Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang lebih lanjut tentang kepentingan Ilmu Tauhid. Antara isu utama yang akan disentuh ialah perbezaan asasi di antara seorang muslim dan orang kafir, iaitu Dua Kalimah Syahadah.
Baiklah, mari kita mulakan perbincangan!
Iman Adalah Asas Amalan.
Mengapakah Allah SWT hanya menerima amalan orang Islam, dan menolak amalan orang Kafir?
Ini kerana orang-orang Kafir:
1. Beramal bukan kerana harapkan pahala dan redha Allah SWT.
2. Tidak takut pada azab-Nya dengan mengabaikan yang Halal dan Haram.
3. Tidak berusaha mencari agama Allah SWT (Islam).
4. Tidak berusaha mendengar keterangan para Rasul AS.
5. Mengejek dan mengetawakan ayat-ayat Allah SWT yang dibacakan kepada mereka.
Dalil-dalil Amalan Orang Kafir Tidak Diterima:
Firman Allah SWT:
"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." (Al Furqan 25: 23)
"Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh." (Ibrahim 14: 18)
"Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apa pun. Dan di dapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya." (An Nur 24: 39)
Analogi: Muslim vs Kafir.
Ada 2 orang lelaki masuk ke dalam sebuah kebun yang penuh dengan buah-buahan.
Lelaki 1:
1. Terus makan buah-buahan yang ada sehingga kenyang.
2. Melakukan kerja di dalam kebun tersebut.
3. Ada pokok yang ditanam dan yang dicabut sesuka hatinya.
4. Tidak endahkan teguran wakil Pemilik Kebun.
Lelaki 2:
1. Tidak berbuat apa-apa, menunggu Pemilik Kebun atau wakilnya.
2. Mendengar segala arahan wakil Pemilik Kebun.
3. Bekerja mengikut arahan yang diberikan oleh wakil Pemilik Kebun.
Soalan: Di akhir bulan nanti, siapakah yang paling layak mendapat upah daripada Pemilik Kebun?
Pengajaran daripaada analogi di atas ialah:
1. Alam dan segala isinya adalah hak milik Allah SWT.
2. Para Rasul adalah utusan dan wakil-Nya di bumi.
3. Orang Beriman beramal berpandukan petunjuk Tuhannya.
4. Orang Kafir berbuat seenak hatinya tanpa endahkan perintah Tuhan, malah musuhi para Rasul-Nya.
Syahadatain: Pintu Masuk Islam.
Pada pendapat anda, kenapa mengucap Dua Kalimah Syahadah menjadi Rukun Islam yang pertama?
Untuk memahaminya, mari kita lihat secara ringkas makna bagi kandungan Dua Kalimah Syahadah ini!
Bahagian Pertama: Asyhadu alla ilaaha illallaah
1. Mengaku dan percaya bahawa alam ini ada Tuhan yang mencipta, membuat, mengatur dan memerintahnya.
2. Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tiada sekutu bagi-Nya.
3. Manusia adalah sebahagian daripada ciptaan-Nya.
Bahagian Kedua: Asyhadu anna Muhammadan Rasulullaah
1. Beriman dan percaya bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah.
2. Baginda diutuskan untuk membawa Hidayah dan Keterangan.
3. Menerangkan perkara Halal yang diredhai Tuhan dan perkara Haram yang dimurkai-Nya.
4. Hanya dengan Ittiba’ Rasulullah SAW, manusia dapat melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT
Tauhid dan Syahadah.
Walaupun seseorang telah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, ucapan syahadah sahaja tanpa pemahaman tentang Tauhid adalah batil dan tidak sempurna.
Syahadah dan keislaman seseorang akan menjadi benar setelah dia memahmi Ilmu Tauhid dan melaksanakan Tauhidullah. Seperti firman Allah SWT:
"Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu." (Muhammad 47: 19)
"Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Ali Imran 3 : 18)
Wallahu a'lam. Insya Allah kita akan berbincang lebih lanjut tentang Ilmu Tauhid di entri akan datang.
Semoga bermanfaat!
Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani
No comments:
Post a Comment