Showing posts with label Tafsir. Show all posts
Showing posts with label Tafsir. Show all posts

Wednesday, 6 July 2011

Tafsir Surah An-Nashr

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Nashr. Marilah kita bersama  mengambil manfaat daripada perbincangan ini!

Kenali Surah An-Nashr:

Ia merupakan surah ke-110 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Madaniyyah dan mengandungi 3 ayat. Kandungannya membawa berita gembira untuk Nabi SAW dan para sahabatnya tentang kemenangan dakwah.

Juga mengisyaratkan hampirkan masa kewafatan Nabi SAW, iaitu setelah kemenangan diraih, misinya telah sempurna dan akan dijemput kembali mengadap Ilahi. Beberapa orang  Sahabat RA yang mengerti hakikat ini terus menangis. 

Baiklah, surah tersebut berbunyi begini...


(1). "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan." (2). "Dan engkau lihat ramai manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun." (3). "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat." 

Apakah Sebab Turunnya Surah Ini?

Nabi SAW amat prihatin agar manusia beriman khususnya orang Quraisy dan Arab. Sebagai manusia, Baginda tidak mengetahui perkara ghaib. Lantaran itu, Baginda merasa sedikit bimbang dan resah tentang dakwahnya.

Surah ini diturunkan untuk menggembirakan dan mengingatkan Baginda bahawa perasaan itu perlulah dijauhi. Kebimbangan dan keresahan ini termasuk dalam perbincangan:

“Kebaikan golongan Al-Abrar (orang yang berbuat baik) adalah keburukan bagi golongan Al-Muqarrabin (orang yang mendampingi Allah).”

Dan juga “Perkara yang baik di sisi kamu merupakan perkara cela (dosa kecil) pada orang lain.”

Maka, perkara tersebut diterima untuk dipohon keampunan (istighfar) kerananya. 

Makna Perkataan:


Tafsir Ayat 1-2:

(1). "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan." (2). "Dan engkau lihat ramai manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun."

Allah SWT mengkhabarkan berita gembira bahawa Dia akan turunkan bantuan kepada Nabi SAW dan para Sahabat serta kemenangan kepada Islam.

Apabila datang bantuan dan dukungan Allah SWT, maka ia pasti berlaku. Kota-kota yang terkunci rapat akan dibuka kehendak-Nya. Kamu akan melihat manusia berpusu-pusu masuk ke dalam Islam.  

Tafsir Ayat 3:

(3). "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat."

Maka, arahan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan para Sahabat RA adalah:

1. Setelah kemenangan itu berlaku, ia mestilah dibalas dengan syukur dan pujian kepada Allah SWT dengan pujian yang layak bagi-Nya.

2. Bertasbihlah memuji perbuatan-Nya yang mulia serta sucikanlah Dia sepadan dengan sifat dan nama-Nya yang agung.

3. Beristighfarlah kepada-Nya atas segala kejahatan yang dilakukan kerana Dia Maha Mengetahui apa yang dilakukan hamba lagi Maha Pengampun. 

Wallahu a'lam. Semoga kemenangan Islam yang diimpikan itu menjadi kenyataan, insya Allah!


Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi

Monday, 4 July 2011

Tafsir Surah Al-Ikhlas

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah Al-Ikhlas. Surah ini pendek, namun merupakan asas penting kepada kita dalam mentauhidkan Allah SWT.

Kenali Surah Al-Ikhlas:

Ia merupakan surah yang ke-112 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 4 ayat. Surah ini mengesakan dan menyucikan Allah SWT. Ia juga menjadi asas dan tonggak utama dalam Akidah Islam.

Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...


(1) "Katakanlah (ya Muhammad), Dia-lah Allah yang Esa." (2). "Allah itu tempat meminta." (3). "Tidak beranak dan tidak diperanakkan." (4). "Dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya."

Apakah Kelebihan Surah Ini?

Daripada Abu Said al-Khudori RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada para Sahabat RA:

"Tiadakah seorang daripada kamu yang mampu membaca sepertiga Al-Quran dalam semalam?" Mereka menjawab: "Siapakah yang mampu ya Rasulullah?" Baginda SAW menjawab: “Allahu Ahad, As-Somad merupakan sepertiga Al-Quran!" (HR Bukhari)

Surah ini sama dengan sepertiga Al-Quran. Ini kerana terdapat 3 asas umum dalam Al-Quran iaitu Tauhid, Batas-batas Perlakuan Makhluk dan Perihal Kiamat.

Makna Perkataan:


Tafsir Ayat 1:
(1) "Katakanlah (ya Muhammad), Dia-lah Allah yang Esa." 

Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar menegaskan bahawa Allah itu Esa, melalui berita yang pasti serta disokong dengan kebenaran dan bukti yang tidak diragui lagi.

Allah Esa pada Zat-Nya: Tidak berkomponen atau berbilang-bilang. Allah Esa pada Sifat-Nya: Tiada makhluk yang menyerupai sifat-Nya. Allah Esa pada Perbuatan-Nya: Tiada perbuatan makhluk yang mampu menandingi atau hampir-hampir menyerupai perbuatan-Nya.

Lafaz “Dia-lah" bertujuan memperingatkan sejak awal akan kepentingan perbincangan yang hendak dibawa selepas itu (merupakan isu terpenting dan sangat menarik, tentang Allah SWT). Manusia diajak agar memperhatikan apa yang akan dinyatakan selepas ayat itu.

Tapi, mengapa digunakan lafaz nakirah (الله أحد) dan tidak digunakan lafaz ma’rifah (الله الأحد)?

Tujuan ayat ini adalah untuk buktikan Allah Taala itu Esa dan zat-Nya tidak berbilang-bilang. Jika guna lafaz ma’rifah, ayat itu akan difahami sebagai: “Mereka memang beriktikad dengan keesaan, namun ragu-ragu untuk mensabitkan keesaan itu pada Allah.”

Oleh itu, lafaz nakirah (Allah Yang Esa) itu jelas menafikan iktikad Tuhan itu berbilang-bilang.

Tafsir Ayat 2:
(2). "Allah itu tempat meminta."

Tiada siapa yang dapat mengatasi Allah SWT dan Dia tidak perlukan sesiapa, bahkan semua makhluklah yang memerlukan-Nya.

Hanya kepada-Nya tempat makhluk berserah ketika dalam kesusahan atau sedang menghadapi krisis. Sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Berkah.

Tafsir Ayat 3:
(3). "Tidak beranak dan tidak diperanakkan."

Ayat ini membersihkan Allah SWT daripada sifat diperanakkan.

Seorang anak, ketika kecilnya memerlukan bantuan dan pemeliharaan kedua ibubapanya. Ia tidak berupaya berjalan sendiri, malah untuk makan juga perlu disusui ibunya.

Maka, amat penting untuk menafikan Allah SWT daripada diperanakkan. Ia amat mustahil!

Ayat ini juga menolak dakwaan orang-orang Musyrik: bahawa para malaikat itu anak perempuan Allah; Yahudi: bahawa Uzair anak Allah; Kristian: bahawa Nabi Isa AS anak Allah (yang disembah seperti mereka menyembah Allah SWT).

Tafsir Ayat 4:
(4). "Dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya."

Selagi Allah SWT itu Esa pada zat-Nya, tidak berbilang-bilang dan tidak menjadi bapa atau anak, sudah pasti mustahil ada yang akan menyerupai-Nya.

Sesungguhnya tiada makhluk yang sama, setara atau bersekutu dengan-Nya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi

Friday, 1 July 2011

Tafsir Surah Al-Falaq

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Falaq. Surah ini pendek dan selalu kita baca dalam solat. Namun, seperti Surah An-Naas, ia juga sangat releven dengan kehidupan kita pada hari ini.

Kenali Surah Al-Falaq:

Ia merupakan surah yang ke-113 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 5 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu'awwizatain (ada lafaz Al-Isti'azah: Aku berlindung dengan…) di dalam Al-Quran.

Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...


(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan Tuhan yang menjadikan belahan." (2) "Dari kejahatan makhluk yang Dia jadikan." (3) "Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita." (4) "Dan daripada kejahatan wanita-wanita (tukang sihir) yang menghembus (jampi) pada simpulan-simpulan." (5) "Dan daripada orang yang dengki apabila dia telah dengki."

Apakah Kelebihan Surah Ini? 

Dari ‘Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

Apakah kamu tidak melihat bahawa ada ayat diwahyukan kepadaku pada malam ini yang belum pernah dilihat sebelum ini? “Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzubirabbin naas." (HR Muslim)

Dari Aisyah RA: 

Bahawa setiap kali Rasulullah menderita sakit, Baginda akan membaca Mu`awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) pada dirinya sendiri dan meniupkan (pada badannya). Jika rasa sakit kian bertambah, Aisyah berkata bahawa beliau akan membacakan Mu`awwizatain pada Baginda serta mengunakan tangan baginda untuk mengusapnya ke seluruh badan bagi mengambil berkat dari kedua Surah itu." (HR Bukhari dan Abu Daud)

Dari Abu Sa'id RA:

Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu'awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa'i) 

Makna Perkataan: 


Tafsir Ayat 1 -3:

(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan Tuhan yang menjadikan belahan." (2) "Dari kejahatan makhluk yang Dia jadikan." (3) "Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita."

Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar mengatakan bahawa baginda berlindung dengan Tuhan semua makhluk, samada dari makhluk yang terbit dari belahan bumi atau langit.

Baginda berlindung dari segala kejahatan dan peyakit yang menimpa diri, keluarga, dakwah dan teman-teman. Juga berlindung daripada kejahatan malam apabila ia gelap gelita dan menyelubungi kehidupan. 

Kerana kegelapan malam itu, menjadi pembuka tirai kepada semua penceroboh yang jahat.



Tafsir Ayat 4 -5:

(4) "Dan daripada kejahatan wanita-wanita (tukang sihir) yang menghembus (jampi) pada simpulan-simpulan." (5) "Dan daripada orang yang dengki apabila dia telah dengki."

Allah SWT menyuruh agar berlindung dengan-Nya daripada jampi-jampi serapah yang dihembuskan pada simpulan-simpulan. 

Juga boleh ditafsirkan sebagai: "Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan manusia pengadu domba yang memutuskan ikatan kasih sayang."

Ini kerana, manusia pengadu domba berusaha sekuatnya untuk menimpakan keburukan terhadap orang yang didengkinya.Tiada jalan untuk melepaskan diri daripadanya kecuali berserah kepada Allah agar Dia melindungi kita daripada segala kejahatan.

Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa di atas segala perkara, termasuklah menjaga kita dari segala mara bahaya.

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!


Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi

Thursday, 30 June 2011

Tafsir Surah An-Naas


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Tafsir Surah An-Naas. Ia merupakan surah pendek yang sering kita ulangi dalam bacaan solat. 

Namun, tahukah anda bahawa surah ini begitu penting dan bermakna sekali? Mari kita lihat!

Kenali Surah An-Naas:

Ia merupakan surah yang ke 114 dalam Al-Quran, termasuk kategori surah Makkiyah dan mengandungi 6 ayat. Ia juga merupakan salah satu daripada 2 surah Mu'awwizatain (ada lafaz Al-Isti'azah: Aku berlindung dengan…) di dalam Al-Quran.

Baiklah, Surah tersebut berbunyi begini...


(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia." (4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."

Apakah Kelebihan Surah Ini?

Dari ‘Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

Apakah kamu tidak melihat bahawa ada ayat diwahyukan kepadaku pada malam ini yang belum pernah dilihat sebelum ini? “Qul a’uzubirabbil falaq dan Qul a’uzubirabbin naas." (HR Muslim)

Dari Aisyah RA: 

Bahawa setiap kali Rasulullah menderita sakit, Baginda akan membaca Mu`awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) pada dirinya sendiri dan meniupkan (pada badannya). Jika rasa sakit kian bertambah, Aisyah berkata bahawa beliau akan membacakan Mu`awwizatain pada Baginda serta mengunakan tangan baginda untuk mengusapnya ke seluruh badan bagi mengambil berkat dari kedua Surah itu." (HR Bukhari dan Abu Daud)

Dari Abu Sa'id RA:

Bahawa Rasulullah SAW sentiasa meminta perlindungan daripada kejahatan Jin dan Manusia. Namun, setelah Mu'awwizatain (An-Naas dan Al-Falaq) diturunkan, Baginda telah menggunakan keduanya sebagai perlindungan dan meninggalkan selainnya. (HR Tirmidzi dan An-Nasa'i) 


Makna Perkataan:


Tafsir Ayat 1 - 3:

(1) Katakanlah (ya Muhammad): "Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara Manusia." (2) "Raja (yang menguasai) sekalian manusia." (3) "Tuhan sekalian manusia."

Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar mengatakan bahawa baginda berserah dan berlindung hanya kepada Allah SWT, agar Dia menjaga daripada kejahatan yang dibisikkan.

Juga berlindung kepada Allah SWT; Tuhan manusia yang menjaga dan memelihara mereka ketika mereka masih kanak-kanak dan lemah. Allah SWT adalah Pemilik dan Peguasa segala urusan dan situasi manusia, Raja Yang Menguasai manusia. 

Dia-lah Tuhan dan manusia adalah hamba-Nya. Hanya Dia-lah Yang layak Disembah, Yang diberi Ketundukan dan Tumpuan. Dia mencipta manusia dan menjaga mereka; hanya kepada-Nya kita meminta bantuan dan pertolongan.

Tafsir Ayat 4 - 6:

(4) "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi." (5) "Yang membisikan (kejahatan) ke dalam dada (hati) manusia." (6) "Daripada bangsa jin dan manusia."

Manusia berserah kepada-Nya daripada kejahatan pembisik-pembisik jiwa yang menghiaskan perbuatan buruk menjadi baik. Bisikan-bisikan ini akan berpaling jika ia dihalang.

Pembisik-pembisik tersebut berada di kalangan jin dan makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata (iaitu tentera Iblis dan suku sakatnya). Juga di kalangan manusia (iaitu teman-teman yang jahat).

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!


Rujukan:
Tafsir Al-Wadhih Juz 30, Dr Muhammad Mahmud Hijazzi