Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^
Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Naas. Ia merupakan surah pendek yang sering kita ulangi dalam bacaan solat.
Namun, tahukah anda bahawa surah ini begitu penting dan bermakna sekali? Mari kita lihat!
Kenali Surah An-Naas:
Ia merupakan surah yang ke 114 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 6 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu'awwizatain (ada lafaz Al-Isti'azah: Aku berlindung dengan…) di dalam Al-Quran.
Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...
(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia." (4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."
Apakah Kelebihan Surah Ini?
Dari ‘Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Apakah kamu tidak melihat bahawa ada ayat diwahyukan kepadaku pada malam ini yang belum pernah dilihat sebelum ini? “Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzubirabbin naas." (HR Muslim)
Dari Aisyah RA:
Bahawa setiap kali Rasulullah menderita sakit, Baginda akan membaca Mu`awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) pada dirinya sendiri dan meniupkan (pada badannya). Jika rasa sakit kian bertambah, Aisyah berkata bahawa beliau akan membacakan Mu`awwizatain pada Baginda serta mengunakan tangan baginda untuk mengusapnya ke seluruh badan bagi mengambil berkat dari kedua Surah itu." (HR Bukhari dan Abu Daud)
Dari Abu Sa'id RA:
Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu'awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa'i)
Makna Perkataan:
Tafsir Ayat 1 - 3:
(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia."
Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar mengatakan bahawa baginda berserah dan berlindung hanya kepada Allah SWT, agar Dia menjaga daripada kejahatan yang dibisikkan.
Juga berlindung kepada Allah SWT; Tuhan manusia yang menjaga dan memelihara mereka ketika mereka masih kanak-kanak dan lemah. Allah SWT adalah Pemilik dan Peguasa segala urusan dan situasi manusia, Raja Yang Menguasai manusia.
Dia-lah Tuhan dan manusia adalah hamba-Nya. Hanya Dia-lah Yang layak Disembah, Yang diberi Ketundukan dan Tumpuan. Dia mencipta manusia dan menjaga mereka; hanya kepada-Nya kita meminta bantuan dan pertolongan.
Tafsir Ayat 4 - 6:
(4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."
Manusia berserah kepada-Nya daripada kejahatan pembisik-pembisik jiwa yang menghiaskan perbuatan buruk menjadi baik. Bisikan-bisikan ini akan berpaling jika ia dihalang.
Pembisik-pembisik tersebut berada di kalangan jin dan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata (iaitu tentera Iblis dan suku sakatnya). Juga di kalangan manusia (iaitu teman-teman yang jahat).
Wallahu a'lam. Selamat Beramal!
Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi
No comments:
Post a Comment