Tuesday, 5 July 2011

Keistimewaan Sirah Nabi SAW

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang keistimewaan Sirah Nabi SAW.

Sesungguhnya, Sirah Nabi SAW mempunyai pelbagai keistimewaan yang memberikan kepuasan ruh, akal dan nilai sejarah bagi para pengkajinya. Untuk mengetahuinya, mari kita lihat bersama!

Antara keistimewaan Sirah Nabi SAW itu adalah:

1. Kisah Rasul Allah dan Tokoh Pengislahan yang paling sahih.

Kita menerima Sirah Nabi SAW daripada susur galur ilmiah yang paling tepat dan paling pasti, tidak seperti kisah-kisah Rasul terdahulu. 

Kisah rasul-rasul terdahulu telah bercampur dengan pemalsuan dan pindaan oleh pendeta kaum mereka. Contohnya, seperti kisah Nabi Musa AS dalam Taurat dan Nabi Isa dalam Bible.

Tokoh agama lain seperti Buddha dan Confucious juga telah ditokok tambah ceritanya oleh pengikut mereka pada setiap generasi. Ini kerana, tiada disiplin ilmiah dalam periwayatan kisah hidup mereka.

2. Kehidupan pada setiap peringkat hidup Nabi SAW terang seumpama sinaran mentari.

Semua peringkat kehidupan Baginda diriwayatkan dengan jelas. 

Perkahwinan ibubapanya, zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian sebelum kerasulan, Kerasulan, Dakwah di setiap peringkat, hinggalah kewafatan Baginda.

Lebih daripada itu, kehidupan baginda yang terperinci turut diriwayatkan seperti peribadi, gaya makan minum, bangun duduk, rupa paras fizikal, ibadah, interaksi dan pergaulan bersama sahabatnya.

Fenomena ini tidak terdapat dalam kisah rasul-rasul terdahulu. Contohnya kita tidak tahu kisah Nabi Musa AS ketika masih kanak-kanak, Nabi Isa AS juga begitu, malah Nabi Yusuf AS juga tidak dicerita saat kewafatannya.

3. Kisah perjalanan hidup Manusia yang dimuliakan dengan Risalahnya, namun tidak mengeluarkan baginda daripada sifat-sifat kemanusiaan.

Kehidupan baginda tidak disertakan dongeng-dongeng atau ditokok tambah dengan sifat ketuhanan. 

Baginda menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Nabi SAW makan dan minum, berkahwin dan mempunyai anak, sakit, terluka dalam peperangan dan lain-lain.

Ini berbeza dengan kisah Nabi Isa AS dan Gauthama Buddha yang telah mengubah sifat kemanusiaan kepada sifat ketuhanan oleh pengikut-pengikut mereka. 

Oleh itu, Nabi Muhammad SAW terus releven untuk dijadikan model manusia kamil kepada setiap manusia. 

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Al-Ahzab 33: 21)

4. Sirah Rasulullah SAW meliputi setiap dimensi kemanusiaan yang dimiliki oleh setiap insan yang ingin mencontohinya.

Baginda mencontohkan teladan terbaik bagi manusia melalui dirinya sendiri. 

Kita dapat melihat dalam diri Nabi SAW peranan seorang pemuda, suami, bapa, da’I, murabbi, panglima perang, ketua negara, sahabat, jiran, politikus dan lain-lainnya.

Kita tidak dapati kesyumulan seperti ini dalam sirah kehidupan rasul-rasul terdahulu. Di sebalik agungnya kehidupan mereka, namun, tidak semua rasul menjadi ketua negara, berperang, berkeluarga dan lain-lain.

Tokoh-tokoh seperti Buddha, Conficious, Aristotle, dan Napoleon pula terserlah dan terkenal dalam satu-satu bidang sahaja. Namun, dalam aspek kehidupan yang lain, mungkin mereka gagal.  

5. Memberi dalil yang tidak diragui lagi tentang kebenaran Risalah dan Kerasulan baginda kepada kita.

Rasulullah SAW awal memulakan dakwah secara berseorangan, namun setelah 23 tahun hampir seluruh semenjang Arab memeluk Islam.

Baginda dibekali mukjizat Al-Quran yang sentiasa menjadi panduan dan hujah kepada baginda dalam menghadapi orang kafir.

Baginda SAW mendapat dokongan Ilahi sepanjang perjalanan Dakwah dan peperangannya. Ini menunjukkan kebenaran Risalah yang dibawa.

Manusia beriman dengan dakwah baginda dengan penuh kesedaran dan sukarela tanpa ada unsur paksaan, menggambarkan betapa Risalah tersebut amat suci dan datang dari Pencipta manusia. 

Wallahu a'lam. Begitulah beberapa keistimewaan Sirah Nabi SAW yang perlu kita ketahui. 

Insya Allah, di entri yang lain kita akan sambung mengenai sumber-sumber rujukan bagi Sirah Nabi SAW.

Jumpa lagi!


Rujukan:
Sirah Nabawiyah: Durus wa Ibrar, Dr Mustafa As-Syibaie

No comments: