Friday, 15 July 2011

1. Kelahiran, Zaman Kanak-kanak dan Zaman Remaja Nabi Muhammad SAW

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan mula berbincang tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan mulai dengan fasa-fasa awal kehidupan baginda SAW.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Kelahiran Nabi Muhammad SAW.
  
1. Nabi Muhammad SAW dilahirkan daripada keluarga terbaik di kalangan keluarga Arab iaitu Bani Hasyim. Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia.

2. Quraisy adalah kabilah Arab yang paling mulia, berketurunan bersih dan miliki kedudukan paling tinggi di kalangan bangsa Arab. Nenek moyang baginda pula semuanya lahir dari perkahwinan yang sah.

3. Daripada Al-Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencipta makhluk ini, lalu Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik makhluk dan daripada sebaik-baik kelompok (manusia). Dia juga menjadikan aku daripada sebaik-baik kumpulan di antara dua kumpulan (Arab dan bukan Arab). Kemudian Dia meneliti pemilihan kabilah-kabilah secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik kabilah (Quraisy).

Kemudian Dia meneliti pemilihan keluarga-keluarga secara rapi, maka Dia menciptakan aku daripada sebaik-baik keluarga (Bani Hashim). Sementara aku adalah sebaik-baik jiwa (hingga dipilih menjadi Rasul dan penutup segala Nabi) dan sebaik-baik keluarga di kalangan mereka (asal-usul keturunan ibu-bapa dan nenek moyang Baginda tiada yang lahir daripada penzinaan, bahkan melalui penikahan yang sah).”
(HR Tirmidizi dengan sanad yang sahih)

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Da’I yang berkedudukan mulia di kalangan masyarakat, orang ramai akan lebih tertarik untuk mendengar seruan Dakwahnya.Keturunan Baginda SAW tidak menjadi isu atau celaan orang kafir Quraisy, sebaliknya mereka terpaksa mencipta isu-isu yang lain untuk menyakiti hati Baginda.

Islam tidak meletakkan nilai kepada kemuliaan keturunan seseorang dalam menilai darjatnya, namun ia menjadi nilai tambah kepada da’I dalam memangkin kejayaan dakwahnya. Seperti sabda Nabi SAW:

“Mereka yang terpilih semasa Jahiliyah, adalah juga mereka yang terpilih semasa Islam, sekiranya mereka memahami.” (HR Bukhari)  

B. Zaman Kanak-kanak.
   
1. Baginda SAW membesar sebagai anak yatim piatu, tanpa merasai belaian kasih sayang ibu bapa. Bapanya (Abdullah) meninggal dunia semasa Nabi dalam kandungan, ibunya (Aminah) meninggal dunia ketika Baginda berusia 6 tahun.

2. Nabi dipelihara oleh datuknya (Abdul Muttolib). Semasa berumur 8 tahun, datuknya pula meninggal dunia. Selanjutnya, Abu Tolib (bapa saudaranya) memelihara Baginda sehingga dewasa.

3. Allah SWT menceritakan keyatiman Nabi SAW dalam Al-Quran: 

"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu." (Ad-Dhuha 93: 6)

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Ketabahan menanggung keperitan anak yatim atau kesusahan hidup semasa kecil, membuatkan Baginda lebih peka dan sensitif dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia.

4. Nabi SAW menghabiskan 4 tahun pertama kanak-kanaknya di padang pasir perkampungan Bani Saad. Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda di usia yang masih kecil.

5. Bakat-bakat Baginda ini terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir, di bawah kilauan sinaran matahari dan udara yang bersih.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Hidup dalam suasana yang hampir kepada fitrah semulajadi dan jauh daripada kehidupan yang kompleks akan membentuk kemurnian fikiran, kekuatan akal, tubuh badan dan jiwa sejahtera. Pemikiran juga mudah dibentuk.

6. Keunggulan Baginda terserlah sejak kecil lagi. Wajahnya menampakkan kecerdikan dan menimbulkan kasih sayang bagi yang melihatnya. Dalam majlis Datuknya, Baginda duduk di atas tilam Datuknya. Kanak-kanak lain (bapa saudaranya) tiada yang duduk di atasnya.

7. Ketika bapa-bapa saudaranya cuba menarik Baginda, Datuknya berkata: “Biarkan cucuku ini. Demi Allah, dia memiliki keistimewaan.”

C. Zaman Remaja.
   
1. Nabi SAW mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah 2 Qirat (1/24 Dinar). Sabda Baginda SAW: 

“Semua Nabi yang diutuskan Allah pernah mengembala kambing.” Maka para Sahabat RA bertanya kepadanya: “Kau juga ya Rasulullah?” Lantas Baginda menjawab: “Aku juga begitu. Aku pernah mengembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa Qirat.”

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Urusan sara hidup para da'i bergantung kepada usahanya sendiri dan sumber pencarian yang mulia. Dia tidak mengemis, merendah harga diri dengan hina.

2. Baginda SAW tidak menyertai rakan-rakan sebayanya bersuka ria dan berpoya-poya. Pernah Baginda teringin untuk menyaksikan nyanyian di majlis perkahwinan sebuah rumah di Makkah, namun Allah SWT memeliharanya dengan menidurkannya. 

3. Nabi SAW juga tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak dan berjudi.Baginda tidak pernah celupar atau berkata kesat.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 1, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

No comments: