Thursday 30 June 2011

Hadis 1: Niat dan Ikhlas

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis Pertama di dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah.  Hadis ini sangat masyhur dan mempunyai banyak implikasi dalam kehidupan kita seharian.

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Makna Perkataan:


Kenapa Hadis Ini Penting?

Sesungguhnya hadis ini adalah di antara hadis penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hukum hakam Islam bersandarkan kepada hadis ini.

Imam Abu Daud berkata:

“Sesungguhnya hadis ini, iaitu hadis bahawasanya segala amalan itu dengan niat adalah separuh daripada Islam. Kerana ad-Din itu dua perkara, samada ianya perkara zahir iaitu amalan, ataupun batin iaitu niat.”

Imam Ahmad dan Imam Syafi’I berkata:

“Dalam hadis ini mengandungi 1/3 ilmu. Kerana usaha seseorang itu adalah samada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”

Para ulama gemar memulakan kitab dan penulisan mereka dengan hadis ini. Ia bertujuan mengingatkan para penuntut ilmu supaya mengikhlaskan niat mereka kepada Allah SWT.

Apakah Sebab Keluar Hadis Ini?

Imam at-Tobrani meriwayatkan dari rantaian perawi yang dipercayai bahawa Ibnu Mas’ud RA berkata:

“Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai Penghijrah Ummu Qais.”

Pengajaran Hadis Buat Kita:

1. Ulamak bersepakat bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak (tidak diberi pahala) kecuali disertai niat dalam melakukannya.

2. Niat adalah salah satu rukun dalam Ibadah Langsung (al-Ibadah al-Maqsudah) seperti Solat, Haji dan Puasa. Tidak sah jika melakukannya dengan tidak disertai dengan niat.

3. Bagi Ibadah Tidak Langsung seperti wudhu’ dan mandi pula, berlaku perselisihan pendapat. Mazhab Hanafi berpendapat niat sebagai syarat sempurna sahaja. Manakala Mazhab Syafi’I dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga menjadi syarat sah.

4. Waktu bagi niat adalah di permulaan ibadah. Contohnya takbiratul ihram untuk Solat dan ihram dalam ibadah Haji. Bagi Puasa, memadai sebelum bermulanya puasa.

5. Tempat niat adalah di hati. Maka, tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Namun, disunatkan berlafaz jika dapat memudahkan hati mengingati apa yang ingin diniatkan.

6. Disyaratkan juga menentukan perkara yang diniatkan dan membezakan dengan perkara yang lain. Contohnya Solat Zohor atau Asar, Puasa nazar atau puasa ganti.

7. Implikasi hadis ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang berniat melakukan amal soleh, namun terhalang kerana keuzuran (seperti sakit atau mati), maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya.

8. Hadis ini membimbing kita supaya sentiasa ikhlas dalam amal ibadah, sehingga kita mendapat pahala di akhirat dan mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

9. Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadah apabila disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Contohnya belajar, bekerja, makan dan minum, beriadah dan sebagainya.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk kita semua!

Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto