Friday, 15 July 2011

2. Keperibadian dan Pengalaman Nabi SAW sebelum Kerasulan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Dalam entri kali ini, kita akan menyambung perbincangan tentang Sirah Kehidupan Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah, kita akan teruskan dengan keperibadian dan pengalaman Baginda sebelum kerasulan.

Mari kita sama-sama mengambil pelajaran!

A. Kecerdikan Baginda SAW.
   
1. Sejak Nabi SAW mumayyiz lagi, Baginda dikenali mempunyai akal yang matang dan pandangan yang bernas. Buktinya dalam peristiwa peletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya di Kaabah.

2. Suatu ketika dinding Kaabah retak akibat banjir. Maka diputuskan agar diruntuhkan dan dibina semula. Ketika sampai ke peringkat meletakkan Hajarul Aswad ke tempatnya semula, setiap Kabilah berebut untuk mendapatkan penghormatan ini. 

3. Pertelingkahan sampai ke tahap saling mengancam untuk berperang, sehinggalah mereka bersetuju untuk merujuk kepada orang pertama yang memasuki pintu Bani Syaibah (antara pintu Kaabah) sebagai hakim.

4. Ternyata orang yang pertama masuk adalah Nabi SAW.  Mereka berkata: “Ini Al-Amin! Kami rela dengan hukumannya.”

5. Sebagai penyelesaian, Baginda SAW memutuskan agar dibentangkan kain selendangnya, kemudian diletakkan Hajarul Aswad di atasnya. Baginda menyuruh setiap wakil Kabilah memegang hujung selendang dan mengangkatnya ke tempat letak.

6. Seterusnya, Baginda mengambil dan meletakkan Hajarul Aswad dengan tangannya sendiri. Semua pihak berpuas hati dan Allah selamatkan penduduk Makkah dari berlakunya pertumpahan darah berkat kecerdikan Baginda SAW. 

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Hanya orang yang cerdik dan cerdas layak memegang tampuk Dakwah dan kepimpinannya. Orang yang bodoh tidak layak kerana dia akan memberi kesan buruk kepada keputusan, gagasan dan strategi Dakwah.

B. Kejujuran Baginda SAW.   

1. Nabi SAW dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah di kalangan kaumnya. Baginda terkenal dengan hubungan baik, menepati janji, kehidupan yang lurus dan reputasinya amat baik. 

2. Ini menarik minat Khadijah RA untuk menawarkan Baginda SAW agar memperniagakan barang dagangannya ke Busra (di Syam).

3. Sekembalinya ke Makkah, Baginda membawa keuntungan yang banyak dalam perniagaan tersebut. Maisarah (hamba Khadijah) menceritakan sikap amanah dan ikhlas Baginda SAW dalam berniaga.

4. Akhirnya keperibadian Nabi SAW menarik hati Khadijah RA untuk melamar Baginda sebagai suami. Pada usia 25 tahun, Nabi SAW berkahwin dengan Khadijah RA. 

C. Pengalaman Bermusafir Keluar Makkah.

Nabi SAW keluar bermusafir dari Makkah sebanyak 2 kali: 

1. Bersama bapa saudaranya, Abu Tolib ketika berusia 12 tahun. 
2. Ketika membawa barang dagangan Khadijah ke Syam ketika berumur 25 tahun.
 
'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Pengalaman berkelana, bergaul dengan orang ramai, memahami adab, situasi dan masalah mereka memberi kesan besar terhdap kejayaan dakwah. Da’I perlu hidup dan berinteraksi bersama mad’u, fahami masalah,  lalu meyelesaikannya secara paling berhikmah.

D. Berkhalwah di Gua Hira’.
  
1. Beberapa tahun sebelum diutuskan sebagai Rasul, Allah telah timbulkan rasa cinta pada Baginda SAW untuk pergi berkhalwah di Gua Hira’. Gua Hira’ terletak di sebuah bukit berdekatan dengan Makkah, di barat laut Makkah.

2. Di sini, Nabi SAW merenung dan berfikir tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan kekuasaan-Nya. Khalwah ini berterusan sehinggalah turunnya wahyu kepada Baginda SAW.

'Ibroh (Pengajaran dan Pedoman):

Dari masa ke semasa, Da'i mestilah mempunyai waktu untuk bersendiri dengan Allah SWT. Dalam tempoh ini, ruhnya berhubungan langsung dengan Allah SWT.

Da’I membersihkan jiwa dari akhlak tercela, kehidupan yang kacau, bermuhasabah diri dari kecuaian, serta mendekatkan diri (zikrullah) kepada-Nya.

Wallahu a'lam. Insya Allah, kita sambung semula perbincangan di entri akan datang! ^^

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Bahagian 1, Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

No comments: