Tuesday, 5 July 2011

Sumber Rujukan Sirah Nabi SAW

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang sumber rujukan bagi penulisan Sirah Nabi SAW. Kita juga akan mengetahui susur galur periwayatan Sirah Nabi SAW daripada dulu hingga sekarang.

Sudahkah anda bersedia? Mari kita ikuti perbincangan menarik ini!

Sumber-sumber Rujukan Sirah Nabi SAW:  

1. Al-Quran Al-Karim:

Al-Quran merupakan sumber asasi yang paling Sahih tentang Sirah Nabi SAW. Penceritaan Sirah di dalamnyadalah secara ringkas dan tidak disertakan data-data terperinci.

Al-Quran memfokuskan kepada ‘Ibrah (Pengajaran dan Pedoman) yang boleh diambil dalam setiap peristiwa di dalam Sirah.

Antara contoh Sirah Nabi SAW di dalam Al-Quran ialah:

1. Cerita keadaan baginda yang yatim piatu (Ad-Dhuha 93: 6-7)
2. Akhlak mulia baginda (Al-Qalam 68: 4)
3. Kisah Perang Badar dan Uhud (Surah Al-Anfal dan At-Taubah) dan lain-lainnya.

2. Sunnah yang Sahih:

Hadis-hadis diriwayatkan secara bersambung kepada Rasulullah SAW dan para Sahabat RA oleh Imam-imam hadis yang diakui kejujuran dan ketsiqahan mereka.

Berikut adalah Kitab Hadis utama yang meriwayatkan Sirah Nabi SAW:

i. Kitab Sunnan Sittah (6 Kitab Hadis): Sahih Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasaie, Sunan At-Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah

ii. Di samping itu, juga termasuk Al-Muwatto’ Imam Malik dan Musnad Imam Ahmad. 

Sebahagian besar kehidupan Nabi SAW, peristiwa yang berlaku, peperangan dan amalannya terkandung di dalam kitab-kitab ini.

Para Sahabat RA yang meriwayatkan hadis-hadis ini hidup, bergaul dan ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah SAW. Mereka generasi yang termulia dan melalui mereka, Allah SWT telah memenangkan Islam. 

Oleh itu, riwayat daripada mereka diterima tanpa ragu-ragu lagi. 

3. Syair Arab pada Zaman Kerasulan:

Serangan orang Musyrikin Mekah kepada Nabi SAW melalui syair-syair dibalas pula oleh para Penyair Islam seperti Hasan bin Tsabit RA dan Abdullah bin Rawwahah RA. 

Kitab-kitab sastera dan Sirah yang ditulis selepas zaman itu mengandungi banyak syair-syair sebegini. Dan melalui syair-syair tersebut, kita dapat membuat kesimpulan tentang fakta-fakta yang berkaitan suasana persekitaran  ketika itu.

4. Kitab-kitab Sirah: 

Asalnya Sirah Nabi SAW hanya berbentuk hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat RA. 

Sesetengah Sahabat memberikan perhatian khusus pada setiap peristiwa yang berlaku dalam Sirah Nabi SAW dan perinciannya.

Kemudian, para Tabi’in menukilkan riwayat-riwayat ini dan mencatatnya dalam lembaran simpanan mereka, antaranya:

i. Aban bin Uthman bin ‘Affan RA (32 - 105 H)
ii. Urwah bin Az-Zubair bin Al-’Awwam RA (23 - 93 H)
iii. Abdullah bin Abu Bakar Al-Ansori (meninggal 135 H)
iv. Muhammad bin Muslim bin Syihab Az-Zuhri (50 - 124 H)
v. ‘Asim bin Umar bin Qatadah Al-Ansoari (meninggal 135 H)
  
Keperihatinan para Tabi’in ini berpindah ke generasi seterusnya yang mengasingkan penulisan Sirah daripada bidang lain. Antara pengarang awal Sirah yang paling terkenal termasuklah:

i. Muhammad bin Ishaq - Ibnu Ishaq (meninggal 152 H)

Jumhur ulama dan para ahli hadis bersepakat mengatakan beliau tsiqah, kecuali Malik dan bin Urwah bin Az-Zubair. Ulama muhaqqiqin menafsirkan tindakan 2 alim besar ini disebabkan persengketaan peribadi antara mereka dengan Ibnu Ishaq.

Ibnu Ishaq telah menulis kitab Al-Maghazi yang mengandungi riwayat-riwayat yang didengarnya sendiri di Madinah dan Mesir. Sayangnya kitab tersebut telah hilang bersama warisan ilmu silam yang lain. 

Bagaimanapun, kandungan kitab tersebut telah diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam dalam kitab Sirahnya melalui gurunya, Al-Bakka’I (salah seorang murid Ibnu Ishaq yang terkenal).

ii. Abu Muhammad Abdul Malik bin Ayyub Al-Himyari - Ibnu Hisyam (membesar di Basrah dan meninggal pada 213/218 H)

Menulis kitab As-Sirah An-Nabawiyah yang mengandungi riwayat dari Al-Bakka’I dan guru-gurunya yang lain. Beliau menyebutkan riwayat Ibnu Ishaq yang tidak menetapi standard ilmunya dan yang dikritiknya.

Kitab ini muncul sebagai sumber Sirah Nabi yang paling amanah, paling sahih dan paling teliti. Ia telah diterima oleh orang ramai dan dinamakan Sirah Ibnu Hisyam.

Kitab ini telah disyarahkan oleh 2 orang alim dari Andalus iaitu As-Suhaili (508 - 581 H) dan Al-Khusyaini (535 - 604 H).

iii. Muhammad bin Saad bin Mani’ Az-Zuhri - Ibnu Saad (168 - 230H)

Beliau lahir di Basrah dan meninggal di Baghdad dan merupakan penulis kepada Muhammad bin Umar Al-Waqidi (130 - 207 H), seorang ahli sejarah yang terkenal dalam bidang peperangan dan sirah.

Beliau menulis At-Tabaqot Ibnu Saad (selepas menulis Sirah Nabi SAW) dengan menyebut nama-nama Sahabat dan Tabi’in mengikut lapisan generasi (Tabaqot), kabilah dan kawasan mereka.

Kitab ini dianggap antara sumber awal sirah yang paling dipercayai. Faktanya paling terpelihara dengan dinyatakan latarbelakang Sahabat dan Tabi’in. 

iv. Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Tobari (224 - 310H)  

Beliau merupakan seorang Imam, faqih, ahli hadis dan pengasas sebuah mazhab fiqh (namun kurang tersebar).

Beliau menulis Tarikh At-Tobari yang tidak hanya terbatas kepada Sirah Nabi SAW, bahkan sejarah umat-umat sebelumnya.

Terdapat bahagian khusus tentang Sirah Nabi SAW, seterusnya menyambung tentang sejarah umat Islam hingga beliau meninggal dunia. 

Riwayat-riwayat beliau boleh dijadikan hujah dan dipercayai. Namun, terdapat juga banyak riwayat dhaif atau batil yang disebut dengan disandarkan kepada perawinya. Pada zaman beliau, orang mengenali perawi berkenaan. Contohnya Abu Mikhnaf, seorang pengikut Syiah yang taksub.

At-Tobari banyak memasukkan riwayat darinya ke dalam tulisan beliau dengan menyandarkan riwayat tersebut kepada Abu Mikhnaf. Dengan itu, At-Tobari seolah melepaskan tanggungjawab riwayat tersebut dan meletakkannya ke bahu Abu Mikhnaf.  

v. Kitab Sirah dengan Tema yang Khusus:

Terdapat juga ulama yang menulis kitab sirah berdasarkan topik-topik tertentu, antaranya:

- Dala-il An-Nubuwwah (Tanda-tanda Kenabian) oleh Al-Ashbahani.
- As-Syamail Al-Muhammadiyyah (Perwatakan Muhammd) oleh At-Tirmidzi.
- Zadul Ma’ad (Bekalan ke Tempat Kembali) oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
- As-Syifa’ (Kesembuhan) oleh Qadhi ’Iyadh dan
- Al-Mawahib Al-Laduniyah (Bakat-bakat Kurniaan Tuhan) oleh Al-Qastalani.

Demikianlah, sehingga kini ramai ulama masih terus menulis Sirah Ar-Rasul SAW dengan cara moden yang sesuai dengan citarasa kini.

Antara kitab Sirah moden yang terkenal ialah Nur Al-Yakin fi Sirah Sayyid Al-Mursalin oleh Syeikh Muhammad Al-Kudhori rahimahullah.

Wallahu a'lam. Insya Allah, di entri seterusnya kita akan mula masuk ke perbincangan sirah hidup Nabi SAW. Jumpa lagi!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

No comments: