Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Falaq. Surah ini pendek dan selalu kita baca dalam solat. Namun, seperti Surah An-Naas, ia juga sangat releven dengan kehidupan kita pada hari ini.
Kenali Surah Al-Falaq:
Ia merupakan surah yang ke-113 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 5 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu'awwizatain (ada lafaz Al-Isti'azah: Aku berlindung dengan…) di dalam Al-Quran.
Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...
(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan Tuhan yang menjadikan belahan." (2) "Dari kejahatan makhluk yang Dia jadikan." (3) "Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita." (4) "Dan daripada kejahatan wanita-wanita (tukang sihir) yang menghembus (jampi) pada simpulan-simpulan." (5) "Dan daripada orang yang dengki apabila dia telah dengki."
Apakah Kelebihan Surah Ini?
Dari ‘Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Apakah kamu tidak melihat bahawa ada ayat diwahyukan kepadaku pada malam ini yang belum pernah dilihat sebelum ini? “Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzubirabbin naas." (HR Muslim)
Dari Aisyah RA:
Bahawa setiap kali Rasulullah menderita sakit, Baginda akan membaca Mu`awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) pada dirinya sendiri dan meniupkan (pada badannya). Jika rasa sakit kian bertambah, Aisyah berkata bahawa beliau akan membacakan Mu`awwizatain pada Baginda serta mengunakan tangan baginda untuk mengusapnya ke seluruh badan bagi mengambil berkat dari kedua Surah itu." (HR Bukhari dan Abu Daud)
Dari Abu Sa'id RA:
Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu'awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa'i)
Makna Perkataan:
Tafsir Ayat 1 -3:
(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan Tuhan yang menjadikan belahan." (2) "Dari kejahatan makhluk yang Dia jadikan." (3) "Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita."
Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar mengatakan bahawa baginda berlindung dengan Tuhan semua makhluk, samada dari makhluk yang terbit dari belahan bumi atau langit.
Baginda berlindung dari segala kejahatan dan peyakit yang menimpa diri, keluarga, dakwah dan teman-teman. Juga berlindung daripada kejahatan malam apabila ia gelap gelita dan menyelubungi kehidupan.
Kerana kegelapan malam itu, menjadi pembuka tirai kepada semua penceroboh yang jahat.
Tafsir Ayat 4 -5:
(4) "Dan daripada kejahatan wanita-wanita (tukang sihir) yang menghembus (jampi) pada simpulan-simpulan." (5) "Dan daripada orang yang dengki apabila dia telah dengki."
Allah SWT menyuruh agar berlindung dengan-Nya daripada jampi-jampi serapah yang dihembuskan pada simpulan-simpulan.
Juga boleh ditafsirkan sebagai: "Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan manusia pengadu domba yang memutuskan ikatan kasih sayang."
Ini kerana, manusia pengadu domba berusaha sekuatnya untuk menimpakan keburukan terhadap orang yang didengkinya.Tiada jalan untuk melepaskan diri daripadanya kecuali berserah kepada Allah agar Dia melindungi kita daripada segala kejahatan.
Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa di atas segala perkara, termasuklah menjaga kita dari segala mara bahaya.
Wallahu a'lam. Selamat Beramal!
Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi
No comments:
Post a Comment