Thursday, 7 July 2011

Fasal 7: Kita Hidup dalam Lautan Udara


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Udara yang selalu kita hirup. Kadang-kadang kita tidak begitu mengindahkan nikmat Udara dan hikmah-hikmah penciptaannya.

Sebenarnya, jika diteliti dengan saksama, kita akan merasakan betapa agungnya Allah SWT yang telah memberikan kita nikmat Udara itu secara percuma.

Baiklah, mari kita ikuti perbincangan menarik ini!

Udara dan Kehidupan.
Aktiviti: Cuba tutup hidung dan mulut anda selama 1 atau 2 minit; apa yang terjadi? Kenapa begitu?

Ini kerana udara mengandungi gas oksigen yang  diperlukan oleh manusia untuk bernafas. Tanpanya untuk hanya beberapa minit sahaja kita akan mati.

Rakan-rakan sekalian, bukankah ini merupakan nikmat Allah SWT yang wajib disyukuri?

Apakah Faedah Udara?

1. Udara mempunyai lapisan atmosfera yang meliputi bumi. Fungsi atmosfera ialah sebagai pelindung yang memelihara keselamatan bumi daripada berjuta meteor dan tahi bintang yang gugur setiap hari.

Ketebalan atmosfera bumi ini telah ditentukan oleh Allah SWT agar mampu membakar meteor sebelum jatuh sebagai bencana ke bumi. Lapisan Ozon pula memelihara bumi daripada terkena sinaran UV yang berbahaya.
  
2. Udara (Angin) bertindak sebagai agen pendebungaan bagi tumbuhan. Tanpa proses ini, tumbuhan tidak akan berbuah. 

Firman Allah SWT:

"Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengawinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya." (Al-Hijr 15:22)


3. Kerana wujudnya aliran dan tekanan udara, burung-burung (juga Kapal Terbang) dapat terbang dan berpindah dari satu destinasi ke destinasi yang lain. 

4. Udara adalah lautan yang kita hidup di dalamnya

i- Ia memberi tekanan kepada badan dan mengimbangi tekanan cairan badan, darah dan sebagainya.
ii- Jika tekanan tidak seimbang, urat darah akan pecah dan darah akan terburai.
iii- Tekanan udara yang seimbang membuatkan kita tidak merasa tekanan darah dan udara. 

5. Udara (Angin) adalah agen pembawa hujan kepada kita secara percuma.

6. Manusia dapat manfaat daripada angin untuk menggerakkan kapal sejak beberapa kurun yang lalu.


Firman Allah SWT:

"Jika Dia menghendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan) -Nya bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur, atau kapal-kapal itu dibinasakan-Nya karena perbuatan mereka atau Dia memberi maaf sebagian besar (dari mereka)."
(As-Syura 42: 33 - 34)

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini, dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkan-Nya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya; dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal." (Al-Jaatsiyah 45: 3-6)

Hikmah dalam Kejadian Udara.

Akhir sekali, diringkaskan beberapa hikmah kejadian Udara:

1. Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani menyediakan udara di setiap tempat di muka bumi. Kita tidak perlu bersusah payah kumpul dan simpan.

2. Oksigen tak akan habis. Allah Yang Maha Mengasihani gantikan oksigen secara berterusan dengan perantaraan tumbuhan yang mengambil karbon dioksida dan membebaskan oksigen.

3. Allah SWT menciptakan organ penafasan yang tidak pernah berhenti bekerja sejak lahir. Kita dikurniakan sistem pernafasan yang automatik, tidak memenatkan atau menyakitkan.

Wallahu a'lam. Begitulah perbincangan kita tentang udara. Semoga perbincangan kita ini menambahkan keimanan dan rasa syukur kita kepada Allah SWT. Subhanallah wal alhamdulillah!


Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani

No comments: