Friday, 15 July 2011

4. Dakwah Secara Rahsia dan Berterus-Terang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan permulaan Dakwah dan strategi yang diambil dalam menyebarkan  risalah Islam yang baru diperolehinya di Makkah.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Dakwah Secara Rahsia.
  
1. Antara orang yang paling awal beriman dengan Nabi SAW adalah Khadijah binti Khuwalid RA (Isteri); Ali bin Abi Tolib RA (Sepupu, 10 tahun); Zaid bin Harithah RA (Bekas Hamba); Abu Bakar As-Sidiq RA (Sahabat Karib) dan Bilal bin Rabah RA (Hamba). 

2. Kemudian wahyu terhenti seketika. Ulama berselisih pendapat tentang masa terhentinya wahyu (paling lama 3 tahun, paling singkat 6 bulan). Menurut penulis, 6 bulan adalah paling sohih.

3. Nabi SAW bersusah hati dan kecewa, bimbang jika Allah SWT telah membencinya. Setelah itu, turunlah wahyu yang kedua. 

4. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Jabir RA, daripada Nabi SAW:

Ketika aku sedang berjalan-jalan, tiba-tiba aku mendengar satu suara dari langit. Aku mengangkat pandanganku. Rupa-rupanya ia adalah malaikat yang telah datang kepadaku di Gua Hira’. Malaikat itu sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi.

Aku merasa takut kepadanya, lantas aku pulang. Aku berkata, “Selimutkan aku!” Maka Allah Taala menurunkan:

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah kau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah kau jauhi.” (Al-Muddathir 74: 1-5)

5. Setelah itu, wahyu pun turun secara berterusan. Rasulullah SAW mula mendakwahkan Islam secara rahsia kepada golongan yang dipercayai kerasionalan akalnya selama 3 tahun. Hasilnya seramai kira-kira 30 orang memeluk Islam di kalangan lelaki dan wanita.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Jika Dakwah dan Islah menjadi satu perkara yang janggal pada mentaliti dan kepercayaan masyarakat, maka Da’I tidak perlu segera sampaikannya dengan lantang.
 
Da’I terlebih dahulu perlu membina sekumpulan kader yang mengimani dakwah ini, serta sanggup berkorban apa sahaja untuk menegakkannya. Langkah ini juga agar keselamatan dan kelangsungan dakwah terjamin (jika tidak, akan dihancurkan sebelum ia menjadi kuat).  

B. Dakwah Secara Berterus-terang.
  
1. Selepas 3 tahun, Allah SWT perintahkan Nabi SAW berdakwah secara terang-terangan melalui firman-Nya:

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah kau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Al-Hijr 15: 94)

2. Ekoran Dakwah secara berterus-terang ini, bermulalah peringkat ujian apabila musyrikin menyakiti orang-orang Islam. Malah Nabi SAW juga turut disakiti mereka. Dalam tempoh ini, orang-orang mukmin berhimpun secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Arqam RA untuk mendalami Islam.
3. Suatu ketika, Nabi SAW diperintahkan untuk memberi amaran kepada keluarga terdekatnya. Baginda SAW berdiri di Bukit Sofa dan menyeru seluruh keluarga Quraisy agar beriman kepada Allah dan tinggalkan penyembahan berhala.

4. Mendengar seruan itu, Abu Lahab menengking Baginda, “Celaka kamu, adakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?” Lalu Allah melaknat Abu Lahab dan isterinya di dalam surah Al-Lahab.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Dakwah Rasulullah SAW telah mengejutkan orang Arab dengan perkara yang asing bagi mereka. Mereka bimbang jika Dakwah itu dibiarkan ia akan perbodohkan pemikiran mereka, bongkarkan kecacatan tuhan-tuhan mereka dan orang Arab akan tinggalkan agama nenek moyang mereka. Jadi, mereka menyanggah keras dan ingin hapuskan dakwah Islam bersama para pengikutnya.

Da’I mestilah berada bersama-sama para mad’unya secara berkala dalam jangkamasa tertentu (harian atau mingguan) agar dapat mempertingkatkan keimanan mereka terhadap Islam dan Jalan Dakwah. Da’I perlu rahsiakan pertemuan tersebut jika dikhuatiri keselamatan gerakannya terancam dan akan membangkitkan penindasan golongan batil.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 2, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

No comments: