Wednesday, 6 July 2011

Tafsir Surah An-Nashr

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Nashr. Marilah kita bersama  mengambil manfaat daripada perbincangan ini!

Kenali Surah An-Nashr:

Ia merupakan surah ke-110 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Madaniyyah dan mengandungi 3 ayat. Kandungannya membawa berita gembira untuk Nabi SAW dan para sahabatnya tentang kemenangan dakwah.

Juga mengisyaratkan hampirkan masa kewafatan Nabi SAW, iaitu setelah kemenangan diraih, misinya telah sempurna dan akan dijemput kembali mengadap Ilahi. Beberapa orang  Sahabat RA yang mengerti hakikat ini terus menangis. 

Baiklah, surah tersebut berbunyi begini...


(1). "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan." (2). "Dan engkau lihat ramai manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun." (3). "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat." 

Apakah Sebab Turunnya Surah Ini?

Nabi SAW amat prihatin agar manusia beriman khususnya orang Quraisy dan Arab. Sebagai manusia, Baginda tidak mengetahui perkara ghaib. Lantaran itu, Baginda merasa sedikit bimbang dan resah tentang dakwahnya.

Surah ini diturunkan untuk menggembirakan dan mengingatkan Baginda bahawa perasaan itu perlulah dijauhi. Kebimbangan dan keresahan ini termasuk dalam perbincangan:

“Kebaikan golongan Al-Abrar (orang yang berbuat baik) adalah keburukan bagi golongan Al-Muqarrabin (orang yang mendampingi Allah).”

Dan juga “Perkara yang baik di sisi kamu merupakan perkara cela (dosa kecil) pada orang lain.”

Maka, perkara tersebut diterima untuk dipohon keampunan (istighfar) kerananya. 

Makna Perkataan:


Tafsir Ayat 1-2:

(1). "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan." (2). "Dan engkau lihat ramai manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun."

Allah SWT mengkhabarkan berita gembira bahawa Dia akan turunkan bantuan kepada Nabi SAW dan para Sahabat serta kemenangan kepada Islam.

Apabila datang bantuan dan dukungan Allah SWT, maka ia pasti berlaku. Kota-kota yang terkunci rapat akan dibuka kehendak-Nya. Kamu akan melihat manusia berpusu-pusu masuk ke dalam Islam.  

Tafsir Ayat 3:

(3). "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat."

Maka, arahan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan para Sahabat RA adalah:

1. Setelah kemenangan itu berlaku, ia mestilah dibalas dengan syukur dan pujian kepada Allah SWT dengan pujian yang layak bagi-Nya.

2. Bertasbihlah memuji perbuatan-Nya yang mulia serta sucikanlah Dia sepadan dengan sifat dan nama-Nya yang agung.

3. Beristighfarlah kepada-Nya atas segala kejahatan yang dilakukan kerana Dia Maha Mengetahui apa yang dilakukan hamba lagi Maha Pengampun. 

Wallahu a'lam. Semoga kemenangan Islam yang diimpikan itu menjadi kenyataan, insya Allah!


Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi

No comments: