Thursday, 7 July 2011

Fasal 6: Air yang Terapung

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang  Air yang Terapung. Kita akan lihat betapa Al-Quran yang diturunkan 1400 tahun lepas, menceritakan secara terperinci dan tepat berkenaan proses kitaran air. Sedangkan, ketika itu belum ada pertemuan saintifik tentangnya.

Sesungguhnya, hal ini bukanlah mustahil kerana Allah SWT, Dia-lah pencipta alam ini! Baiklah, mari kita ikuti bersama perbincangan menarik ini!

Apakah Definisi Awan?

Awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Air hujan turun ke bumi menjadi air telaga, mata air dan air dalam tanah yang dapat digunakan untuk pelbagai kegunaan.

Firman Allah SWT:

"Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya..." (Az-Zumar 39:21)

Bagaimanakah Ketetapan Allah (Sunnatullah) dalam Proses Kejadian Awan?

1. Allah jadikan panas matahari dan tiupan angin sebagai punca wap air dapat naik dari laut hingga melepasi puncak bukit. Ini agar bukit tidak menghalang perpindahan air di kawasan sebalik bukit.

Firman Allah SWT:

"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran." (Al-A’raf 7: 57)

2. Allah SWT naikkan wap air yang tanpa bercampur dengan garam supaya ia tidak memudaratkan manusia.

Firman Allah SWT:

"Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau Kami kehendaki nescaya Kami jadikan dia masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?" (Al-Waqi’ah 56: 68 - 70)

3. Allah jadikan udara sejuk (wujud pada ketinggiannya 8 batu dari aras laut) sebagai sebab menghalang kenaikan wap air ke langit lepas. Secara logiknya makin dekat dengan matahari patutnya semakin panas, tapi Allah jadikan sebaliknya agar wap air kekal di atmosfera.

Firman Allah SWT:

"Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran; lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya."  
(Al-Mukminun 23: 18)

4. Wap air amat halus dan tidak dapat dilihat. Apabila mengewap, Allah SWT hantarkan angin mebawa zarah-zarah lain (seperti asap dan debunga) lalu bercampur dengan wap air dan bergerak. Kumpulan wap air dan zarah lain berkumpul di dalam awan dan lalu menjadi berat. Ini mengekalkan wap air dari melepasi lapisan udara bumi. 

"Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan ke luar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya tiba-tiba mereka menjadi gembira." (Ar-Rum 30: 48)

5. Penciptaan Angin yang kadar kelajuannya amat sesuai untuk membawa awan dan bebanannya tanpa melerai atau merosakkannya.

"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran." (Al-A’raf 7: 57)

Jenis-jenis angin:

i. Angin puting beliung (75 batu sejam) mampu musnahkan harta benda.
ii. Kawasan 1 (5 batu daripada aras laut) - Kawasan angin biasa yang membawa awan (ada awan dan hujan; bekalkan air).
iii. Kawasan 2 (3 batu daripada Kawasan 1) - Kawasan angin kuat dengan gelombang kelajuan 200 batu sejam.
iv. Kawasan 3 (atas daripada Kawasan 2) - Kawasan tiada angin.

6. Air hujan diturunkan dalam titisan halus, bukan curahan sekaligus dalam jumlah banyak seperti banjir yang boleh rosakkan harta benda.

7. Air mengalir dalam sungai ke seluruh pelusuk bumi seperti urat darah manusia. Kebanyakan dari air itu akan diserap ke dalam bumi untuk memeliharanya dari rosak dan tidak menghalang manusia berjalan di bumi.

8. Air sentiasa dipelihara agar dekat dengan permukaan bumi, jadi mata air atau air perigi supaya manusia mendapat faedah daripadanya. Ini dilakukan oleh bekas yang Allah sediakan iaitu lapisan batu menahan air dari diserap dan lenyap ke perut bumi.

Firman Allah SWT:

"Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?"." (Al-Mulk 67: 30)

Allah SWT: Tuhan Yang Maha Makbulkan Doa.


Tanyalah orang yang benar-benar mengetahui rahmat Tuhan Yang Maha Mendengar segala doa.

Allah SWT memakbulkan permintaan orang yang berada dalam keadaan darurat dan menolong orang yang memerlukan-Nya.

Berapa kali bumi kemarau, kering kontang tanpa hujan. Rasulullah SAW mengajar Umat Islam supaya keluar beramai-ramai untuk berdoa kepada Allah SWT. Kaum yang benar-benar meminta kepada Allah, pasti akan dikabulkan doa dan akan diturunkan hujan kepada mereka.

Dengan itu, kita dapat mengetahui bahawa Pencipta air dan hujan adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Memakbulkan Doa. 

Firman Allah SWT:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. " (Al-Baqarah 2: 186)

Wallahu a'lam. Semoga bermanfaat!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani

No comments: