Thursday, 30 June 2011

Tafsir Surah An-Naas


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Naas. Ia merupakan surah pendek yang sering kita ulangi dalam bacaan solat. 

Namun, tahukah anda bahawa surah ini begitu penting dan bermakna sekali? Mari kita lihat!

Kenali Surah An-Naas:

Ia merupakan surah yang ke 114 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 6 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu'awwizatain (ada lafaz Al-Isti'azah: Aku berlindung dengan…) di dalam Al-Quran.

Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...


(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia." (4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."

Apakah Kelebihan Surah Ini?

Dari ‘Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

Apakah kamu tidak melihat bahawa ada ayat diwahyukan kepadaku pada malam ini yang belum pernah dilihat sebelum ini? “Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzubirabbin naas." (HR Muslim)

Dari Aisyah RA: 

Bahawa setiap kali Rasulullah menderita sakit, Baginda akan membaca Mu`awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) pada dirinya sendiri dan meniupkan (pada badannya). Jika rasa sakit kian bertambah, Aisyah berkata bahawa beliau akan membacakan Mu`awwizatain pada Baginda serta mengunakan tangan baginda untuk mengusapnya ke seluruh badan bagi mengambil berkat dari kedua Surah itu." (HR Bukhari dan Abu Daud)

Dari Abu Sa'id RA:

Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu'awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa'i) 


Makna Perkataan:


Tafsir Ayat 1 - 3:

(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia."

Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar mengatakan bahawa baginda berserah dan berlindung hanya kepada Allah SWT, agar Dia menjaga daripada kejahatan yang dibisikkan.

Juga berlindung kepada Allah SWT; Tuhan manusia yang menjaga dan memelihara mereka ketika mereka masih kanak-kanak dan lemah. Allah SWT adalah Pemilik dan Peguasa segala urusan dan situasi manusia, Raja Yang Menguasai manusia. 

Dia-lah Tuhan dan manusia adalah hamba-Nya. Hanya Dia-lah Yang layak Disembah, Yang diberi Ketundukan dan Tumpuan. Dia mencipta manusia dan menjaga mereka; hanya kepada-Nya kita meminta bantuan dan pertolongan.

Tafsir Ayat 4 - 6:

(4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."

Manusia berserah kepada-Nya daripada kejahatan pembisik-pembisik jiwa yang menghiaskan perbuatan buruk menjadi baik. Bisikan-bisikan ini akan berpaling jika ia dihalang.

Pembisik-pembisik tersebut berada di kalangan jin dan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata (iaitu tentera Iblis dan suku sakatnya). Juga di kalangan manusia (iaitu teman-teman yang jahat).

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!


Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi

Hadis 1: Niat dan Ikhlas

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis Pertama di dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah.  Hadis ini sangat masyhur dan mempunyai banyak implikasi dalam kehidupan kita seharian.

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Makna Perkataan:


Kenapa Hadis Ini Penting?

Sesungguhnya hadis ini adalah di antara hadis penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hukum hakam Islam bersandarkan kepada hadis ini.

Imam Abu Daud berkata:

“Sesungguhnya hadis ini, iaitu hadis bahawasanya segala amalan itu dengan niat adalah separuh daripada Islam. Kerana ad-Din itu dua perkara, samada ianya perkara zahir iaitu amalan, ataupun batin iaitu niat.”

Imam Ahmad dan Imam Syafi’I berkata:

“Dalam hadis ini mengandungi 1/3 ilmu. Kerana usaha seseorang itu adalah samada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”

Para ulama gemar memulakan kitab dan penulisan mereka dengan hadis ini. Ia bertujuan mengingatkan para penuntut ilmu supaya mengikhlaskan niat mereka kepada Allah SWT.

Apakah Sebab Keluar Hadis Ini?

Imam at-Tobrani meriwayatkan dari rantaian perawi yang dipercayai bahawa Ibnu Mas’ud RA berkata:

“Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai Penghijrah Ummu Qais.”

Pengajaran Hadis Buat Kita:

1. Ulamak bersepakat bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak (tidak diberi pahala) kecuali disertai niat dalam melakukannya.

2. Niat adalah salah satu rukun dalam Ibadah Langsung (al-Ibadah al-Maqsudah) seperti Solat, Haji dan Puasa. Tidak sah jika melakukannya dengan tidak disertai dengan niat.

3. Bagi Ibadah Tidak Langsung seperti wudhu’ dan mandi pula, berlaku perselisihan pendapat. Mazhab Hanafi berpendapat niat sebagai syarat sempurna sahaja. Manakala Mazhab Syafi’I dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga menjadi syarat sah.

4. Waktu bagi niat adalah di permulaan ibadah. Contohnya takbiratul ihram untuk Solat dan ihram dalam ibadah Haji. Bagi Puasa, memadai sebelum bermulanya puasa.

5. Tempat niat adalah di hati. Maka, tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Namun, disunatkan berlafaz jika dapat memudahkan hati mengingati apa yang ingin diniatkan.

6. Disyaratkan juga menentukan perkara yang diniatkan dan membezakan dengan perkara yang lain. Contohnya Solat Zohor atau Asar, Puasa nazar atau puasa ganti.

7. Implikasi hadis ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang berniat melakukan amal soleh, namun terhalang kerana keuzuran (seperti sakit atau mati), maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya.

8. Hadis ini membimbing kita supaya sentiasa ikhlas dalam amal ibadah, sehingga kita mendapat pahala di akhirat dan mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

9. Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadah apabila disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Contohnya belajar, bekerja, makan dan minum, beriadah dan sebagainya.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk kita semua!

Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto

10 Muwasofat Fardi Muslim

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah pada entri kali ini, kita akan berbincang tentang 10 Muwasofat Fardi Muslim (Ciri-ciri Peribadi Muslim). Apakah 10 Muwasofat Fardi Muslim ini?

Baiklah, jika kita andaikan Tarbiyah itu sebagai sebuah kilang pemprosesan, maka bahan mentahnya ialah manusia biasa (mutarabbi) dan produknya pula adalah manusia (mutarabbi) yang bercirikan 10 Muwasofat Fardi Muslim ini!


10 Muwasofat Fardi Muslim:
 
Ciri-ciri yang ingin dibina tersebut ialah:

1. Akidah yang Sejahtera (سليم العقيدة):

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia". (Al-Ikhlas 112 : 1-4)


2. Ibadah yang Benar (صحيح العبادة):

Firman Allah SWT (yang bermaksud): 

Katakanlah: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam." (Al An’am 6:162)


3. Akhlak yang Mantap (متين الخلق):

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):
  
“Sesungguhnya aku diutuskan hanya untuk menyempurnakan Akhlak.” (HR Al-Bukhari)


4. Mampu Bekerja (قادر على الكسب):

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Terus-menerus seseorang itu suka meminta-minta kepada orang lain hingga pada hari kiamat dia datang dalam keadaan di wajahnya tidak ada sepotong dagingpun.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)


5. Luas Pengetahuan (مثقف الفكر):

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

“…nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadalah :58 11)


6. Fizikal yang Cergas (قوي الجسم):

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah…” (HR Bukhari)


7. Menguasai Dirinya (مجاهد لنفسه):

Firman Allah SWT (yang bermaksud): 

“Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf 12: 53)

8. Teratur Urusannya (منظم في شؤونه):

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr 59: 18)


9.  Menghargai Masa (حريص على وقته):

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Al-’Ars 103 : 1-3)


10. Bermanfaat Kepada Orang Lain (نافع لغيره):

Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” (HR Bukhari)

Begitulah 10 ciri-ciri yang menjadi fokus utama dalam proses Tarbiyah Islamiyah. Setiap ciri ini pula mempunyai perinciannya masing-masing mengikut marhalah (peringkat) yang tertentu. 

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

Dan katakanlah: "Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.” (Al-Isra’ 17: 80)

Wallahu a'lam.

Semoga bermanfaat! ^_~

Wednesday, 29 June 2011

Selamat Datang ke Jom Tarbiyah!

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang memberikan ruang dan peluang kepada kami untuk menzahirkan blog ini.

Sebenarnya idea untuk menghasilkan sebuah blog bertemakan Tarbiyah, keMurabbian dan hal-hal yang sewaktu dengannya memang sudah lama dibincangkan. Namun, atas kesibukan masing-masing, idea tersebut tertangguh buat seketika.  

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa semua, akhirnya di sela-sela kesibukan itu dikurniakan-Nya kesempatan yang berharga ini. 

Sememangnya laman yang bertemakan Dakwah, Tarbiyah dan kemurabbian telah banyak di alam maya, dan kehadiran blog ini (insya Allah) akan memeriahkan lagi arena Dakwah dan Tarbiyah kita.

Tema blog ini ialah "Jom Tarbiyah Online", jadi isi kandungannya (insyaAllah) akan memuatkan bahan-bahan dan panduan Tarbiyah yang asasi buat para Murabbi/Mutarabbi. 

Para pengunjung bebas mengambil manfaat (copy - paste - share) daripada blog ini tanpa perlu meminta kebenaran, cuma  mohon kerjasama untuk menyertakan bersama link blog ini (http://jomtarbiyah.blogspot.com/).

Setakat itu sahaja untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk semua!

Firman Allah SWT (yang bermaksud):

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.”
(Al-Maidah 5: 35)

Wallahu a'lam.

Jom Tarbiyah Online