Friday 17 February 2012

Anda Sudah Ditarbiyah? Apa Buktinya...



Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Jika ditanya apakah kita sudah Tarbiyah, secara formal tidak susah untuk menjawabnya kerana bukankah kita sudahpun… 

1. Ada Murabbi/yah yang mentarbiyah kita (malah bertukar ganti beberapa kali). 
2. Ada halaqah Tarbawiyah setiap minggu (bahkan ada halaqah binaan sendiri). 
3. Mendapat bahan-bahan Tarbiyah yang pelbagai dan berterusan. 

Namun, benarkah kita sudah Tarbiyah hanya kerana sudah ada Murabbi/yah? Atau sekadar dengan mengikuti halaqah mingguan dan program-program Tarbawi? Hanya kerana itu kita SUDAH Tarbiyah? 

Selain itu, apa buktinya konkretnya?

Baiklah, sekurangnya terdapat 8 penunjuk tambahan bagi membuktikan bahawa BENAR kita SUDAH Tarbiyah iaitu: 

1. TERBUKA terhadap PERUBAHAN.

Sepanjang menjalani Tarbiyah, kita pasti akan mengalami banyak perubahan kerana hasil akhir bagi Tarbiyah adalah berlaku perubahan (Jahiliyyah ke Umat Terbaik). Perubahan merupakan suatu Sunnah (ketetapan) Allah SWT dalam kehidupan. Dunia makin berubah, manusia semakin dewasa. 

Jadi, seorang peserta Tarbiyah mestilah mampu beradaptasi dengan perubahan yang berlaku di sekelilingnya tanpa mengurangkan iltizamnya terhadap Dakwah dan Tarbiyah. Dari tahun 1 ke tahun 4 di IPT, grad hingga bekerja, seterusnya berkahwin hingga mendapat anak. 

Contohilah Beluncas yang sentiasa bermetamorfosis menuju keadaan yang lebih baik. Ketika tiba masanya, Beluncas itu akan menjadi kepompong (ia tidak berteguh untuk terus jadi ulat). Dan pada waktu yang ditetapkan, ia bersedia merobekkan kehangatan dan keselesaan kepompongnya untuk keluar sebagai seekor rama-rama yang cantik dan mampu terbang tinggi. 

Dakwah kita juga telah berubah memasuki era yang lebih mencabar. Maka, peserta Tarbiyah perlu segera menyambut perubahan ini dengan semangat yang tinggi untuk berubah dan beradaptasi dengannya secara mental, fizikal dan spirtual. 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH?

2. BERTEGAS dengan PRINSIP, tetapi bukannya AGRESIF.

Kita mempunyai prinsip-prinsip yang jelas terhadap kejahiliyahan, kesyirikan dan kemaksiatan. Asasnya Usul 20. Juga kita mempunyai prinsip yang jelas tentang proses menegakkan Ad-Din ini iaitu melalui strategi-strategi dakwah, tujuan-tujuan dakwah dan sebagainya.

Oleh itu, kita sentiasa bertegas untuk mempertahankannya ketika kedua-dua prinsip di atas dilanggar atau dicabar.  Namun, tidak bermakna kita bertindak keras (agresif) dengan mencela, mengutuk, merendah-rendahkan dan menfitnah kepada pelanggar atau pencabar prinsip ini. 

Tarbiyah ini mengajar kita untuk bersabar (Al-Kahfi 18:28), berhikmah (An-Nahl 16:125) dan membalas kejahatan dengan cara yang lebih baik (Fushilat 41:34). 

Apabila dakwah kita sudah terbuka dan berterus-terang nanti, Insyaallah kita akan berhadapan dengan pelbagai persoalan yang memerlukan ketegasan yang disebutkan! 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

3. PERIBADI yang PRO-AKTIF. 

Peserta Tarbiyah sentiasa pro-aktif dalam perkara yang bermafaat kepada dirinya dan Islam, iaitu meliputi hal-hal dunia, dan lebih-lebih lagi untuk akhirat. (Al-Qasas 28:77). Banyak perintah Allah SWT tentang bersegera untuk kebaikan (Al-Mukminun 23:61) (Ali Imran 3:144) (Ali Imran 3:133). 

Kita tidak perlu menunggu arahan@saranan@keputusan Murabbi untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan kita. Pro-aktiflah dalam mencari bahan bacaan yang bermanfaat dan jadikan pembacaan tambahan. 

Mantapkan ilmu di bidang pengkhususan sendiri dan tambahkan wawasan tentang ilmu-ilmu di luar bidang seperti fiqh, sejarah, ekonomi, sosial, sains, teknologi dan lain-lain.

Pro-aktiflah untuk menyumbang kepada dakwah. Tak perlu tunggu peluang muncul di depan mata, sebaliknya cari dan ciptalah peluang tersebut. 

Ketika dakwah sudah memasuki era masyarakat umum, jika kita bersikap pasif dan menunggu-nunggu, apakah dakwah ini akan mampu berhadapan dengan cabaran kejahiliyahan yang menanti! 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

4. PERIBADI yang memiliki KESEDARAN DIRI. 

Seorang peserta Tarbiyah akan SEDAR banyak perkara setelah bergelumang dengannya. Ini kerana memang Tarbiyah itu untuk menyedarkan manusia akan hakikat sebenar kehidupan. 

Kita sedar akan kelebihan dan kekurangan diri sendiri, lalu kita tampung dengan bekerja secara Amal Jama’i. Dalam beramal jama’I pula kita berinteraksi dengan komuniti Tarbiyah yang juga mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dalam interaksi ini kita akan kembangkan kesedaran tentang diri sendiri dan orang lain juga. 

Kita juga perlu sedar bahawa Jemaah Dakwah ini adalah sebuah institusi manusia dengan segenap kemanusiaannya. Di sana ada keunggulan, kecerdasan dan kehebatan, tetapi juga terselit kealpaan, keegoan, dan kepentingan individu. 

Sikap suka menyalahkan orang lain perlu dijauhkan. Begitu juga dengan perasaan besar diri dan menganggap diri sendiri betul, orang lain salah, tak cukup pengalaman dan sebagainya. 

Kita perlu SEDAR bahawa biarpun Jemaah ini penuh dengan kekurangan dan kelemahan, namun BERJEMAAH itu lebih menguntungkan dan menguatkan daripada keseorangan (Hadis serigala makan biri-biri yang terlepas dari kumpulan). 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

5. PERIBADI yang MANDIRI dan MERDEKA. 

Tarbiyah akan melahirkan seorang yang berdikari (Qadirun ‘ala Kasbi) dan tidak terlalu bergantung terhadap ihsan orang lain.  Jiwa-jiwa Tarbiyah ini juga merdeka daripada sebarang penjajahan nafsu serakah. 

Lihatlah contoh para Rasul dan Sahabat RA yang merdeka daripada kejahatan nafsu. Bilal RA dan Sumayyah RA walaupun mereka berdua hamba, namun jiwa dan hati mereka merdeka daripada penjajahan manusia. 

Kemilau harta benda, pangkat dan wanita akan menjadi-jadi tatkala dakwah ini melebarkan pengaruh ke dalam organisasi masyarakat. Tanpa jiwa yang merdeka, adakah kita mampu bertahan dengan godaan tersebut? (At-Taubah 9: 24) 

 Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

6. HALUS PERASAAN, tetapi bukannya EMOSIONAL. 

Tarbiyah akan menghidupkan perasaan dan sensitiviti dalam beragama. Peserta Tarbiyah sangat halus perasaannya terhadap kebaikan, dan sangat sensitif jika Islam dihina dan hukum-hukumnya dipermain-mainkan sesuka hati. 

Gelojak perasaan dalam beragama ini (EQ) adalah sebuah energi yang mendorong seorang individu itu berkeperibadian agama (religious). Contohilah Umar RA yang kasar dan keras itupun berubah menjadi seorang yang sensitif dan halus perasaannya terhadap kedaulatan Islam. 

Walaupun perasaan kita halus dan sensitif, tidak bermakna kita terlalu emosional sehingga membelakangkan rasional. Sebaliknya kewarasan hendaklah mengatasi emosi.  Jadilah seperti Abu Bakar RA masih berfikir rasional, ketika para Sahabat (termasuk Umar RA) yang terlalu emosional dengan kewafatan Rasulullah SAW. (Ali Imran 3:144) 

Dakwah kepada masyarakat umum memerlukan sensitiviti terhadap budaya dan tradisi mereka dalam beragama, kita hendaklah menanganinya dengan pernuh perasaan, tetapi tetap rasional. Contohnya dalam mengubah bid’ah dan kepercayaan karut tidak boleh secara emosional, marah-marah, sebaliknya dengan cara yang paling berhikmah. 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

7. Sanggup BELAJAR dari KESILAPAN. 

Sebagai manusia, peserta Tarbiyah juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Merasa terpukul dan perih ketika tersilap itu juga adalah perasaan yang wajar dan manusiawi. Namun, kesalahan itu tidak pernah membunuh kemampuan kita untuk belajar daripada kesilapan, lalu mengubahnya menjadi kekuatan. 

Kita sedar bahawa memang kehidupan di dunia ini adalah medan ujian (Al-Mulk 67: 2); maka terkhilaf dalam ujian itu adalah normal. Tetapi, hendaklah kekhilafan itu dijadikan pengajaran di masa hadapan. 

Memang terdapat kesan kepada kita pasca kesilapan itu (seperti krisis kepercayaan diri, berkurangnya tsiqah dari rakan-rakan, dan trauma dengan hal-hal berkaitan), namun kita mesti bertanggungjawab dan menjadikan Tarbiyah sebagai sumber kekuatan! 

Kita semua pernah tersilap, namun kita tidak perlu kecewa kerana perkataan BANGKIT itu hanyalah benar-benar dimengerti oleh orang-orang yang pernah TERJATUH! 

Masa LALU adalah GURU, masa DEPAN adalah HARAPAN! 

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” (HR Tirmidzi & Ibnu Majah) 

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH? 

8. HIDUP di masa SEKARANG, REALISTIK dan berfikiran RELATIF. 

Dunia ini berwarna-warni, bukan hanya hitam dan putih. Tiada individu atau institusi yang serba putih dan sebaik malaikat. Masyarakat hari ini kenyataannya mempunyai pelbagai warna. Jika kita melihat dari kaca mata hitam putih sahaja, kita akan cenderung untuk menghukum manusia tanpa melihat dari kaca mata seni seorang da’i. 

Oleh itu, dunia memerlukan peribadi-peribadi yang mampu berfikir dan bertindak secara realistik dengan kenyataan masa sekarang.  Idea dan konsep yang diketengahkan oleh peserta Tarbiyah hendaklah realistik dengan peredaran masa, kondisi masyarakat dan relatif (berseni) dalam menghadapi kepelbagaian manusia. 

Kita tidak perlu terlalu obses dengan kisah-kisah silam, sebaliknya menjadi masa kini sebagai tempat berpijak dan bekerja. Insyaallah, dengan hidup di masa sekarang dan idea yang realistik, kenikmatan beragama itu akan turut dirasai oleh semua umat manusia dan tidak menjadi hak ekslusif sesetengah pihak sahaja.

Jadi, SUDAHkah kita TARBIYAH?

Wallahu a'lam. Moga perkongsian ini memberikan muhasabah kepada kita semua tentang jalan Tarbiyah ini.

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Sudahkah Kita Tarbiyah? Refleksi Seorang Mutarabbi, Eko Novianto

Tuesday 14 February 2012

Salah Faham Terhadap Tarbiyah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

InsyaAllah, kali ini kita akan membincangkan tentang beberapa salahfaham terhadap Tarbiyah. 

Mungkin ramai daripada kita yang beranggapan bahawa apabila sudah berada di dalam sistem Tarbiyah (punyai Halaqah dan mengikuti program), maka kita sudah terselamat dari segala anasir perosak jiwa. 

Awas, kerana sesungguhnya ramai yang pernah mengikuti Tarbiyah, namun akhirnya kecewa dan tercicir dari Jalan Dakwah yang sukar dan panjang ini. 

Kegagalan boleh terjadi ketika proses Tarbiyah sedang berjalan, ataupun mungkin di awal proses bermula. Antara sebab gagalnya proses Tarbiyah adalah kerana berlaku salahfaham di kalangan Murabbi & Mutarabbi terhadap proses ini. 

Di antaranya adalah 5 salahfaham berikut: 

1. Proses Tarbiyah dianggap sebagai pemindahan (transfer) ilmu semata-mata. 
2. Persepsi bahawa Murabbi adalah segala-galanya bagi Mutarabbi. 
3. Tarbiyah dianggap sebagai proses Indoktrinasi dan Dominasi. 
4. Kaedah Tarbiyah dianggap Tetap (Tidak boleh berubah). 
5. Kecenderungan untuk melakukan “Cloning” Murabbi. 

Baiklah, mari kita lihat satu persatu salahfaham ini:

1. Proses Tarbiyah dianggap sebagai pemindahan (transfer) ilmu semata-mata. 

Ada Murabbi yang merasa tugasnya selesai apabila bahan Tarbiyah (Tajuk atau Buku dalam silibus) sudah disampaikan dan dibincangkan dengan Mutarabbi. 

Mutarabbi pula merasa sudah mendapat Tarbiyah apabila pernah dengar atau sudah membaca bahan Tarbiyah tersebut. Sehingga, jika ada Daurah yang membincangkan tajuk yang sama, mereka rasa tak perlu datang lagi. 

Akibatnya daripada salahfaham ini, tujuan sebenar Tarbiyah iaitu sebagai pengawal dalam pembentukan Iman, Fikrah dan Harakah tidak kesampaian. 

2. Persepsi bahawa Murabbi adalah segala-galanya bagi Mutarabbi. 

Ada Murabbi yang merrasa dia perlu lebih dalam segala hal daripada Mutarabbi, sehingga dirasakan sangat aib jika Mutarabbi melebihinya dalam sesuatu bidang. 

Mutarabbi pula terlalu bergantung kepada Murabbi, hingga tidak berinisiatif sendiri dalam meluaskan tsaqafah dan fikrahnya dengan pembacaan kendiri (Tarbiyah Dzatiyah). 

Akibatnya, kematangan Tarbiyah Mutarabbi menjadi terhad di sekitar ruang lingkup pengaruh Murabbinya sahaja). Mutarabbi berkembang Tarbiyahnya, tapi terbatas ilmu dan kefahamannya, iaitu tidak akan melebihi kemampuan Murabbinya.

Mutarabbi akhirnya akan memberontak dan tidak puas hati, kerana potensi atau kelebihannya dihadkan atau tidak dioptimakan sepenuhnya.

3. Tarbiyah dianggap sebagai proses Indoktrinasi dan Dominasi. 

Ada Murabbi yang menganggap ukuran keberhasilan Tarbiyah hanyalah apabila terbentuknya wala’ (taat setia) Mutarabbi kepadanya dalam segala hal. 

Tarbiyah jenis ini akan berorientasikan pokoknya wala’, yakni jika Mutarabbi meberi pandangan berlainan sedikit daripadanya, dia dianggap tidak thiqah dengan Fikrah dan Tarbiyah yang diikuti, atau dilebel sebagai produk Tarbiyah yang gagal. 

Akibatnya, Mutarabbi menjadi statik (tidak dinamik), ilmunya terbatas dan pasif (tidak pro-aktif). 

4. Kaedah Tarbiyah dianggap Tetap (Tidak boleh berubah). 

Ada pula Murabbi yang cenderung melaksanakan Tarbiyah mengikut nostalgia cara dia dahulu ditarbiyah dahulu. Dia menggunakan cara lama, tak mengikut kehendak perkembangan atau trend terkini, serta tanpa teknologi terbaru dalam Tarbiyah.

Murabbi ini menganggap bahawa kreativiti dalam proses Tarbiyah akan mengurangkan “keaslian”nya. Namun, hakikatnya dia tidak faham yang Tsawabit (Tetap) adalah Manhaj, sementara teknik dan kaedah adalah Mutaghaiyyirat (Boleh berubah dan berkembang). 

Mutarabbi yang ditarbiyah sebegini akan terus mewarisi kaedah tradisional ini dan meneruskannya kepada anak buah mereka. Akibatnya, Tarbiyah menjadi bosan, hambar dan statik. Tarbiyah juga tidak berdasarkan keperluan Mutarabbi. 

5. Kecenderungan untuk melakukan “Cloning” Murabbi. 

Ada juga Murabbi yang menganggap bahawa kejayaan Tarbiyah adalah apabila dia berjaya menghasilkan klonnya di kalangan mutarabbi. Klon ini sama dalam kecenderungan, hobi, perasaan, selera, kegemaran hinggakan kepada hal-hal yang bersifat peribadi. 

Mutarabbi pula mentafsirkan bahawa segala muwasafat (ciri-ciri) Murabbinya itu wajib dituruti olehnya, kerana ia dianggap sebagai syarat keberhasilan Tarbiyah. 

Akibatnya, kecenderungan, kelebihan dan potensi Mutarabbi tidak dapat dioptimakan. Sebagai contoh, jika Murabbinya seorang pengurus Tarbiyah, tetapi Mutarabbinya cenderung berpersatuan dan Dakwah Umum. Kemudian, Murabbinya memasukkan dia dalam Lujnah Tarbiyah... Sudah pasti kebolehan Mutarabbi menjadi terhad!  

Akibat lainnya, Mutarabbi yang tidak mampu capai spesifikasi seperti Murabbinya seperti kaya, rajin belanja orang, aktif berpersatuan, cekap main bola atau pandai pidato akan merrasa inferior dan merasa tidak layak untuk jadi Murabbi. 

Kesannya, Halaqah akan mandul kerana mustahil bagi Mutarabbi untuk “copy paste” segala ciri-ciri Murabbinya. Serta kepelbagaian manusia tidak diraikan, disebabkan proses Tarbiyah dirasakan ‘strict’ dan tidak manusiawi). 

Wallahu a'lam. Moga perkongsian ini memberikan pencerahan kepada kita semua tentang Tarbiyah!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Sudahkah Kita Tarbiyah? Refleksi Seorang Mutarabbi, Eko Novianto

Friday 15 July 2011

6. Tahun Kesedihan dan Dakwah ke Taif

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan betapa kesedihan ditinggalkan orang-orang yang dikasihi, tidak melemahkan Nabi SAW dalam menyampaikan risalah Islam.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Tahun Kesedihan (Tahun ke-10 Kerasulan).
  
1. Abu Tolib, bapa saudara Nabi SAW yang kuat mempertahankan Baginda meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman. Nabi SAW bersungguh-sungguh mendesak agar Abu Tolib ucapkan syahadah ketika terbaring nazak, namun dia enggan kerana takut dapat malu dari kaumnya.

2. Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah merahmati dan mengampuni kamu. Aku akan terus memohon keampunan untukmu sehinggalah Allah menegahku.”

3. Lalu, Allah SWT menurunkan wahyu yang melarang Nabi dan orang beriman berbuat demikian:

"Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam." (At-Taubah 9: 113)

4. Apabila Abu Tolib meninggal, musyrikin Quraisy yang dahulunya segan dan gerun kepadanya mula bertindak kasar kepada Nabi SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Kadang-kadang ada kaum kerabat Da'I yang tidak bersamanya, tetapi bertindak melindunginya. Situasi ini memberi faedah kepada dakwah ketika ia masih lemah. Oleh itu, sentimen kabilah dan kekeluargaan boleh digunakan oleh Da’I untuk melindungi Dakwah selagi mana dia tidak seiringan melakukan kemungkaran bersama mereka.


5. Isteri tercinta Nabi SAW, Khadijah RA juga kemudiannya meninggal dunia pada tahun yang sama. Khadijah RA dulunya banyak berperanan ringankan kerungsingan dan kesedihan Baginda SAW dalam hadapi permusuhan Quraisy.

Khadijah RA juga banyak infaqkan harta bendanya untuk Dakwah. Dengan ketiadaan Abu Tolib dan Khadijah RA, tekanan dan perbuatan menyakiti Rasulullah SAW semakin hebat.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Isteri solehah yang beriman dengan kebenaran Dakwah dan perjuangan akan permudahkan banyak kesulitan yang dialami oleh Da’I. Isteri akan meringankan kerungsingan Da’I dan membangkitkan semangatnya untuk terus berdakwah serta teguh di atas jalannya.

Khadijah RA adalah contoh terbaik bagi seorang isteri yang yakin pada Dakwah dan Kebenaran. Kehilangannya menyebabkan Rasulullah SAW bersedih hati dan sugul. 

 B. Dakwah ke Taif.
  
1. Selepas kematian Abu Tolib dan Khadijah, Rasulullah SAW keluar menuju ke Taif. Baginda SAW ke sana dengan harapan akan dapat sambutan baik dan sokongan kepada Dakwah dari Bani Thaqif.

2. Namun, penduduk Taif menolak Dakwah Baginda secara kasar. Kanak-kanak disuruh menyakiti dan melontar batu pada Baginda SAW sehingga berdarahlah jasadnya yang suci.

3. Baginda berlindung di sebuah kebun lalu berdoa:

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kau-lah Tuhan golongan yang lemah dan Kau juga Tuhan-ku. Kepada siapa Kau serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis, atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Jika Kau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun, keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kau berhak untuk mencela aku sehingga Kau redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”  

4. Nabi SAW pulang dari Taif dengan Dakwahnya ditolak oleh Bani Thaqif. Baginda telah berlindung di sebuah kebun milik adik beradik Utbah dan Syaibah, anak-anak lelaki Rabiah.

5. Kedua beradik yang melihat Nabi SAW kepenatan setelah mendapat layanan buruk Bani Thaqif telah perintahkan Addas (hamba mereka yang beragama Nasrani) menghidangkan setangkai anggur pada Baginda.

6. Nabi SAW menerimanya dan ucapkan Bismillah. Addas tertarik mendengar Basmallah kerana tiada sesiapapun di kalangan kaum itu mengucapkan sebegitu. Setelah berdialog dengan Nabi SAW, Addas memeluk Islam. 

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Pemergian Nabi SAW ke Taif setelah penduduk Makkah memusuhi Dakwahnya merupakan bukti kekentalan tekad dalam jiwanya untuk sebarkan Islam. Ini jadi bukti bahawa Nabi SAW tidak berputus asa dalam menghadapi penolakan orang terhadap Dakwah Islam. 

Ketika Dakwah di tempat sendiri ditolak dan dimusuhi, Da’I perlu mencari medan-medan baru yang berpotensi untuk Dakwah.

Tindakan penduduk Taif menghasut kanak-kanak agar melontar batu pada Nabi SAW tunjukkan bahawa kejahatan itu sama sahaja walau di mana ia berada (bergantung pada kaum jahil untuk sakiti Da’I).   

Peristiwa berdarahnya kaki Nabi SAW akibat disakiti padahal Baginda seorang yang mulia menjadi bukti penindasan dan kesakitan yang akan ditanggung Da’I dalam berdakwah.

Doa Nabi SAW semasa di kebun menegaskan kejujuran Baginda dalam berdakwah serta keazamannya dalam perjuangan meskipun berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Da’I hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam berdakwah. 

Jika mendapat sengsara, Da’I akan kembali kepada Allah SWT dan memohon kekuatan daripada-Nya. Doa ini juga menunjukkan bahawa perkara yang paling ditakuti oleh Da’I adalah kemurkaan Allah SWT, bukannya kemurkaan makhluk.


Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 3, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie 

5. Penentangan Musyrikin, Hijrah ke Habsyah dan Boikot

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan bermulanya penentangan para musyrikin Quraisy terhadap Dakwah Baginda SAW.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Penentangan Musyrikin
   
1. Musyrikin Quraisy merespon Dakwah Baginda dengan keras dan ingin bertindak ke atas Rasulullah SAW, namun Abu Tolib melindungi dan enggan menyerahkan Baginda kepada mereka.

2. Selepas mereka beredar, Abu Tolib meminta Rasulullah SAW agar mengendurkan dakwahnya. Namun, Baginda menjawab:

“Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Jika mereka letakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku tinggalkan urusan ini, sekali-kali aku tidak akan tinggalkannya, sehinggalah Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya!”

3. Selepas peristiwa itu, musyrikin semakin hebat menyakiti Rasul SAW dan orang Islam. Sehingga ada sahabat yang syahid diseksa dalam usaha mempertahankan keimanan mereka. Di antaranya ialah Sumayyah RA dan Yasir RA.

4. Apabila melihat keteguhan orang-orang mukmin, musyrikin membuat keputusan untuk berunding dengan Nabi SAW. Mereka menawarkan harta sebanyak mana yang Baginda mahu, atau melantik Nabi SAW sebagai raja mereka. Namun, semuanya ditolak oleh Baginda SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Walaupun musyrikin menyeksa dan menindas orang-orang mukmin, namun mereka tetap teguh dengan akidah mereka. Ini adalah bukti kejujuran iman dan keikhlasan keyakinan mereka.

Ia juga menunjukkan ketinggian jiwa dan ruhani mereka. Orang-orang Mukmin menganggap kesakitan dan kematian di jalan Allah sebagai satu kerehatan serta ketenangan yang akan menghantar mereka kepada redha-Nya. 

Da’I hendaklah mengambil berat pada kaum kerabatnya dan berusaha mengislahkan mereka. Jika mereka menolak, Da’I sudah ada perlepasan daripada tanggungjawab itu.

Sebaik-baiknya, keluarga dijadikan pendokong dakwah yang utama, atau sekurang-kurangnya tidak menentang dakwah. Penolakkan Baginda terhadap tawaran Quraisy buktikan kebenaran dan kesucian dakwah yang dibawanya. Dakwah Islam tidak berorientasi keduniaan. Da’I lebih redha dengan Allah dan syurga-Nya daripada segala pangkat, kemegahan dan harta dunia.
 

B. Hijrah ke Habsyah.

1. Melihat kedegilan dan penyeksaan berterusan Quraisy terhadap orang-orang Islam, Nabi SAW menganjurkan agar para Sahabat RA berhijrah ke Habsyah.

2. Sabda Baginda SAW kepada Sahabat RA:

“(Bagaimana) kalau sekiranya kamu keluar ke bumi Habsyah? Di sana ada seorang raja yang tidak menzalimi sesiapa yang tinggal di negerinya. (Kamu tinggal di sana) sehinggalah Allah menjadikan untuk kamu jalan keluar kepada kesulitan kamu ini.”

3. Seramai 12 orang lelaki dan 4 orang perempuan berhijrah buat kali pertama ke Habsyah. Selepas pengislaman Umar dan kejayaan Islam, mereka pulang semula ke Makkah. Tapi, tidak lama kemudian mereka pergi semula ke Habsyah bersama orang-orang Islam yang lain. Kali ini seramai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita telah berhijrah.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Apabila Jamaah dalam bahaya (nyawa atau ancaman fitnah kepada pegangan akidah) Da’I mesti sediakan tempat yang selamat daripada percerobohan golongan batil tersebut. Perintah berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali juga menunjukkan ikatan agama sesama golongan beragama (samawi).

C. Pemboikotan.
  
1. Selanjutnya musyrikin bertindak memboikot Rasulullah SAW, Bani Hasyim dan Bani Muttolib. Musyrikin sepakat tidak berjual beli, bernikah dan bergaul dengan mereka. Juga tidak menerima sebarang pendamaian.

2. Pemboikotan ini berlangsung selama 2 atau 3 tahun. Nabi SAW dan orang-orang yang bersama Baginda berhadapan dengan kesulitan yang sangat teruk hasil pemboikotan tersebut.

3. Namun, boikot tersebut berjaya diakhiri dengan usaha tokoh-tokoh Quraisy yang rasional.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Golongan pendokong kebatilan tidak mudah menyerah kalah kepada pendokong kebenaran. Setiap kali usaha mereka gagal, mereka akan mencipta pelbagai cara untuk menentang kebenaran. Dan penentangan ini akan berterusan hinggalah kebenaran itu mengalahkan kebatilan.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

4. Dakwah Secara Rahsia dan Berterus-Terang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan permulaan Dakwah dan strategi yang diambil dalam menyebarkan  risalah Islam yang baru diperolehinya di Makkah.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Dakwah Secara Rahsia.
  
1. Antara orang yang paling awal beriman dengan Nabi SAW adalah Khadijah binti Khuwalid RA (Isteri); Ali bin Abi Tolib RA (Sepupu, 10 tahun); Zaid bin Harithah RA (Bekas Hamba); Abu Bakar As-Sidiq RA (Sahabat Karib) dan Bilal bin Rabah RA (Hamba). 

2. Kemudian wahyu terhenti seketika. Ulama berselisih pendapat tentang masa terhentinya wahyu (paling lama 3 tahun, paling singkat 6 bulan). Menurut penulis, 6 bulan adalah paling sohih.

3. Nabi SAW bersusah hati dan kecewa, bimbang jika Allah SWT telah membencinya. Setelah itu, turunlah wahyu yang kedua. 

4. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Jabir RA, daripada Nabi SAW:

Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara dari langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepadaku di Gua Hira’. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi.

Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata, “Selimutkan aku!” Maka Allah Taala menurunkan:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah kau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah kau jauhi.” (Al-Muddathir 74: 1-5)

5. Setelah itu, wahyu pun turun secara berterusan. Rasulullah SAW mula mendakwahkan Islam secara rahsia kepada golongan yang dipercayai kerasionalan akalnya selama 3 tahun. Hasilnya seramai kira-kira 30 orang memeluk Islam di kalangan lelaki dan wanita.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Jika Dakwah dan Islah menjadi satu perkara yang janggal pada mentaliti dan kepercayaan masyarakat, maka Da’I tidak perlu segera sampaikannya dengan lantang.
 
Da’I terlebih dahulu perlu membina sekumpulan kader yang mengimani dakwah ini, serta sanggup berkorban apa sahaja untuk menegakkannya. Langkah ini juga agar keselamatan dan kelangsungan dakwah terjamin (jika tidak, akan dihancurkan sebelum ia menjadi kuat).  

B. Dakwah Secara Berterus-terang.
  
1. Selepas 3 tahun, Allah SWT perintahkan Nabi SAW berdakwah secara terang-terangan melalui firman-Nya:

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah kau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr 15: 94)

2. Ekoran Dakwah secara berterus-terang ini, bermulalah peringkat ujian apabila musyrikin menyakiti orang-orang Islam. Malah Nabi SAW juga turut disakiti mereka. Dalam tempoh ini, orang-orang mukmin berhimpun secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam RA untuk mendalami Islam.
3. Suatu ketika, Nabi SAW diperintahkan untuk memberi amaran kepada keluarga terdekatnya. Baginda SAW berdiri di Bukit Sofa dan menyeru seluruh keluarga Quraisy agar beriman kepada Allah dan tinggalkan penyembahan berhala.

4. Mendengar seruan itu, Abu Lahab menengking Baginda, “Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?” Lalu Allah melaknat Abu Lahab dan isterinya di dalam surah Al-Lahab.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Dakwah Rasulullah SAW telah mengejutkan orang Arab dengan perkara yang asing bagi mereka. Mereka bimbang jika Dakwah itu dibiarkan ia akan perbodohkan pemikiran mereka, bongkarkan kecacatan tuhan-tuhan mereka dan orang Arab akan tinggalkan agama nenek moyang mereka. Jadi, mereka menyanggah keras dan ingin hapuskan dakwah Islam bersama para pengikutnya.

Da’I mestilah berada bersama-sama para mad’unya secara berkala dalam jangkamasa tertentu (harian atau mingguan) agar dapat mempertingkatkan keimanan mereka terhadap Islam dan Jalan Dakwah. Da’I perlu rahsiakan pertemuan tersebut jika dikhuatiri keselamatan gerakannya terancam dan akan membangkitkan penindasan golongan batil.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie