Tuesday, 5 July 2011

Fasal 1: Ilmu Tauhid

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, entri kali ini membincangkan tentang pengenalan Ilmu Tauhid. Antara lain kita akan mengetahui definisi Ilmu Tauhid, bidang perbahasan, kewajipan mempelajarinya dan lain-lain.
Baiklah, mari kita mulakan perbincangan!

Apakah itu Ilmu Tauhid?

1. Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran Akidah Islam.
2. Sumbernya ialah Dalil ‘Aqli (Logik Akal) dan Dalil Naqli (Al-Quran dan Hadis).
3. Dengan memahami Ilmu Tauhid, kita mampu membuktikan segala kebatilan orang Kafir, keraguan dan pendustaan mereka.
4. Hasil memahaminya juga, insya Allah jiwa kita akan menjadi tetap, hati pula lapang dan tenang dalam keimanan.

Firman Allah SWT:

"Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran." (Ar-Ra’d 13:19)

Apakah Topik Perbahasan Ilmu Tauhid?

1. Iman kepada Allah - Pengesaan-Nya, ikhlas dalam beribadah dan menjauhi Syirik.
2. Iman kepada Para Rasul - Sebagai membawa petunjuk Ilahi, sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat yang mustahil, mukjizat dan bukti kerasulan.
3. Iman kepada Semua Kitab - Sebagai panduan atau hidayah kepada seluruh hamba-Nya dulu, kini dan selamanya.
4. Iman kepada Malaikat - Tugas-tugas, hubungan dengan manusia di dunia dan akhirat.
5. Iman kepada Hari Akhirat - balasan terhadap orang beriman dan Kafir, nikmat Syurga dan Neraka.
6. Iman kepada Qadha dan Qadar - Takdir yang ditentukan Allah Yang Maha Bijaksana, tentukan pergerakan semua benda yang wujud di alam ini.

Firman Allah SWT:

“Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya.” (Al Baqarah 2: 285) 

Juga sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Hari Akhirat, dan beriman dengan ketentuan (qadar) baik dan buruk daripada-Nya.” (HR Muslim)

Apakah kedudukan Ilmu Tauhid berbanding ilmu-ilmu lain?

Kemuliaan sesuatu ilmu terletak pada topik perbahasannya.

Contohnya, ilmu kedoktoran dilihat lebih mulia daripada ilmu pertukangan kerana ia membahaskan tentang tubuh badan manusia.

Maka, Ilmu Tauhid jauh lebih mulia daripada segala ilmu lain kerana ia membahaskan tentang:

1. Allah SWT Yang Mencipta alam dan bagaimana kita mengenali-Nya.
2. Para Rasul, iaitu manusia yang paling suci.
3. Hikmah dan Tujuan penciptaan manusia.
4. Kehidupan manusia selepas mati.

Apakah Hukum Mempelajari Ilmu Tauhid?

1. Fardhu 'Ain bagi setiap orang Islam (lelaki dan perempuan).

Kita wajib mempelajarinya sehingga dapat memberikan keteguhan hati dan ketenangan akal bahawa kita berada di atas agama yang benar.

"Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu." (Muhammad 47:19)

2. Fardhu Kifayah bagi perbincangan yang lebih mendalam.

Tidak wajib bagi semua umat Islam, jika ada sekumpulan orang yang telah mendalaminya.
Al-Quran dan Ilmu Tauhid.

Tauhid merupakan topik asas dalam Al-Quran. Setiap helaiannya menyebutkan tentang seruan beriman kepada Allah, Rasul, Hari Akhirat, Malaikat, Kitab terdahulu dan Taqdir-Nya.

Malah, 13 tahun pertama ayat-ayat Al-Quran (Makkiyah) yang diturunkan hampir semuanya berkisar tentang Ilmu Tauhid dan perkara berkaitan dengannya.

Umat Islam dan Ilmu Tauhid.

Kita sangat perihatian kepada Ilmu Tauhid. Ini adalah berpunca daripada keperihatinan Al-Quran terhadap Ilmu Tauhid.

Malah, sebenarnya inti kepada Dakwah Islamiyah adalah pengukuhan Akidah penganutnya dan (kemudian) menyeru agar manusia beriman kepada Akidah tersebut.

Apakah akibatnya jika kita mencuaikan Ilmu Tauhid?

1. Akidah Islam diserang dan dirosakkan.
2. Amal dan ibadah menjadi rosak (kerana tidak murni untuk Allah SWT).
3. Kefasadan dan kerosakan berleluasa.
4. Memudahkan musuh Islam mengalahkan dan menjajah mereka.

Wallahu a'lam. Insya Allah kita akan berbincang lebih lanjut tentang Ilmu Tauhid di entri akan datang.

Semoga bermanfaat!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani

1 comment:

Unknown said...

assalamualaikum,
TQVM for this sharing.