Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang satu topik yang sangat penting, iaitu bagaimanakah kita mengenal Allah SWT?
Ramai orang cuba mencari tuhan, namun tidak semua yang bertemu dengan Tuhan yang sebenarnya. Oleh itu, mari kita lihat bagaimanakah kaedah sebenar untuk mengenal-Nya.
Bagaimana Kita Tahu Allah SWT itu Wujud?
Cuba kita perhatikan beberapa situasi di bawah ini:
1. Sebuah kereta bergerak di jalanraya dari tempat yang jauh dan bengkang bengkok tanpa tersasar. Tentu kita percaya dan yakin bahawa ada pemandu yang menggerakkannya.
2. Kapal terbang yang terbang di langit dan tiba destinasi dengan selemat. Tentu kita percaya dan yakin pasti ada juruterbang yang menerbangkannya.
Soalan: Bagaimana kita begitu yakin bahawa kereta dan kapal terbang itu mempunyai pemandu dan juruterbang?
Daripada analogi di atas, mari kita fikirkan bersama:
1. Matahari, bulan, bintang dan planet bergerak di orbit masing-masing tanpa berlaku pelanggaran.
2. Malam dan siang silih berganti bertukar tanpa mendahului antara satu sama lainnya.
3. Alam ini dipenuhi makhluk hidup yang sentiasa membiak secara seimbang.
4. Bukankah itu adalah bukti wujudnya suatu Kekuasaan yang mengatur segala yang berlaku, iaitu Allah SWT!
Apa akan jadi jika Kekuasaan ini tiada?
1. Matahari, bulan, bintang dan planet akan berhenti bergerak atau berlanggar antara satu sama lain.
2. Siang dan malam berhenti dari bergilir dengan teratur.
3. Semua makhluk akan hancur binasa, ekosistem akan rosak.
4. Jika Pencipta makhluk tiada, sudah tentu makhluk pun tidak wujud!
Firman Allah SWT:
"Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)? Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu? sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan)." (At-Thur 52: 35-36)
Bagaimanakah Kita Mengetahui Sifat-sifat Allah?
Analogi Kereta: Dengan berfikir tentang penciptaan sebuah kereta, kita akan dapati:
1. Badan daripada besi: Pembuatnya mesti miliki besi dan mampu membentuknya menjadi kereta.
2. Cermin daripada kaca: Pembuatnya mesti miliki kaca dan mampu membentuknya menjadi cermin tingkap dan lampu.
Pembuat kereta itu juga pasti memiliki:
1. Dawai atau wayar untuk salurkan elektrik.
2. Kepakaran untuk membuat setiap komponen kereta.
3. Teknologi kejuruteraan automotif.
4. Kehendak untuk menghasilkan sebuah kereta berdasarkan bahan yang ada padanya.
Daripada analogi di atas, cuba kita lihat pula pada penciptaan sekalian makhluk di muka bumi ini. Dengan berfikir dan merenung hakikat penciptaan makhluk, kita akan dapati:
1. Hikmah pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Bijaksana (Al-Hakim).
2. Kepakaran pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (Al-Khabir).
3. Kekuatan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Perkasa (Al-Qawiy).
4. Kecantikan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Membentuk Rupa lagi Cantik Ciptaan-Nya (Al-Musawwar Al-Badi').
5. Petunjuk pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memberi Petunjuk (Al-Hadi).
6. Kehidupan pada kebanyakan Makhluk: Bukti Allah Maha Menghidupkan (Al-Muhyi).
7. Pengetahuan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Mengetahui (Al-'Alim).
8. Pemeliharaan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memelihara (Al-Hafiz).
9. Pengurusan rezeki pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memberi Rezeki (Al-Razzaq).
10. Sistem yang Bersepadu dan Konsisten pada setiap Makhluk: Bukti ciptaan Allah Maha Esa (Al-Wahid).
Maka, benarlah seperti firman Allah SWT:
"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini." (Al-Jaatsiyah 45: 3-4)
Ajaran Para Rasul-Nya.
Dengan berfikir tentang ciptaan Allah sahaja, kita masih belum mampu ketahui semua sifat-sifat Allah SWT.
Melihat pada sebuah kereta, kita belum tahu semua sifat pemiliknya. Adakah dia seorang pemurah atau bakhil? Tinggi atau rendah? Baik atau jahat?
Oleh itu, melalui perantaraan para Rasul, Allah SWT mengajarkan manusia tentang hakikat sebenar diri-Nya.
Firman Allah SWT:
"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al-Baqarah 2:255)
Wallahu a'lam. Insya Allah, di entri akan datang kita akan melihat dengan lebih lanjut bagaimana mengenali Allah SWT melalui tadabbur terhadap makhluk-makhluk-Nya.
Semoga bermanfaat!
Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani
No comments:
Post a Comment