari Taif dengan Dakwahnya ditolak oleh Bani Thaqif. Baginda telah berlindung di sebuah kebun milik adik beradik Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah.

5. Kedua beradik yang melihat Nabi SAW kepenatan setelah mendapat layanan buruk Bani Thaqif telah perintahkan Addas (hamba mereka yang beragama Nasrani) menghidangkan setangkai anggur pada Baginda.

6. Nabi SAW menerimanya dan ucapkan Bismillah. Addas tertarik mendengar Basmallah kerana tiada sesiapapun di kalangan kaum itu mengucapkan sebegitu. Setelah berdialog dengan Nabi SAW, Addas memeluk Islam. 

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Pemergian Nabi SAW ke Taif setelah penduduk Makkah memusuhi Dakwahnya merupakan bukti kekentalan tekad dalam jiwanya untuk sebarkan Islam. Ini jadi bukti bahawa Nabi SAW tidak berputus asa dalam menghadapi penolakan orang terhadap Dakwah Islam. 

Ketika Dakwah di tempat sendiri ditolak dan dimusuhi, Da’I perlu mencari medan-medan baru yang berpotensi untuk Dakwah.

Tindakan penduduk Taif menghasut kanak-kanak agar melontar batu pada Nabi SAW tunjukkan bahawa kejahatan itu sama sahaja walau di mana ia berada (bergantung pada kaum jahil untuk sakiti Da’I).   

Peristiwa berdarahnya kaki Nabi SAW akibat disakiti padahal Baginda seorang yang mulia menjadi bukti penindasan dan kesakitan yang akan ditanggung Da’I dalam berdakwah.

Doa Nabi SAW semasa di kebun menegaskan kejujuran Baginda dalam berdakwah serta keazamannya dalam perjuangan meskipun berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Da’I hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam berdakwah. 

Jika mendapat sengsara, Da’I akan kembali kepada Allah SWT dan memohon kekuatan daripada-Nya. Doa ini juga menunjukkan bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Da’I adalah kemurkaan Allah SWT, bukannya kemurkaan makhluk.


Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 3, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie 

5. Penentangan Musyrikin, Hijrah ke Habsyah dan Boikot

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan bermulanya penentangan para musyrikin Quraisy terhadap Dakwah Baginda SAW.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Penentangan Musyrikin
   
1. Musyrikin Quraisy merespon Dakwah Baginda dengan keras dan ingin bertindak ke atas Rasulullah SAW, namun Abu Tolib melindungi dan enggan menyerahkan Baginda kepada mereka.

2. Selepas mereka beredar, Abu Tolib meminta Rasulullah SAW agar mengendurkan dakwahnya. Namun, Baginda menjawab:

“Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Jika mereka letakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku tinggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan tinggalkannya, sehinggalah Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya!”

3. Selepas peristiwa itu, musyrikin semakin hebat menyakiti Rasul SAW dan orang Islam. Sehingga ada sahabat yang syahid diseksa dalam usaha mempertahankan keimanan mereka. Di antaranya ialah Sumayyah RA dan Yasir RA.

4. Apabila melihat keteguhan orang-orang mukmin, musyrikin membuat keputusan untuk berunding dengan Nabi SAW. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Nabi SAW sebagai raja mereka. Namun, semuanya ditolak oleh Baginda SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Walaupun musyrikin menyeksa dan menindas orang-orang mukmin, namun mereka tetap teguh dengan akidah mereka. Ini adalah bukti kejujuran iman dan keikhlasan keyakinan mereka.

Ia juga menunjukkan ketinggian jiwa dan ruhani mereka. Orang-orang Mukmin menganggap kesakitan dan kematian di jalan Allah sebagai satu kerehatan serta ketenangan yang akan menghantar mereka kepada redha-Nya. 

Da’I hendaklah mengambil berat pada kaum kerabatnya dan berusaha mengislahkan mereka. Jika mereka menolak, Da’I sudah ada perlepasan daripada tanggungjawab itu.

Sebaik-baiknya, keluarga dijadikan pendokong dakwah yang utama, atau sekurang-kurangnya tidak menentang dakwah. Penolakkan Baginda terhadap tawaran Quraisy buktikan kebenaran dan kesucian dakwah yang dibawanya. Dakwah Islam tidak berorientasi keduniaan. Da’I lebih redha dengan Allah dan syurga-Nya daripada segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.
 

B. Hijrah ke Habsyah.

1. Melihat kedegilan dan penyeksaan berterusan Quraisy terhadap orang-orang Islam, Nabi SAW menganjurkan agar para Sahabat RA berhijrah ke Habsyah.

2. Sabda Baginda SAW kepada Sahabat RA:

“(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah? Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini.”

3. Seramai 12 orang lelaki dan 4 orang perempuan berhijrah buat kali pertama ke Habsyah. Selepas pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang semula ke Makkah. Tapi, tidak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang Islam yang lain. Kali ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita telah berhijrah.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Apabila Jamaah dalam bahaya (nyawa atau ancaman fitnah kepada pegangan akidah) Da’I mesti sediakan tempat yang selamat daripada percerobohan golongan batil tersebut. Perintah berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali juga menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (samawi).

C. Pemboikotan.
  
1. Selanjutnya musyrikin bertindak memboikot Rasulullah SAW, Bani Hasyim dan Bani Muttolib. Musyrikin sepakat tidak berjual beli, bernikah dan bergaul dengan mereka. Juga tidak menerima sebarang pendamaian.

2. Pemboikotan ini berlangsung selama 2 atau 3 tahun. Nabi SAW dan orang-orang yang bersama Baginda berhadapan dengan kesulitan yang sangat teruk hasil pemboikotan tersebut.

3. Namun, boikot tersebut berjaya diakhiri dengan usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Golongan pendokong kebatilan tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap kali usaha mereka gagal, mereka akan mencipta pelbagai cara untuk menentang kebenaran. Dan penentangan ini akan berterusan hinggalah kebenaran itu mengalahkan kebatilan.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

4. Dakwah Secara Rahsia dan Berterus-Terang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan permulaan Dakwah dan strategi yang diambil dalam menyebarkan  risalah Islam yang baru diperolehinya di Makkah.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Dakwah Secara Rahsia.
  
1. Antara orang yang paling awal beriman dengan Nabi SAW adalah Khadijah binti Khuwalid RA (Isteri); Ali bin Abi Tolib RA (Sepupu, 10 tahun); Zaid bin Harithah RA (Bekas Hamba); Abu Bakar As-Sidiq RA (Sahabat Karib) dan Bilal bin Rabah RA (Hamba). 

2. Kemudian wahyu terhenti seketika. Ulama berselisih pendapat tentang masa terhentinya wahyu (paling lama 3 tahun, paling singkat 6 bulan). Menurut penulis, 6 bulan adalah paling sohih.

3. Nabi SAW bersusah hati dan kecewa, bimbang jika Allah SWT telah membencinya. Setelah itu, turunlah wahyu yang kedua. 

4. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Jabir RA, daripada Nabi SAW:

Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara dari langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepadaku di Gua Hira’. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi.

Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata, “Selimutkan aku!” Maka Allah Taala menurunkan:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah kau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah kau jauhi.” (Al-Muddathir 74: 1-5)

5. Setelah itu, wahyu pun turun secara berterusan. Rasulullah SAW mula mendakwahkan Islam secara rahsia kepada golongan yang dipercayai kerasionalan akalnya selama 3 tahun. Hasilnya seramai kira-kira 30 orang memeluk Islam di kalangan lelaki dan wanita.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Jika Dakwah dan Islah menjadi satu perkara yang janggal pada mentaliti dan kepercayaan masyarakat, maka Da’I tidak perlu segera sampaikannya dengan lantang.
 
Da’I terlebih dahulu perlu membina sekumpulan kader yang mengimani dakwah ini, serta sanggup berkorban apa sahaja untuk menegakkannya. Langkah ini juga agar keselamatan dan kelangsungan dakwah terjamin (jika tidak, akan dihancurkan sebelum ia menjadi kuat).  

B. Dakwah Secara Berterus-terang.
  
1. Selepas 3 tahun, Allah SWT perintahkan Nabi SAW berdakwah secara terang-terangan melalui firman-Nya:

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah kau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr 15: 94)

2. Ekoran Dakwah secara berterus-terang ini, bermulalah peringkat ujian apabila musyrikin menyakiti orang-orang Islam. Malah Nabi SAW juga turut disakiti mereka. Dalam tempoh ini, orang-orang mukmin berhimpun secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam RA untuk mendalami Islam.
3. Suatu ketika, Nabi SAW diperintahkan untuk memberi amaran kepada keluarga terdekatnya. Baginda SAW berdiri di Bukit Sofa dan menyeru seluruh keluarga Quraisy agar beriman kepada Allah dan tinggalkan penyembahan berhala.

4. Mendengar seruan itu, Abu Lahab menengking Baginda, “Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?” Lalu Allah melaknat Abu Lahab dan isterinya di dalam surah Al-Lahab.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Dakwah Rasulullah SAW telah mengejutkan orang Arab dengan perkara yang asing bagi mereka. Mereka bimbang jika Dakwah itu dibiarkan ia akan perbodohkan pemikiran mereka, bongkarkan kecacatan tuhan-tuhan mereka dan orang Arab akan tinggalkan agama nenek moyang mereka. Jadi, mereka menyanggah keras dan ingin hapuskan dakwah Islam bersama para pengikutnya.

Da’I mestilah berada bersama-sama para mad’unya secara berkala dalam jangkamasa tertentu (harian atau mingguan) agar dapat mempertingkatkan keimanan mereka terhadap Islam dan Jalan Dakwah. Da’I perlu rahsiakan pertemuan tersebut jika dikhuatiri keselamatan gerakannya terancam dan akan membangkitkan penindasan golongan batil.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

3. Perlantikan Muhammad SAW Sebagai Rasul.

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan detik-detik awal penurunan wahyu kepada Baginda SAW. 

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Wahyu Pertama.
   
1. Jibril datang membawa wahyu pertama kepada Rasulullah SAW ketika Baginda berusia 40 tahun. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, 17 Ramadhan.

2. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aishah RA:

Perkara pertama yang mula-mula berlaku kepada Rasulullah SAW ialah mimpi baik semasa tidur. Baginda hanya bermimpi melihat ia datang seperti cahaya subuh. Kemudian ditimbulkan kepada Baginda rasa cinta untuk berkhulwah.

Baginda pun berkhulwah di Gua Hira’. Baginda beribadah di dalamnya untuk beberapa malam sebelum pulang untuk menemui keluarganya bagi mengambil bekalan untuk khulwah seterusnya. Kemudian Baginda kembali lagi menemui Khadijah RA, mengambil bekalan yang seumpamanya. 

Sehinggalah wahyu kebenaran diturunkan kepada Baginda ketika berada di Gua Hira’. Malaikat (Jibril) datang menemui Baginda seraya berkata, “Bacalah!” Baginda berkata, “Aku tidak tahu membaca.”

Baginda menceritakan:

Maka dia memegang dan menutupi aku sehingga aku merasa kepenatan. Dia berkata lagi, “Bacalah.” Maka aku berkata, “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali kedua sehingga berasa penat.

Kemudian dia melepaskan aku. Dia berkata kembali, “Bacalah.” Maka aku berkata, “Aku tidak tahu membaca.” Maka dia memegang dan menutupi aku untuk kali ketiga.

Kemudian dia melepaskan aku seraya berkata:

“Bacalah dengan Nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq 96: 1 - 5)

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Bila Allah ingin mendorong seseorang hamba-Nya berdakwah kepada kebaikan dan pengislahan, Dia mencampakkan ke dalam hati, rasa benci kepada kesesatan dan kerosakan yang dilakukan oleh masyarakat.

Dalam konteks Nabi SAW, Allah ilhamkan kepadanya rasa cinta untuk berkhulwah dan beribadah kepada Allah SWT. Ini sebagai proses pembersihan dan persediaan ruhani untuk memikul bebanan Risalah.

3. Setelah peristiwa di Gua Hira’ itu, Baginda SAW terus pulang ke rumah dalam keadaan gementar. Nabi SAW mendapatkan Khadijah RA lalu berkata, “Selimutkan aku, selimutkan aku!”

4. Nabi SAW menceritakan apa yang berlaku dan berkata, “Aku bimbangkan diriku.” Lantas Khadijah RA berkata, “Tidak mungkin! Demi Allah, Allah tidak akan sekali-kali menghinamu. Kamu menyambungkan silaturrahim, menanggung pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang benar.”

5. Khadijah RA bersama Nabi SAW menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza (sepupu Khadijah). Beliau seorang pendeta Nasrani yang sudah tua dan buta. Beliau boleh menulis dalam bahasa Ibrani dan menuliskan Injil dalam bahasa ini.

6. Setelah mendengar cerita Rasulullah SAW, Waraqah berkata: “Dia adalah Namus (pembawa wahyu, Jibril) yang pernah turun kepada Nabi Musa AS. Alangkah baiknya kalau aku masih muda remaja dan kuat. Semoga aku masih hidup ketika kaum kamu mengusirmu keluar.”

7. Lalu Rasulullah SAW bertanya, “Adakah mereka akan mengusir aku keluar?” Dia berkata, “Ya. Tiada seorang lelaki yang datang membawa seperti apa yang kamu bawa, pasti akan dimusuhi. Sekiranya aku sempat dengan hari itu, aku akan menolongmu semampuku.”
8. Tidak lama kemudian Waraqah meninggal dunia. Sementara wahyu pula terhenti buat seketika.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Nabi Muhammad SAW tidak bercita-cita menjawat tugas kenabian dan tidak pernah mengimpikannya. Jika Baginda bercita-cita peroleh kenabian, pasti Baginda tidak takut dan gementar ketika terima wahyu.
 
Nabi SAW hanya mendapat kepastian Kenabiannya setelah melihat datangnya Jibril AS, juga setelah ditegaskan oleh Waraqah bin Naufal.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

2. Keperibadian dan Pengalaman Nabi SAW sebelum Kerasulan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan keperibadian dan pengalaman Baginda sebelum kerasulan.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Kecerdikan Baginda SAW.
   
1. Sejak Nabi SAW mumayyiz lagi, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Buktinya dalam peristiwa peletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah.

2. Suatu ketika dinding Kaabah retak akibat banjir. Maka diputuskan agar diruntuhkan dan dibina semula. Ketika sampai ke peringkat meletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya semula, setiap Kabilah berebut untuk mendapatkan penghormatan ini. 

3. Pertelingkahan sampai ke tahap saling mengancam untuk berperang, sehinggalah mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu Bani Syaibah (antara pintu Kaabah) sebagai hakim.

4. Ternyata orang yang pertama masuk adalah Nabi SAW.  Mereka berkata: “Ini Al-Amin! Kami rela dengan hukumannya.”

5. Sebagai penyelesaian, Baginda SAW memutuskan agar dibentangkan kain selendangnya, kemudian diletakkan Hajarul Aswad di atasnya. Baginda menyuruh setiap wakil Kabilah memegang hujung selendang dan mengangkatnya ke tempat letak.

6. Seterusnya, Baginda mengambil dan meletakkan Hajarul Aswad dengan tangannya sendiri. Semua pihak berpuas hati dan Allah selamatkan penduduk Makkah dari berlakunya pertumpahan darah berkat kecerdikan Baginda SAW. 

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Hanya orang yang cerdik dan cerdas layak memegang tampuk Dakwah dan kepimpinannya. Orang yang bodoh tidak layak kerana dia akan memberi kesan buruk kepada keputusan, gagasan dan strategi Dakwah.

B. Kejujuran Baginda SAW.   

1. Nabi SAW dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya. Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, kehidupan yang lurus dan reputasinya amat baik. 

2. Ini menarik minat Khadijah RA untuk menawarkan Baginda SAW agar memperniagakan barang dagangannya ke Busra (di Syam).

3. Sekembalinya ke Makkah, Baginda membawa keuntungan yang banyak dalam perniagaan tersebut. Maisarah (hamba Khadijah) menceritakan sikap amanah dan ikhlas Baginda SAW dalam berniaga.

4. Akhirnya keperibadian Nabi SAW menarik hati Khadijah RA untuk melamar Baginda sebagai suami. Pada usia 25 tahun, Nabi SAW berkahwin dengan Khadijah RA. 

C. Pengalaman Bermusafir Keluar Makkah.

Nabi SAW keluar bermusafir dari Makkah sebanyak 2 kali: 

1. Bersama bapa saudaranya, Abu Tolib ketika berusia 12 tahun. 
2. Ketika membawa barang dagangan Khadijah ke Syam ketika berumur 25 tahun.
 
'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Pengalaman berkelana, bergaul dengan orang ramai, memahami adab, situasi dan masalah mereka memberi kesan besar terhdap kejayaan dakwah. Da’I perlu hidup dan berinteraksi bersama mad’u, fahami masalah,  lalu meyelesaikannya secara paling berhikmah.

D. Berkhalwah di Gua Hira’.
  
1. Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Rasul, Allah telah timbulkan rasa cinta pada Baginda SAW untuk pergi berkhalwah di Gua Hira’. Gua Hira’ terletak di sebuah bukit berdekatan dengan Makkah, di barat laut Makkah.

2. Di sini, Nabi SAW merenung dan berfikir tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Khalwah ini berterusan sehinggalah turunnya wahyu kepada Baginda SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Dari masa ke semasa, Da'i mestilah mempunyai waktu untuk bersendiri dengan Allah SWT. Dalam tempoh ini, ruhnya berhubungan langsung dengan Allah SWT.

Da’I membersihkan jiwa dari akhlak tercela, kehidupan yang kacau, bermuhasabah diri dari kecuaian, serta mendekatkan diri (zikrullah) kepada-Nya.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 1, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

1. Kelahiran, Zaman Kanak-kanak dan Zaman Remaja Nabi Muhammad SAW

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan mula berbincang tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan mulai dengan fasa-fasa awal kehidupan baginda SAW.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Kelahiran Nabi Muhammad SAW.
  
1. Nabi Muhammad SAW dilahirkan daripada keluarga terbaik di kalangan keluarga Arab iaitu Bani Hasyim. Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia.

2. Quraisy adalah kabilah Arab yang paling mulia, berketurunan bersih dan miliki kedudukan paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Nenek moyang baginda pula semuanya lahir dari perkahwinan yang sah.

3. Daripada Al-Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy).

Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga-keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hashim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (hingga dipilih menjadi Rasul dan penutup segala Nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka (asal-usul keturunan ibu-bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada penzinaan, bahkan melalui penikahan yang sah).”
(HR Tirmidizi dengan sanad yang sahih)

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Da’I yang berkedudukan mulia di kalangan masyarakat, orang ramai akan lebih tertarik untuk mendengar seruan Dakwahnya.Keturunan Baginda SAW tidak menjadi isu atau celaan orang kafir Quraisy, sebaliknya mereka terpaksa mencipta isu-isu yang lain untuk menyakiti hati Baginda.

Islam tidak meletakkan nilai kepada kemuliaan keturunan seseorang dalam menilai darjatnya, namun ia menjadi nilai tambah kepada da’I dalam memangkin kejayaan dakwahnya. Seperti sabda Nabi SAW:

“Mereka yang terpilih semasa Jahiliyah, adalah juga mereka yang terpilih semasa Islam, sekiranya mereka memahami.” (HR Bukhari)  

B. Zaman Kanak-kanak.
   
1. Baginda SAW membesar sebagai anak yatim piatu, tanpa merasai belaian kasih sayang ibu bapa. Bapanya (Abdullah) meninggal dunia semasa Nabi dalam kandungan, ibunya (Aminah) meninggal dunia ketika Baginda berusia 6 tahun.

2. Nabi dipelihara oleh datuknya (Abdul Muttolib). Semasa berumur 8 tahun, datuknya pula meninggal dunia. Selanjutnya, Abu Tolib (bapa saudaranya) memelihara Baginda sehingga dewasa.

3. Allah SWT menceritakan keyatiman Nabi SAW dalam Al-Quran: 

"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu." (Ad-Dhuha 93: 6)

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Ketabahan menanggung keperitan anak yatim atau kesusahan hidup semasa kecil, membuatkan Baginda lebih peka dan sensitif dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia.

4. Nabi SAW menghabiskan 4 tahun pertama kanak-kanaknya di padang pasir perkampungan Bani Saad. Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda di usia yang masih kecil.

5. Bakat-bakat Baginda ini terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, di bawah kilauan sinaran matahari dan udara yang bersih.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Hidup dalam suasana yang hampir kepada fitrah semulajadi dan jauh daripada kehidupan yang kompleks akan membentuk kemurnian fikiran, kekuatan akal, tubuh badan dan jiwa sejahtera. Pemikiran juga mudah dibentuk.

6. Keunggulan Baginda terserlah sejak kecil lagi. Wajahnya menampakkan kecerdikan dan menimbulkan kasih sayang bagi yang melihatnya. Dalam majlis Datuknya, Baginda duduk di atas tilam Datuknya. Kanak-kanak lain (bapa saudaranya) tiada yang duduk di atasnya.

7. Ketika bapa-bapa saudaranya cuba menarik Baginda, Datuknya berkata: “Biarkan cucuku ini. Demi Allah, dia memiliki keistimewaan.”

C. Zaman Remaja.
   
1. Nabi SAW mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah 2 Qirat (1/24 Dinar). Sabda Baginda SAW: 

“Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing.” Maka para Sahabat RA bertanya kepadanya: “Kau juga ya Rasulullah?” Lantas Baginda menjawab: “Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa Qirat.”

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Urusan sara hidup para da'i bergantung kepada usahanya sendiri dan sumber pencarian yang mulia. Dia tidak mengemis, merendah harga diri dengan hina.

2. Baginda SAW tidak menyertai rakan-rakan sebayanya bersuka ria dan berpoya-poya. Pernah Baginda teringin untuk menyaksikan nyanyian di majlis perkahwinan sebuah rumah di Makkah, namun Allah SWT memeliharanya dengan menidurkannya. 

3. Nabi SAW juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan berjudi.Baginda tidak pernah celupar atau berkata kesat.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 1, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

Thursday 14 July 2011

Kaedah Pertemuan Dua Madrasah Fiqh (2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan meyambung semula perbincangan lalu tentang beberapa kaedah untuk memahami kemungkinan bertemunya dua aliran Fiqh masa kini.

Pertemuan Dua Madrasah (Bahagian 2).

Kaedah-kaedah seterusnya ialah:

D. Diperbolehkan Iltizam dengan 1 Mazhab bagi Orang Awam.

1. Di antara kesalahan yang tersebar di kalangan umat Islam di zaman fanatik mazhab adalah kewajiban beriltizam dengan satu mazhab saja, dan haram intiqal (berpindah) ke mazhab lainnya. Dan pandangan yang berlawanan pula ialah larangan iltizam dengan satu mazhab. 

2. Kedua pendapat ini tanpa dalil. Kewajipan iltizam dengan satu mazhab dan larangan intiqal mazhab lain baik secara umum mahupun dalam masalah tertentu, baik sebelum atau sesudah mengamalkannya, tiada dalil syara’nya. 

3. Allah SWT dan Rasul-Nya  hanya mewajibkan kita beriltizam dengan hukum syara’. Dan jika kita tidak mengetahuinya terus daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah, diperbolehkan untuk bertanya kepada ahlu adz-dzikri tanpa ada pambatasan kepada satu-satu pendapat sahaja.

4. Para Sahabat RA bertanya kepada para fuqaha’ (di kalangan Sahabat) dan mereka menjawab pertanyaan tersebut. Tidak seorangpun daripada sahabat yang ditanya itu mewajibkannya untuk tidak bertanya lagi kepada yang lain baik dalam masalah yang sama mahupun masalah yang lainnya. 

5. Demikianlah kaum muslimin di sepanjang masa, hingga di zaman 4 imam mazhab itu sendiri. Tiada seorangpun daripada mereka yang melarang muridnya mengambil pendapat ulama lain. Tidak pernah ada pemikiran yang mewajibkan iltizam dan melarang intiqal, kecuali kemudiannya.

6. Demikian juga pendapat yang mengharamkan iltizam dengan satu mazhab dan menganggapnya sebagai syirik. Ini juga tidak ada dalilnya. Jika ada seseorang yang merasa cocok dengan seorang ulama kerana ketakwaannya, dan selalu lebih disenangi fatwanya, maka dalam Islam juga tidak ada dalil yang melarangnya, baik ulama itu dari kalangan 4 madzhab atau selainnya. 

Yang tidak boleh adalah meyakini bahawa iltizam itu hukumnya wajib secara syara’. Kemudian jika suatu saat ingin intiqal ke mazhab lain, maka tidak ada yang menghalanginya.

E. Kewajiban Mengikuti Dalil bagi Pengikut yang Mampu Mengkaji.

1. Seorang muslim pengikut mazhab yang sudah mampu mempelajari hukum syara’, maka kewajipannya adalah mencari dalil bagi setiap masalah yang dikajinya, mendalaminya, memahami pendapat yang berbeza dan dalil-dalilnya, kemudian memilih yang paling dekat dengan Kitabullah dan As-Sunnah. 

2. Meskipun sikap ini membuatnya mengambil mazhab ini dan itu. Bahkan jika memerlukannnya untuk berijtihad sendiri dalam masalah-masalah baru yang belum dibahas oleh ulama sebelumnya.

3. Walaupun demikian, tiada larangan syara’ bagi seorang muslim pengikut mazhab untuk mengikuti satu mazhab sehingga dia mampu mempelajari seluruh masalah dengan kewajipanan mengikuti dalil yang lebih kuat dan bertahan pada dasar mazhab pilihannya dalam masalah lain. 

4. Allah SWT tidak pernah memberikan taklif kepada seseorang kecuali mengikut kemampuannya. Kandang-kadang, seorang muslim perlu berbulan-bulan tafarrugh (menfokuskan diri) untuk mempelajari satu masalah sehingga dapat menemukan dalil yang lebih kuat yang memuaskannya. 

5. Maka tidak salah kalau dia masih menjadi muqallid dengan salah seorang Imam, sehingga dia mampu mempelajari masalah. Lalu ketika telah menemukan dalilnya masih bersama dengan Imam yang diikutinya, dia boleh terus di situ. Dan jika mendapatkan dalil yang kuat ada pada Imam lain, maka dia akan pindah ke pendapat lain.

F. Diperbolehkan Talfiq.

1. Talfiq bererti mengambil daripada pelbagai mazhab untuk satu masalah dan sampai kepada cara mazhab itu berpendapat. Secara ringkas talfiq adalah seperti penjelasan berikut:

i. Mengambil satu masalah daripada satu mazhab dan mengambil masalah lain dari mazhab lain yang tidak berhubungan dengan masalah pertama, diperbolehkan menurut jumhur ulama yang tidak mewajibkan iltizam dengan satu mazhab dan memperbolehkan intiqal ke madzhab lain. 

ii. Seperti seorang yang solat dengan Mazhab Syafi’i, kemudian zakatnya dengan Mazhab Hanafi, atau puasa dengan Mazhab Maliki.

iii. Iltizam tentang satu masalah syara’ dengan satu mazhab, lalu intiqal ke mazhab lain dalam masalah yang sama. Seperti solat Zohor dengan satu mazhab kemudian solat Asar dengan mazhab lain, hal ini juga diperbolehkan oleh jumhur ulama yang tidak mewajibkan iltizam dengan satu mazhab.

2. Bentuk talfiq yang diperselisihkan adalah talfiq dalam satu masalah saja. Seperti seorang muslim berwudhu' menyapu sebahagian kepala sesuai dengan Mazhab Syafi’i, kemudian menyentuh wanita dan merasa tidak batal kerana taqlid kepada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik yang menganggap bersentuhan dengan wanita tidak membatalkan wudhu, kemudian dia solat. 

3. Para ulama mazhab terkemudian mengatakan, wudhu' itu sudah batal kerana telah bersentuhan dengan wanita, dan tidak sah menurut Abu Hanifah kerana menyapu kepalanya tidak sampai 1/4, tidak sah menurut Imam Malik kerana tidak menyapu seluruh kepala.

4. Talfiq di sini menyeret kepada cara yang tidak diajarkan oleh mazhab manapun. Inilah yang tidak diperbolehkan.

i. Sesungguhnya talfiq jika dilakukan dengan dalil yang kuat daripada orang yang mampu mengkaji dalil-dalil hukum syara’, diperbolehkan. Kerana kewajipan seorang muslim adalah berijtihad untuk dirinya sendiri. Dan ini bukan sisi yang diperselisihkan.

ii. Sedangkan talfiq yang dilakukan orang awam, diperbolehkan juga, kerana mazhabnya orang awam adalah mengikuti fatwa muftinya. Dan orang awam tidak ditugaskan untuk mengkaji mazhab dan melihat sudut-sudut perbezaan. Kerana, jika dia mampu melakukan hal ini tentu dia menjadi muqallid, bukan awam. 

Para sahabat RA ketika bertanya tentang satu masalah tidak menanyakan kepada seluruh orang yang mengetahuinya, dan yang ditanya juga tidak mensyaratkan jika sudah mengambil pendapatnya dalam masalah ini agar tidak bertanya kepada orang lain dalam masalah yang sama. 

Ini bermakna bahawa generasi terbaik telah melakukan talfiq ketika mazhab dan pendapat para Sahabat RA belum dikumpulkan dan dibukukan. Setiap muslim bebas bertanya kepada mana-mana sahabat yang ditemui, lalu bertanya ke sahabat lainnya, tanpa meneliti apakah dua pertanyaan itu berkaitan atau tidak.

iii. Contoh tentang wudhu' di atas, dapat kami jelaskan bahawa wudhu' itu telah benar menurut mazhab Syafi’i, sudah benar menurut pandangan syara’, kerana Mazhab Syafi’i bukan syariat yang berdiri sendiri, tetapi pintu yang dipergunakan seorang muslim untuk sampai kepada syariah Allah. 

Ketika sudah masuk ke mazhab itu dia sudah berada di ruang syariah, wudhu'nya benar dalam pandangan syariah. Jika dia menyentuh wanita dengan mengikuti mazhab Hanafi, maka wudhu'nya tetap sah sesuai dengan mazhab itu, ertinya sesuai dengan syariat Islam kerana mazhab Hanafi juga bahagian daripada syariat Islam.

iv. Kemudian talfiq yang dilakukan dengan dalil yang kuat, oleh orang yang mampu, dan larangan bagi orang awam, akan tercemar bahawa ada satu masalah yang haram atas seorang muslim dan halal bagi muslim lainnya. Hal ini tidak dapat diterima dalam hukum Islam yang di antara ciri-cirinya adalah  syumul (menyeluruh). 

Yang telah halal dalam syariah, halal untuk semua. Dan yang haram untuk dalam syariah, haram untuk semua.

v. Syeikh At-Torsusi, Al-Allamah Abu as-Su’ud, Al-Allamah Ibnu Nujaim, Al-Allamah Ibnu Arafah Al-Maliki, Al-Allamah Al-Adawi, dan lain-lain telah menfatwakan diperbolehkannya hukum murakkab atau talfiq. (lihat Kitab Usul Fiqh Al-Islami, DR Wahbah Az Zuhaili).

Tatabbu’ Ar-Rukhash Dalam Talfiq.

1. Ada sebahagian orang awam yang memilih Tatabbu’ Ar-Rukhash dan pendapat-pendapat yang aneh dalam mazhab-mazhab atau ulama dengan semangat talahhi (main-main), tasyahhi (senang-senang), atau mencari yang paling senang. Adakah diperbolehkan?

2. Majoriti ulama melarang talfiq yang demikian kerana sudah berubah menjadi ikut selera. Syariat Islam melarang kita mengikuti nafsu. Ibnu Abdul Barr menyebutkan ijma’ larangan ini.
3. Sebahagian ulama membolehkannya dalam beberapa mazhab, kerana tidak ada larangan dalam syariat yang melarangnya. Al-Kamal bin Al Hammam berkata dalam kitab At-Tahrir

“Sesungguhnya seorang muqallid dipersilakan mengikuti yang dia kehendaki, meskipun seorang awam mengambil setiap masalah dengan ucapan mujtahid yang lebih ringan baginya, saya tidak tahu apa yang melarangnya secara naqli dan aqli. Keberadaan manusia yang mencari apa yang lebih ringan baginya dari pendapat para mujtahid yang ahli berijtihad, saya tidak mengetahui celaannya dalam syariat Islam. Dan adalah Rasulullah SAW menyukai apa saja yang meringankan umatnya.”

4. Benar, bahawa tiada perbezaan hukum syara’ antara rukshah dan azimah, selagi masih hukum syara’ yang memiliki dalil sohih. Jika diperbolehkan talfiq dalam masalah pokok, maka tiada sisi larangan untuk memilih yang mudah-mudah selama rukhshah itu memiliki dalil syara’. 

5. Tidak boleh dikatakan bahawa hukumnya makruh jika tidak ada dharurat atau uzur, dan diperbolehkan tanpa makruh jika ada situasi dharurat atau uzur. Rasulullah SAW tidak pernah diberi pilihan 2 hal, kecuali memilih yang paling mudah selama tidak ada dosa (diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza dalam Sohih Bukhari Muslim, Muwattha’ Malik, Musnad Imam Ahmad dan Sunan Ad-Darimiy). 

6. Prinsipnya, setiap muslim diberi kebebasan memilih antara pendapat-pendapat produk ijtihadiyah yang berbeza-beza, dan insyaAllah pendapat-pendapat itu tidak ada dosa.

7. Perlu diingatkan bahawa talfiq hanya berlaku dalam masalah-masalah ijtihadiyah yang zhanni. Sedangkan untuk masalah-masalah yang bersifat qath’i tidak ada ruang untuk memilih rukhshah atau talfiq

8. Sepertimana jika talfiq atau mencari rukhshah itu menyeret kepada pelanggaran agama, maka hukumnya haram seperti jika dengan talfiq itu menyebabkan arak, zina, dan perbuatan haram lainnya yang qath’i menjadi harus. Ia tidak mungkin menjadi halal, baik dengan talfiq mahupun dengan cara lain.

Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat! ^_^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

Kaedah Pertemuan Dua Madrasah Fiqh (1)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Seperti yang dijanjikan, dalam entri kali ini kita akan membincangkan tentang kemungkinan bertemunya dua madrasah Fiqh masa kini, iaitu Mazhabiyah dan Salafiyah.

Pertemuan Dua Madrasah (Bahagian 1).

Di sini kita akan mengambil batas-batas kaedah syara’ yang memungkinkan dua madrasah itu bertemu, dan jauh daripada sikap fanatik kumpulan, iaitu:

A. Disyariatkan Taqlid.

1. Taqlid ertinya mengikuti pendapat seorang ulama tanpa mengatahui dalil kebenaran pendapat itu. Hal ini disyariatkan bagi umat Islam yang awam dalam masalah-masalah Fiqh. Dalilnya antara lain:

i. Firman Allah SWT: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl 16: 43)

Perintah ini kepada orang yang tidak mengetahui hukum agama untuk bertanya kepada ahlu ad-dzikr, iaitu orang-orang yang mengetahuinya. Dan yang terendah dalam perintah ini adalah al-ibahah (dibolehkan).

Kesimpulannya, diperbolehkan bagi orang awam untuk bertanya kepada ulama dan mengikuti pendapatnya.

ii. Firman Allah SWT:  

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (At-Taubah 9: 122)

Ayat ini dengan tegas menjelaskan bahawa tidak mungkin seluruh kaum muslimin mempelajari Fiqh, akan tetapi ada sekumpulan orang yang fokus, kemudian mengajarkannya kepada saudara-saudaranya. 

Jika memungkinkan atau semua umat Islam disuruh mendalami Fiqh dalam setiap masalah furu’iyah, maka Allah SWT tidak memberikan larangan di atas.

2. Realiti para Sahabat RA yang merupakan generasi terbaik, hanya terdapat sedikit fuqaha', dan majoriti mereka merujuk kepada para fuqaha' yang minoriti itu untuk mendapatkan fatwa masalah-masalah agamanya. Menerima fatwanya tanpa menanyakan apa dalilnya, kecuali dalam keadaan tertentu.

3. Rasulullah SAW mengutus seorang ulama atau qari’ (pembaca Al-Quran) dari kalangan sahabat ke satu kabilah untuk mengajarkan Islam dan Al-Quran. Kabilah itu menerima saja daripada sahabat itu tanpa menanyakan apakah dalilnya.

4. Demikianlah ijma’ (kesepakatan) sahabat tentang diperbolehkannya orang awam mengikuti seorang mujtahid. (Lihat Kitab Al-Ahkam, Al-Amidiy dan Al-Mustashfa, Al Ghazali).

5. Secara logik dan realitinya, apakah yang mampu dilakukan oleh seorang muslim awam yang disibukkan dengan urusan pekerjaannya? Apakah yang mampu dilakukan seorang arkitek, doktor, dan yang lainnya jika menghadapi masalah agama? 

6. Apakan kita mewajibkan mereka untuk mengkaji buku-buku tafsir dan hadis untuk mendapatkan nash atau tidak? Lalu jika tidak menemukan, maka perlu merujuk kepada buku-buku bahasa agar memahaminya. Jika menemukan lebih dari satu nash, maka wajib mentarjih salah satunya. 

7. Semua ini tidak akan terjadi kecuali setelah melakukan kajian yang panjang, mengetahui nasakh-mansukh, dan lain-lain. Jika tidak menemukan nash, kita suruh berijtihad. Sedangkan seseorang tidak akan dapat berijtihad jika tidak memilki kemampuan ijtihad.

8. Dan ketika kita perketatkan syarat ijtihad, maka kebanyakan orang tidak akan mampu, sebagaimana yang terjadi sekarang ini, atau akan terjadi ijtihad tanpa batasan syara', tanpa ilmu. Dan ini lebih berbahaya daripada mengembalikan mereka kepada ulama yang telah menfokuskan diri untuk menggali hukum.

9. Realiti madrasah salafiyah sendiri (bukan rahsia lagi) bahawa para ulama madrasah ini banyak berbeza pendapat antara satu dengan yang lainnya dalam masalah hukum Islam. Boleh jadi kerana bezanya pentafsiran, atau mentashih hadis, atau dalam istinbath hukum, dan setiap ulama itu memiliki pengikut pendapatnya.

10. Ada yang mengatakan bahawa hal ini bukan taqlid tetapi ittiba’ kerana pengikut itu mengetahui dalilnya dan menerimanya. Kami katakan, mengapa para ulama itu tidak mengenali dalil ulama lain dan menerimanya? Apakah ketika seseorang menerima dalil salah seorang ulama dianggap tidak ada nilainya kerana berbeza dengan ulama lainnya?

11. Apa bezanya hal ini dengan para pengikut yang menerima dalil yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip yang benar, dengan para pengikut taqlid tanpa bertanya tentang dalilnya, kerana dia menyedari ketidakmampuannya untuk menerima atau menolak dalil?

12. Akhir sekali, telah berlangsung ijma’ tentang diperbolehkannya taqlid sejak abad pertama, meskipun ada sebahagian kumpulan pengikut madrasah salafiyah yang berbeza pendapat. Kenyataannya mereka menerima taqlid itu dalam bentuk yang lain.

B. Taqlid Bukanlah Kewajipan.

1. Di antara kesalahan umum pada fasa fanatik mazhab ialah terbahaginya umat Islam kepada mujtahid dan muqallid. Lalu tertutupnya pintu ijtihad. Sehingga setiap orang menjadi muqallid, termasuk para ulama dan pencari ilmu. Kerana itulah melemah atau hilang semangat untuk mengkaji, berdiskusi, dan melakukan pendalaman. 

2. Obsesi para ulama muqallid hanya terbatas kepada pembelaan pendapat mazhabnya (meskipun dengan dalil yang lemah, dan walaupun mereka tidak berhak kerana berstatus muqallid) untuk berbeza dengan mazhab. 

3. Al-Izz bin Abdussalam dalam kitabnya “Qawa’idul Ahkam” mengkritik para fuqaha' yang mengetahui kelemahan dalil imamnya, lalu berusaha mencari pembenarannya, dan walau tidak menemukan pembelaan kelemahan tersebut, masih saja mengikutinya dengan meninggalkan Al-Kitab, As-Sunnah, dan Qiyas yang sohih, kerana mempertahankan kejumudan taqlid imamnya.

4. Kalimat itu tidak bermaksud untuk membuka pintu ijtihad yang bebas dimasuki sesiapa saja tanpa kemampuan yang mencukupi. Sebaliknya, bertujuan untuk mengatakan bahawa taqlid dan kepentingannya adalah dalam batas mubah dan boleh, tidak akan berubah menjadi wajib, kecuali kepada orang awam yang sama sekali tidak memiliki kemampuan pengkajian dan penelitian.

5. Sedangkan bagi orang yang mampu mempelajari dan meneliti, atau mampu untuk berpindah dari taqlid (mengikuti pendapat ulama tanpa mengetahui dalilnya) kepada ittiba’ (mengikuti pendapat ulama setelah mengetahui dalilnya), mengetahui dalil dan menerimanya tidak bererti  menjadikannya ahli ijtihad. 

6. Hanya memperbolehkannya, boleh jadi dalam satu masalah ketika mempelajari dalil-dalil mazhabnya kemudian menemukan kelemahan dalil itu, membolehkannya untuk mengambil pendapat mazhab lain yang lebih kuat. 

7. Posisi ini dapat disebut (seperti Imam Hassan Al-Banna menyebutnya) “Tingkatan Mengkaji Hukum Agama” atau tingkatan orang yang mampu mengkaji hukum-hukum agama, memahaminya, mengenali dalilnya, dan merujuk kepada sumber utama untuk menilainya.

C. Taqlid Tidak Terhad kepada 4 Mazhab.

1. Masalah umum yang wujud di zaman fanatik mazhab adalah pembatasan taqlid kepada 4 mazhab sahaja. Sedangkan tiada dalil syara' yang melarang kita taqlid kepada ulama selainnya.

2. Dasarnya hanyalah bahawa mazhab 4 itu telah lengkap pembukuan dan penjelasannya, dapat diperoleh secara berurutan, terbahagi menurut bab yang rapi, dan tersedia para ulama yang mengajarkan, sehingga dapat dengan mudah meyakinkan dan menisbahkan pendapat itu kepada asalnya, imamnya atau mazhabnya.

3. Sedangkan mazhab yang lain, sangat sulit untuk menemukan nisbah pendapat itu kepada yang berhak. Jika ditemukan nisbahnya pun, pendapat-pendapat itu tidak didukung oleh para pengikut mazhab yang menjelaskannya ketika kita memerlukan penjelasan. Atas dasar seba-sebab teknikal di atas itulah, kemudian para ulama menghadkan taqlid hanya kepada 4 mazhab saja. 

4. Namun kini, buku-buku klasik Islam telah dicetak dan telah berada di tangan umat Islam. Pendapat para Sahabat RA dan Tabi'in serta para mujtahid (sebelum era 4 mazhab, semasa mereka, atau sesudahnya) telah tersebar dan sangat mudah untuk menisbahkan kepada pemilik asalnya, maka tiada lagi halangan untuk bertaqlid kepada mereka dalam satu masalah atau yang lainnya, jika kita berkemampuan untuk mengkaji dalil-dalilnya. 

5. Apalagi jika ditemukan bahawa dalil-dalil mereka lebih kuat dari dalil yang sedang kita amalkan sekarang ini.

6. Al-Izz bin Abdussalam berkata, “Maka ketika ada mazhab yang menurutnya lebih kuat, maka bagi orang yang taqlid itu diperbolehkan mengikutinya meskipun di luar 4 mazhab.”

Wallahu a'lam.

Begitulah bahagian pertama, beberapa kaedah untuk memahami kemungkinan bertemunya dua madrasah Fiqh yang utama ini.

Di entri akan datang, insyaAllah kita akan lanjutkan kepada kaedah-kaedah seterusnya.

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

Sejarah Perkembangan Fiqh (3)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan meyambung semula perbincangan lalu iaiatu tentang Sejarah Perkembangan Fiqh.

Mari kita ikuti bersama sambungan siri terakhir ini...

C. Selepas Ketiadaan 4 Imam Mazhab hingga Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah.

1. Umat Islam menerima 4 mazhab secara talaqqi, dan menjadikannya sebagai pegangan Fiqh Islam. Para ulama mempelajari dan mengajarkannya. 

2. Maka, mulailah Fiqh menyebar luas daripada penyelesaian masalah hingga kepada analisis kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi. 

3. Kajian-kajian Fiqh tersebar luas, dan mulai muncul fanatik mazhab yang menjadikan pengikut suatu mazhab menganggap dirinyalah yang Islam, sedangkan pada mulanya mazhab hanyalah hukum dan pendapat yang berkembang dalam batas-batas ajaran Islam yang luas. 

4. Kemudian para ulama 4 mazhab itu mengeluarkan fatwa tertutupnya pintu ijtihad, sehingga orang-orang yang tidak ahli tidak memasuki wilayah ini, lalu diikuti oleh orang-orang awam sehingga umat Islam berada dalam gelombang ketidakpastian yang menghapus apa yang telah dibina oleh para ulama besar sebelumnya.
5. Demikianlah sehingga berubah kepada taqlid. Para ulama mengarahkan usahanya untuk mencari dalil atas pendapat-pendapat mazhab, berijtihad di dalam mazhab, mentarjih antara pendapat yang berbeza-beza dalam satu mazhab. Jadilah Fiqh hanya berputar dalam dirinya sendiri. 

6. Seorang ulama Fiqh mensyarah (menjelaskan) kitab Fiqh Imam sebelumnya dengan penjelasan terperinci berjilid-jilid besarnya, lalu datang ulama berikutnya yang meringkasnya, kemudian ada yang memberikan ta’liq (catatan) kepada ringkasan itu untuk menguraikan sebahagian ketidakjelasan, lalu ada yang menulis hasyiyah (catatan tepi) nya, kemudian ada yang kembali menghuraikannya dengan terperinci.

7. Demikianlah Fiqh mengalami kejumudan untuk menghuraikan realiti yang berlaku.Terjadi pembengkakkan kajian masalah ibadah sementara terpinggirnya masalah-masalah politik Islam dan masalah mu’amalat. 

8. Hasilnya, ketika terjadinya serangan Barat terhadap negara Islam pada akhir abad ke-19, ramai orang-orang yang sudah kalah jiwanya, lalu menerima pemikiran Barat yang bertentangan dengan syari’at Islam dan menanggalkan ciri-ciri keislamannya.

9. Sehingga ada seorang tokoh yang berfatwa memperbolehkan wang riba untuk diberi makan anak-anak yatim serta mengesahkan kesamaan hak lelaki dan wanita dalam memperoleh harta warisan.

10. Buah daripada fanatik mazhab adalah kejumudan fiqh yang melatarbelakangi runtuhnya Khilafah Uthmaniyah. 

11. Pada masa itu memang ada ulama yang menyeru untuk menolak taqlid. Ramai juga di antara ulama mazhab yang berijtihad dan berbeza dengan pendapat mazhabnya, dengan mentarjih pendapat mazhab lainnya. 

12. Namun, terpaku dengan satu mazhab Fiqh menjadi ciri menonjol majoriti umat Islam saat itu, terutama ketika ada suara dari sebahagian pengikut mazhab yang fanatik melarang perpindahan ke mazhab lain.

D. Sejak Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah Sehingga Kini

1. Fasa ini ditandai dengan semakin luasnya perbezaan antara dua madrasah Fiqh:

i. Al-Madrasah Al-Madzhabiyyah, iaitu madrasah pengikut 4 mazhab yang menganggap telah tertutupnya pintu ijtihad, dan kewajipan seorang muslim untuk konsisten dengan salah satu dari 4 mazhab.

ii. Al-Madrasah As-Salafiyah, iaitu madrasah yang menghendaki kembali langsung kepada Al-Quran dan As-Sunnah, melarang seorang muslim taqlid dalam masalah furu’, mewajibkannya berijtihad, mengkaji, dan mengambil langsung dari teks Al-Quran dan Sunnah.

2. Memang pertembungan ini sudah wujud sejak fasa sebelumnya, namun pada fasa ini ia menjadi semakin meruncing dan meluas. Ia menjadi tema penting dalam diskusi-diskusi antara para ulama dan pencari ilmu, bahkan di kalangan masyarakat awam. Pendokong setiap madrasah menulis buku, menyebarkan artikel untuk mempertahankan pandangannya. 

3. Sebenarnya, jika ruang dialog ilmiah diperluaskan (insyaAllah) akan mampu mencairkan sikap fanatik kumpulan dan mengurangkan jurang perbezaan. Namun, kewujudan orang-orang yang taksub di kedua-dua belah pihak yang terus membenarkan pendapat madrasahnya sahaja akan mengundang tindakbalas pihak yang berlawanan. 

Wallahu a'lam.

Begitulah bahagian terakhir ringkasan Sejarah Perkembangan Fiqh

Di entri akan datang, kita akan berbincang pula tentang kemungkinan wujudnya pertemuan di antara Madrasah Mazhabiyah dan Salafiyyah ini di dalam batas-batas syara', insyaAllah.

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

Sunday 10 July 2011

Sejarah Perkembangan Fiqh (2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan meyambung semula perbincangan tentang Sejarah Perkembangan Fiqh.

Mari kita ikuti bersama sambungan siri kedua ini...

B. Selepas Kewafatan Nabi SAW Sehingga Kebangkitan 4 Imam Mazhab:

1. Setelah Rasulullah SAW wafat dan wilayah-wilayah baru Islam sangat luas, keperluan ijtihad para sahabat kian meningkat

Hal ini disebabkan oleh 2 perkara:

i. Islam dipeluk oleh masyarakat baru, dan mempertemukannya dengan persoalan yang tidak pernah terjadi di masa Rasulullah SAW. Ditambah lagi dengan tiada wahyu yang turun, sedangkan terdapat keperluan untuk mengetahui hukum agama dan penjelasannya.

ii. Seseorang Sahabat RA tidak mengetahui semua sunnah Nabi SAW. Baginda mungkin sampaikan atau praktikkan satu hukum syara' di hadapan sebahagian atau seorang sahabat sahaja, dan tidak dilketahui oleh yang lain. Hal ini mendorong sebahagian Sahabat berijtihad dengan ilmu mereka. 

3. Jarak antara para Sahabat RA yang berjauhan setelah kematian Umar bin Al-Khattab RA, maka terbukalah ruang kemunculan dua madrasah yang berbeza dalam Fiqh:

i. Madrasah al-Hadis di Hijjaz, ini kerana kebanyakan mereka berpegang kepada riwayat hadis. Hijjaz adalah bumi pertama Islam. Setiap penduduknya memiliki sekurangnya satu hadis atau lebih. Juga tabiat dan kehidupan mereka yang tidak banyak berubah menyebabkan kurangnya keperluan berijtihad.

ii. Madrasah ar-Ra’yi di Kufah. Disebut demikian kerana banyak menggunakan akal dalam mengenali hukum-hukum syara'. Ini kerana sedikitnya hadis, akibat kurangnya sahabat di sana. Juga disebabkan banyak masalah baru dalam masyarakat baru di situ.

4. Awalnya, perbezaan antara dua madrasah itu amat ketara. Namun, ia semakin berkurang setelah pembukuan hadis-hadis. Ditambah  pula oleh keseriusan para ulama untuk menyaring dan menjelaskan martabat Hadis, sehingga tidak banyak memerlukan pendapat kecuali ketika tiada nash untuk sesuatu masalah yang timbul. 

Adapun berijtihad dalam sandaran nash itu sendiri memang sudah ada di Madrasah al-Hadis juga di Madrasah ar-Ra’yi.

5. Pada fasa ini, berlaku perkembangan fiqh yang besar dan menjadi satu bidang ilmu tersendiri dengan menampilkan ulama-ulama besar yang terkenal. 

Mereka adalah para ulama 4 mazhab, iaitu:

i. Abu Hanifah, An-Nu’man bin Tsabit (80-150 H) dikenal dengan sebutan Al-Imam Al-A’zham (Ulama Besar), berasal dari Parsi. Merupakan memimpin Ahlu ar-Ra’yi, pencetus pemikiran Istihsan (menganggap baik sesuatu), dan menjadikannya sebagai salah satu sumber hukum Islam. Kepadanyalah Mazhab Hanafi dinisbahkan.

ii. Malik bin Anas Al-Ashbahi (93-179 H). Beliau merupakan Imam Ahli Madinah yang menggabungkan antara hadis dan pemikiran dalam fiqhnya. Beliaulah pencetus istilah al-Masolih al-Mursalah (kebaikan yang tidak disebutkan dalam teks) dan menjadikannya sebagai sumber hukum Islam. Kepadanyalah Mazhab Maliki dinisbahkan.

iii. Muhammad bin Idris As-Syafi’i Al-Qurasyi (150-204 H). Mazhabnya lebih dekat kepada Ahlul Hadis, meskipun beliau banyak mengambil ilmu dari pengikut Abu Hanifah dan Malik bin Anas. Kepadanyalah Mazhab Syafi’i dinisbahkan.

iv. Ahmad bin Hanbal As-Syaibani (164-241 H). Beliau adalah murid Imam Syafi’i, dan mazhabnya lebih dekat kepada Ahlul Hadis

6. Hakikatnya, sebelum kemunculan para imam ini, bersama dan sesudah mereka itu, terdapat  juga ulama-ulama besar lain yang tidak kalah peranannya: 

i. Di kalangan Sahabat RA: Abdullah bin Mas’ud, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anhum

ii. Di kalangan Tabi'in: Said bin Musayyib, Atha’ bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’i, Al-Hasan Al-Bashri, Makhul, dan Thawus rahimahumullah

iii. Sezaman dengan 4 Imam:  Imam Ja’far As-Shadiq, Al-Auza’i, Ibnu Syubrumah, Al-Laits bin Sa’d rahimahumullah dan lain-lain.

7. Namun, keempat Imam Mazhab itu memiliki para pengikut yang merangkumkan pendapatnya, merapikan, menjelaskan, atau meringkasnya untuk disajikan dengan lebih mudah kepada umat Islam Hasilnya, umat Islam dapat memahami hukum-hakam Islam secara lebih tersusun rapi. 

8. Kemudian, diajarkan pendapat tersebut di masjid-masjid selama beberapa tahun sehingga ia menjadi asas  panduan bagi kehidupan umat Islam. Mereka tidak perlu merujuk kepada kitab-kitab tafsir, atau hadis untuk mengetahui hukum Islam kerana telah disajikan dengan kaedah mazhab Fiqh.

Wallahu a'lam.

Begitulah bahagian kedua Sejarah Perkembangan Fiqh, iaitu di era selepas kewafatan Rasulullah SAW dan kebangkitan 4 Imam Mazhab.

Di entri akan datang, kita akan berbincang pula tentang Sejarah Perkembangan Fiqh di era seterusnya, insyaAllah!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

Saturday 9 July 2011

Sejarah Perkembangan Fiqh (1)


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Sejarah Perkembangan Fiqh.

Insya Allah kita akan melihat perkembangan Fiqh Islam bermula semasa Rasulullah SAW masih hidup, zaman selepas kewafatan Baginda SAW, kemuculan mazhab-mazhab, kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, dan hingga kini.

Baiklah, mari kita ikuti bersama perbincangan ini!

Sejarah Perkembangan Fiqh Islam

A. Zaman Rasulullah SAW:

1. Rasulullah SAW semasa hidupnya menjadi rujukan setiap muslim untuk mengetahui hukum agamanya. Baik hukum itu diambil daripada Al-Quran mahupun Sunnah Baginda (mencakupi perbuatan, ucapan, dan ketetapannya). 

2. Hukum yang Baginda perintahkan adalah hukum Allah SWT yang bersifat qath’i meskipun berbentuk pemahaman terhadap ayat Al-Quran atau tafsirnya. Ini kerana peranan Baginda adalah menjelaskan Al-Quran.

Firman Allah SWT: 

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan.” (An-Nahl 16: 44)

3. Namun, para sahabat RA tidak selalu berdekatan dengan Rasulullah SAW (ada yang bermusafir atau bermukim di negeri yang jauh) sehingga bukan setiap masa boleh bertanya tentang hukum-hukum yang berlaku. 

Maka, apa yang boleh mereka lakukan? Para sahabat RA pun akan berijtihad setakat kemampuan dan pengetahuan mereka tentang hukum-hukum Islam daripada prinsip-prinsip Islam yang bersifat umum. 

Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka pun bertanya tentangnya. Mungkin Baginda mengiyakan ijtihad mereka, atau meluruskan jika ada kesalahan. Tetapi Rasulullah tidak pernah sekalipun menolak prinsip ijtihad mereka.

Contohnya untuk kes ini. Ammar bin Yasir RA berkata:

Rasulullah mengutusku melaksanakan satu tugas, lalu aku berhadas besar dan tidak menemukan air. Kemudian aku berguling-guling di tanah seperti haiwan. Selepas itu, aku menemui Nabi dan aku ceritakan hal ini, lalu Nabi bersabda: "Sesungguhnya sudah cukup bagimu dengan kedua tanganmu. Lalu Nabi memukulkan tangannya ke tanah dengan sekali tepukan, kemudian menyapu yang kiri pada tangan kanan, belakang tangan dan wajahnya.” (HR As-Syaikhani dengan lafaz Muslim)

4. Kadang-kala, sekumpulan sahabat berbeza ijtihad mereka hingga ketika masalah itu disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda menetapkan ijtihad yang benar dan menjelaskan kesalahan yang salah. 

5. Pernah juga Rasulullah SAW menerima 2 ijtihad yang bertentangan, iaitu ketika Baginda perintahkan kaum muslimin untuk berangkat ke Bani Quraizhah dengan sabdanya:

“Janganlah ada seseorang yang solat Asar kecuali di Bani Quraizhah.” (Selengkapnya hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Kitab al-Maghazi).

Muslimin segera berangkat, dan waktu Asar hampir tamat sebelum mereka sampai di Bani Quraizhah. Sebahagian berijtihad untuk solat di jalanan hingga tidak ketinggalan waktu Asar. Mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW tidak ingin kita mengakhirkan solat Asar lewat waktunya. 

Dan yang lainnya berijtihad dengan tidak solat Asar sehingga sampai di Bani Quraizhah sesuai dengan perintah Nabi, sehingga mereka solat Asar selepas Isya’. 

Ketika hal ini sampai kepada Nabi SAW, Baginda tidak mengingkari kedua kumpulan ini. Ini menunjukkan bahawa kemungkinan wujudnya lebih daripada satu kebenaran hukum syara' untuk satu masalah hukum.

Wallahu a'lam. Begitulah secara ringkasnya keadaan Fiqh Islam ketika Rasulullah SAW masih hidup.

Di entri akan datang, kita akan berbincang pula pada zaman selepas kewafatan Baginda dan kemunculan Mazhab, insyaAllah!

Bersambung...

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi

Pendahuluan: Kaedah Memahami Fiqh

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang kaedah dalam memahami Fiqh.

Dalam pengenalan secara ringkas ini, insya Allah kita akan melihat gambaran secara umum tentang Fiqh, ruang lingkup, sumber-sumber dan pembahagiannya.

Semoga dengan pemahaman kita ini, akan membantu kita dalam mencapai ciri-ciri ibadah yang benar, insyaAllah.

Apakah Definisi Fiqh?

Fiqh adalah sekumpulan hukum syara' yang wajib ke atas setiap muslim untuk beriltizam dengannya dalam kehidupan secara amali. 

Hukum-hakam ini mencakupi urusan individu atau kolektif, yang meliputi:

1. Al-Ibadah, iaitu hukum yang berkaitan dengan solat, haji dan zakat.

2. Al-Ahwal as-Syahsiyyah, iaitu hukum yang berkaitan dengan keluarga sejak bermula hingga akhirnya.

3. Al-Mu’amalat, iaitu hukum yang berkaitan dengan hubungan antara sesama manusia seperti hukum akad, hak kepemilikan, dan lain-lain.

4. Al-Ahkam as-Sulthaniyah, iaitu hukum yang berkaitan hubungan antara negara dan rakyat.

5. Ahkam as-Silmi wal Harbi, iaitu yang mengatur hubungan antara negara Islam dengan negara bukan Islam.

Sesungguhnya kesyumulan Fiqh Islam terhadap hukum-hakam ini dan sejenisnya menegaskan bahawa Islam adalah manhaj (sistem) hidup yang tidak hanya mengatur agama, tetapi juga mengatur negara.

Dari Manakah Hukum Fiqh Digali?

Kaum muslimin telah bersepakat bahawa sumber rujukan asasi setiap muslim dalam menggali hukum-hukum Islam adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul

Perbezaan pendapat terjadi pada sumber-sumber hukum yang lainnya, seperti Ijma’, Qiyas, Istihsan, Maslahah Mursalah, dan al-'Urf (adab kebiasaan). Namun, sumber-sumber yang berbeza ini tetap merujuk kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul juga. 

Oleh itu, dapat dikatakan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah adalah dua rujukan setiap muslim untuk mengetahui hukum Islam. Hal ini tidak berarti kita menolak sumber hukum lainnya, kerana sumber-sumber hukum yang lain itu pun merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Pembahagian Hukum Syara'.

Hukum Syara' terbahagi kepada dua jenis iaitu Qath'i dan Zhanni.

A. Qath’i, iaitu sekumpulan hukum-hakam yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah dengan kesimpulan yang pasti, contohnya:

1. Kewajiban Solat, daripada firman Allah: وأقيموا الصلاة
2. Kewajiban Puasa, daripada firman Allah: فمن شهد منكم الشهر فليصمه
3. Kewajiban Zakat, daripada firman Allah: وآتوا الزكاة
4. Kewajiban Haji, daripada firman Allah: ولله على الناس حج البيت
5. Larangan Riba, daripada firman Allah: وذروا ما بقي من الربا
6. Larangan Zina daripada firman Allah: ولا تقربوا الزنا
7. Larangan Arak, daripada firman Allah: فاجتنبوه لعلكم تفلحون
8. Kedudukan Niat, kerana sabda Nabi: إنما الأعمال بالنيات

Hukum syara' yang bersifat qath’i ini tidak ada peluang khilaf (beza pendapat) di antara kaum muslimin (samada ulama, mazhab, atau umat secara umum).

Ini kerana, semua itu adalah hukum-hakam agama yang secara maklumnya diterima sebagai dharuriyyat (kepastian). Dan jumlahnya lebih kecil jika dibandingkan dengan hukum syara' yang Zhanni.

B. Zhanni, meliputi: (1) sekumpulan hukum-hakam yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan AS-Sunnah dengan kesimpulan yang Zhanni (hipotesis). (2) sekumpulan hukum-hakam yang digali (istinbath) oleh para ulama dari pada sumber-sumber syara' yang lain dengan berijtihad.

Di antara contoh bahagian (1) adalah:

i. Kadar usapan kepala yang wajib dilakukan ketika berwudhu: seluruh kepala menurut Imam Malik dan Ahmad, cukup sebahagiannya menurut Abu Hanifah dan Syafie. 

Hal ini kerana huruf “ba” dalam firman Allah وامسحوا برؤوسكم dapat dipahami dengan berbagai pemahaman, dan tidak terbatas pada satu makna.

ii. Jarak perjalanan musafir yang memperbolehkan berbuka bagi orang yang berpuasa dan qashar solat. 

- 4 Burud (sekitar 90 km) menurut Mazhab Maliki, Syafi’i, dan Hanbali, kerana hadis Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Ibnu Mas’ud RA mengqashar solat dan berbuka pada jarak 4 Burud

- Menurut Mazhab Hanafi jaraknya adalah perjalanan 3 hari (sekitar 82 sampai 85 km) kerana hadis Al-Bukhari yang berbunyi. "Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat bermusafir sejauh tiga hari tanpa disertai mahram."

Daripada kedua contoh di atas, jelas sekali bahawa pengambilan kesimpulan dari hadits di atas bersifat zhanni (hipotesis).

Manakala contoh bahagian (2) adalah:

Kes isteri bagi orang yang hilang dan tidak diketahui apakah masih hidup atau sudah mati:

Ijtihad Mazhab Hanafi dan Syafi’i putuskan bahawa wanita itu menunggu sehingga orang-orang yang sebaya dengan suaminya itu mati, sehingga dapat disimpulkan bahawa suaminya sudah mati. Ketika itu baru diputuskan berakhirnya status suami isteri, dan boleh menikah dengan orang lain. 

Dalilnya adalah, orang yang hilang itu asalnya dalam keadaan hidup. Secara prinsipnya dia masih hidup sehingga wujud bukti kematiannya. Ini adalah dalil ijtihadi yang bersifat zhanni

Sedangkan dalam ijtihad Mazhab Maliki, diputuskan berakhirnya status suami isteri dengan suami yang hilang, sesuai dengan permintaan isteri setelah berlalu masa 4 tahun hilang dalam keadaan damai (bukan perang) dan satu tahun dalam keadaan perang. 

Dalilnya adalah menjaga maslahah isteri dan mencegah hal-hal buruk baginya, menghindari kerugian yang timbul dengan mempertahankannya dalam keadaan tergantung. Hal ini juga bersifat ijtihadi dan zhanni.

Wallahu a'lam. Begitulah secara ringkasnya pengenalan tentang Fiqh dan kaedah memahaminya.

Di entri akan datang, kita akan berbincang pula tentang Sejarah Perkembangan Fiqh, insyaAllah!
Taisir Fiqh al-'Ibadat, Syeikh Faysal Mawlawi