Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah Al-Ikhlas. Surah ini pendek, namun merupakan asas penting kepada kita dalam mentauhidkan Allah SWT.
Kenali Surah Al-Ikhlas:
Ia merupakan surah yang ke-112 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 4 ayat. Surah ini mengesakan dan menyucikan Allah SWT. Ia juga menjadi asas dan tonggak utama dalam Akidah Islam.
Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...
(1) "Katakanlah (ya Muhammad), Dia-lah Allah yang Esa." (2). "Allah itu tempat meminta." (3). "Tidak beranak dan tidak diperanakkan." (4). "Dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya."
Apakah Kelebihan Surah Ini?
Daripada Abu Said al-Khudori RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada para Sahabat RA:
"Tiadakah seorang daripada kamu yang mampu membaca sepertiga Al-Quran dalam semalam?" Mereka menjawab: "Siapakah yang mampu ya Rasulullah?" Baginda SAW menjawab: “Allahu Ahad, As-Somad merupakan sepertiga Al-Quran!" (HR Bukhari)
Surah ini sama dengan sepertiga Al-Quran. Ini kerana terdapat 3 asas umum dalam Al-Quran iaitu Tauhid, Batas-batas Perlakuan Makhluk dan Perihal Kiamat.
Makna Perkataan:
Tafsir Ayat 1:
(1) "Katakanlah (ya Muhammad), Dia-lah Allah yang Esa."
Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar menegaskan bahawa Allah itu Esa, melalui berita yang pasti serta disokong dengan kebenaran dan bukti yang tidak diragui lagi.
Allah Esa pada Zat-Nya: Tidak berkomponen atau berbilang-bilang. Allah Esa pada Sifat-Nya: Tiada makhluk yang menyerupai sifat-Nya. Allah Esa pada Perbuatan-Nya: Tiada perbuatan makhluk yang mampu menandingi atau hampir-hampir menyerupai perbuatan-Nya.
Lafaz “Dia-lah" bertujuan memperingatkan sejak awal akan kepentingan perbincangan yang hendak dibawa selepas itu (merupakan isu terpenting dan sangat menarik, tentang Allah SWT). Manusia diajak agar memperhatikan apa yang akan dinyatakan selepas ayat itu.
Tapi, mengapa digunakan lafaz nakirah (الله أحد) dan tidak digunakan lafaz ma’rifah (الله الأحد)?
Tujuan ayat ini adalah untuk buktikan Allah Taala itu Esa dan zat-Nya tidak berbilang-bilang. Jika guna lafaz ma’rifah, ayat itu akan difahami sebagai: “Mereka memang beriktikad dengan keesaan, namun ragu-ragu untuk mensabitkan keesaan itu pada Allah.”
Oleh itu, lafaz nakirah (Allah Yang Esa) itu jelas menafikan iktikad Tuhan itu berbilang-bilang.
Tafsir Ayat 2:
(2). "Allah itu tempat meminta."
Tiada siapa yang dapat mengatasi Allah SWT dan Dia tidak perlukan sesiapa, bahkan semua makhluklah yang memerlukan-Nya.
Hanya kepada-Nya tempat makhluk berserah ketika dalam kesusahan atau sedang menghadapi krisis. Sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Berkah.
Tafsir Ayat 3:
(3). "Tidak beranak dan tidak diperanakkan."
Ayat ini membersihkan Allah SWT daripada sifat diperanakkan.
Seorang anak, ketika kecilnya memerlukan bantuan dan pemeliharaan kedua ibubapanya. Ia tidak berupaya berjalan sendiri, malah untuk makan juga perlu disusui ibunya.
Maka, amat penting untuk menafikan Allah SWT daripada diperanakkan. Ia amat mustahil!
Ayat ini juga menolak dakwaan orang-orang Musyrik: bahawa para malaikat itu anak perempuan Allah; Yahudi: bahawa Uzair anak Allah; Kristian: bahawa Nabi Isa AS anak Allah (yang disembah seperti mereka menyembah Allah SWT).
Tafsir Ayat 4:
(4). "Dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya."
Selagi Allah SWT itu Esa pada zat-Nya, tidak berbilang-bilang dan tidak menjadi bapa atau anak, sudah pasti mustahil ada yang akan menyerupai-Nya.
Sesungguhnya tiada makhluk yang sama, setara atau bersekutu dengan-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
Wallahu a'lam. Selamat Beramal!
http://jomtarbiyah.blogspot.com/
Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi
No comments:
Post a Comment