Wednesday 6 July 2011

Fasal 5: Manusia Hendaklah Melihat pada Makanannya

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang makanan. Ya, selepas ini anda akan melihat bagaimanakah kita dapat mengaitkan topik makanan ini untuk mengenal Allah SWT dan kekuasaan-Nya.

Tentu menarik sekali bukan? Ayuh, mari kita ikuti perbincangan ini!

Hendaklah Manusia Melihat pada Makanannya.

Dalam sebuah ayat, Allah SWT berfirman:

"Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya".
('Abasa 80: 24)

Begitulah bunyi suruhan tersebut. Persoalannya ialah, mengapakah Allah SWT menyuruh kita untuk memperhatikan pada makanan? Apakah hikmahnya?

Jawapannya ialah Allah SWT menyuruh kita lihat dan berfikir tentang semua makhluk-Nya (termasuk makanan) agar dapat dijelaskan sifat-sifat-Nya.

Baiklah, cuba kita kaitkan bersama sifat-sifat Allah SWT dengan perihal makanan...

A. Yang Maha Memberi Rezeki (Ar-Razzaq):

Manusia di dalam rahim ibu:


1. Tiada siapa yang menyuap makanan (rezeki) kepadan bayi (bukan ibubapa, kerajaan dan lain-lain). 
2. Allah SWT  mengadakan tali pusat untuk hubungkan perut bayi dengan ibunya. 
3. Dia telah salurkan makanan melalui tali pusat itu selama 9 bulan.
4. Apabila bayi selamat dilahirkan, dan tali pusat dipotong, Allah SWT membuka saluran makanan yang baru iaitu mulut, kerongkong dan perut.

Cuba kita fikirkan bersama. Adakah...

1. Ibu kita yang menutup saluran tali pusat, dan membina saluran mulut serta anggota penghadaman?
2. Bapa atau kerajaan yang berkerjasama dalam pembuatan urat-urat dan titisan darah?
3. Alam Semulajadi (Pokok, bukit, bintang) yang mengaturkan rezeki dan makanan kita? 

Sudah pasti TIDAK!
Sesungguhnya Allah Yang Maha Memberi Rezeki lah yang merencanakannya.

Kita perhatikan pula perihal Susu Ibu:

1. Bayi yang baru lahir belum mampu memakan bijirin, buah-buahan, daging atau roti.
2. Allah Yang Maha Memberi Rezeki tidak membiarkan bayi itu tanpa rezeki.
3. Maka, buah dada ibu yang sebelumnya tiada susu, selepas kelahiran bayi tiba-tiba penuh dengan susu.
4. Kemudian, dengan tiba-tiba bayi yang baru lahir itu mengerti bahawa bekalan makanannya sebelum ini telah tiada (tali pusat), dan dia perlu gunakan mulut untuk meminumnya.
5. Siapakah yang mengilhamkannya jika bukan Allah Yang Maha Memberi Rezeki?

Di samping itu, sedarkah kita bahawa Allah SWT telah menyediakan rezeki buat kita di mana-mana sahaja? Dia Yang Maha Memberi Rezeki telah menyediakan...


1. Tanah yang sesuai untuk pertanian dan air untuk keperluan tumbuhan, haiwan serta manusia.
2. Gas Oksigen, Karbon Dioksida serta Cahaya Matahari untuk proses Fotosintesis (proses tumbuhan membuat makanannya).
3. Tumbuhan dengan jumlah yang besar untuk menjadi makanan manusia dan haiwan.
4. Buah-buahan pelbagai jenis besar (bertangkai) dan kecil (bertandan).
5. Disediakan gigi yang dapat putuskan, carikkan, kisar dan hancurkan makanan.
6. Air liur yang basahi mulut (pelincir) yang mudahkan kita makan, juga mempunyai enzim yang melarutkan makanan.

B. Yang Maha Mengetahui (Al-'Alim):

Sifat ini terbukti apabila:

1. Allah SWT tahu bahawa bayi di dalam perut sudah perlukan makanan, maka Dia salurkan makanan melalui tali pusat.
2. Allah SW tahu bayi telah keluar dari perut ibu, lalu Dia salurkan makanan melalui buah dada ibu pula.
3. Allah SWT tahu ada air dan mineral dalam tanah, maka Dia ciptakan akar untuk tumbuhan menyedutnya.
4. Allah SWT tahu klorofil dalam tumbuhan hijau perlukan cahaya matahari, maka Dia susun dan dedahkan daun kepada cahaya matahari.

C. Yang Maha Bijaksana (Al-Hakim):

Sifat ini terbukti tatkala kita melihat betapa:

1. Telitinya penciptaan tali pusat pada tubuh bayi, diameternya membesar seiring tumbesaran bayi.
2. Tali pusat itu dihubungkan pada tubuh ibu secara kompleks.
3. Tepatnya komposisi kandungan susu ibu yang sesuai untuk tumbesaran bayi.
4. Halus dan telitinya pembentukan tumbuh-tumbuhan. Seperti proses pengeluaran buah dan penjagaannya. 

D. Yang Amat Mendalam Pengetahuan-Nya (Al-Khabir):

Lihatlah bukti ini pada...

1. Kepakaran untuk salurkan makanan ibu yang dihadamkan ke dalam tubuh bayi melalui tali pusat.
2. Kepakaran untuk salurkan makanan ibu yang dihadamkan ke buah dadanya sebagai susu.
3. Kepakaran untuk mengeluarkan bijirin dan buah-buahan yang pelbagai bentuk, warna dan rasa. Padahal semuanya ditanam di tanah yang sama dan disiram air yang sama, udara dan matahari yang sama.

E. Yang Maha Pengasihani (Ar-Rahim):

1. Allah SWT selamatkan bayi dalam perut daripada kelaparan dengan sediakan tali pusat.
2. Allah SWT ciptakan makanan yang sesuai kepada manusia semasa di dalam perut, ketika bayi dan setelah dewasa.

F. Yang Maha Mulia (Al-Karim):

1. Jika seorang manusia yang menanggung sara hidup 10 orang lain tanpa mengharapkan balasan dianggap seorang yang mulia.
2. Allah SWT telah menjamin dan menanggung rezeki bagi semua umat manusia dan benda hidup. Adakah sesiapa yang lebih mulia daripada-Nya? 

Firman Allah SWT: "Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya..." (Hud 11: 6) 

G. Yang Maha Memberi Petunjuk (Al-Hadi):

1. Dia mmberi petunjuk agar buah dada ibu penuh dengan susu apabila bayi telah dilahirkan.
2. Dia memberi petunjuk kepada bayi agar menghisap buah dada ibunya apabila lapar.
3. Dia memberi petunjuk kepada tumbuhan agar akarnya mengarah ke bawah (tanah) dan daun-daun mengarah ke atas (cahaya).
4. Dia memberi petunjuk kepada dedaunan agar tumbuh teratur; semua daun terkena cahaya matahari.

Firman Allah SWT: "Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan dan menyempurnakan (penciptaan-Nya), dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk." (Al-A'la 87: 1-3)

H. Yang Maha Menghidupkan (Al-Muhyi):

1. Tanah, udara, air dan cahaya matahari adalah benda mati. Ia tidak membesar, makan dan bernafas.
2. Tapi, dengan benda-benda mati ini, tumbuh-tumbuhan hidup, bernafas, membesar, bergerak, makan dan berpasangan lalu hasilkan buah. Subhanallah!

I. Yang Maha Membentuk Rupa (Al-Musawwir):

1. Sebidang tanah yang rata berubah menjadi kebun pokok buah-buahan.
2. Tanah itu dihidupkan dengan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai bentuk, warna dan ciri-cirinya tersendiri.
3. Siapa lagi yang menjadikan tanah, air, udara dan cahaya matahari lalu membentuk kebun yang indah dan cantik ini? Jika bukan Allah SWT, Yang Maha Membentuk Rupa?

Baiklah, apakah faedahnya kita mengatahui sebahagian daripada Sifat-sifat Allah?

Tahu sifat sesuatu, kita akan kenal pemilik sifat itu. Dengan ketahui sifat-sifat Allah SWT, kita akan semakin yakin bahawa hanya Tuhan yang mampu miliki sifat-sifat tersebut

Ini menolak pandangan orang kafir yang anggap segalanya berlaku disebabkan kudrat alam (nature).

Setelah kita merenung, kita pasti akan simpulkan bahawa Kudrat Alam (Nature) atau Patung Berhala:

1. Tidak mampu mengurus rezeki.
2. Tidak mempunyai hikmah.
3. Tidak mempunyai kepakaran.
4. Tidak mempunyai ilmu.
5. Tidak mempunyai rahmat.
6. Tidak mempunyai kemurahan; kerana ia tidak ada akhlak.
7. Tidak mempunyai petunjuk.
8. Tidak mempunyai kehidupan untuk berikan kehidupan kepada yang lain.
9. Tidak mempunyai keupayaan untuk membentuk rupa yang cantik.

Maka, benarlah hanya Allah SWT itulah Tuhan sekalian alam ini. Sebagai penutup, marilah kita mentadabburi ayat-ayat ini.

Firman Allah SWT:

"Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayur-sayuran, Zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun (yang) lebat, dan buah-buahan serta rumput-rumputan, untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu." ('Abasa 80: 24-32)

Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat!


Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani

1 comment:

Unknown said...

Alhamdulillah bermanfaat