Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

Saturday, 2 July 2011

Hadis 3: Rukun-rukun Islam

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis ke-3 dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah. Hadis ini tidaklah terlalu panjang, namun penting kerana meliputi tonggak-tonggak dalam agama Islam.

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;

“Islam dibina di atas 5 perkara; Penyaksian bahawa tiada Tuhan (Ilah) melainkan Allah dan Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan Solat, menunaikan Zakat, mengerjakan Haji ke Baitullah dan Puasa bulan Ramadhan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Makna Perkataan:


Kenapa Hadis Ini Penting?

Hadis ini sangat agung kerana ia merupakan salah satu daripada kaedah Islam dan menghimpunkan hukum hakamnya.

Di dalamnya terdapat pengenalan kepada agama dan persoalan-persoalan yang berhubung dengannya serta himpunan rukun-rukunnya.

Rukun-rukun ini terdapat nasnya di dalam al-Quran.

Pengajaran Hadis Buat Kita

1. Rasulullah SAW mengumpamakan Islam yang dibawanya dengan binaan kukuh yang tegak di atas asas dan dasar yang tetap lagi mantap.

2. Baginda menjelaskan bahawa dasar pembinaan Islam tersebut adalah:

i) Mengucap Dua Kalimah Syahadah:

Makna syahadah ini ialah mengakui kewujudan Allah SWT dan keesaan-Nya serta membenarkan kenabian Muhammad SAW dan Risalahnya.

Rukun ini umpama asas jika dinisbahkan dengan rukun-rukun yang lain.

Dengannya, seseorang terkeluar dari daerah kekufuran dan melayakkannya memasuki Syurga seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyebut La ilaaha illallah dengan penuh keikhlasan, nescaya dia akan masuk syurga.” (HR al-Bazzar)

ii) Mendirikan Solat.

Yang dikehendaki adalah menjaga Solat dan mendirikannya dalam waktu, serta menyempurnakan syarat dan rukun, serta menjaga adab dan sunatnya.

Dengan menjaga kesemua aspek di atas, Solat akan memberikan kesan positif kepada diri Muslim seperti firman Allah SWT:

“…Dan dirikanlah Solat (dengan tekun), sesungguhnya Solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar…” (Al-Ankabut 29: 45)

Solat juga merupakan syiar dan tanda bagi seorang Mukmin, sabda Rasulullah SAW:

“Pemisah di antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan Solat.” (HR Muslim dan lainnya)

Sabda Baginda SAW lagi: “Solat itu tiang ad-Din.” (HR Abu Nua’im)

iii) Mengeluarkan Zakat.

Iaitu mengeluarkan bahagian tertentu daripada harta (yang cukup nisab dan memenuhi syarat-syarat wajib Zakat) kepada fakir miskin dan mereka yang berhak menerimanya.

Zakat adalah ibadah harta-benda. Dengannya akan terlaksana keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan kepapaan, serta melahirkan kasih-sayang, kemesraan dan rasa saling hormat-menghormati di antara sesama Muslimin.

Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang berusaha membersihkan harta mereka (dengan menunaikan Zakat harta itu).” (Al-Mukminuun 23: 4)

“Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya (menjadi) hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Al-Maarij 70: 24-25)

iv) Mengerjakan Haji di Baitullah.

Iaitu pergi ke Masjidil Haram pada bulan-bulan Haji (Syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah) bagi melaksanakan ibadah yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW.

Haji merupakan ibadah harta-benda dan tubuh badan. Ia memberi banyak manfaat kepada individu dan masyarakat.

Ia juga menjadi perhimpunan (muktamar) Islam yang terbesar dan peluang terbaik bagi seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia bertemu.

Ibadah Haji difardhukan pada tahun ke-6 Hijrah dengan turunnya firman Allah SWT:

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjaka ibadah Haji dengan mengunjugi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Ali Imran 3: 97)

“Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadah Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-bintang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Al-Hajj 22: 27-28)

v) Berpuasa di bulan Ramadhan.

Puasa pada bulan Ramadhan telah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, iaitu dengan turunnya firman Allah SWT:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu…” (Al-Hajj 22: 27-28)

Puasa adalah ibadah yang terdapat padanya perbersihan jiwa, ketinggian ruh, dan kesihatan tubuh badan.

Barangsiapa berpuasa kerana mematuhi suruhan Allah SWT dan menuntut keredhaan-Nya, maka ia (Puasa) merupakan penghapus keburukan dan menjadi sebab memasuki Syurga.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘alaih)


3. Sesiapa yang melakukan semua rukun ini, dia adalah Muslim yang sempurna Imannya.

i. Tapi, sesiapa yang yang meninggalkan semuanya, dia adalah kafir secara qat’ie (muktamad).

ii. Sesiapa yang mengengkari salah satu daripadanya, ulama’ bersepakat mengatakan bahawa dia bukanlah Muslim.

iii. Sesiapa beriktiqad (tentang kewajipan kesemuanya) namun mencuaikan salah satu daripadanya (selain Syahadah) kerana malas, maka dia adalah Fasiq.

iv. Sesiapa yang melakukannya dan hanya mengakuinya dengan lidah secara berpura-pura, maka dia adalah Munafiq.


4. Matlamat Ibadah di dalam Islam bukanlah gambaran dan bentuknya yang zahir sahaja, tetapi yang dikehendaki dengan Ibadah adalah tujuan, makna dan pelaksanaannya.

i. Oleh itu, tiada manfaat Solat yang tidak dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, serta Puasa yang pelakunya tidak dapat meninggalkan kemaksiatan. Begitu juga tidak diterima Zakat atau Haji yang dilakukan kerana riak dan inginkan kemasyhuran.

ii. Tetapi, tidak bererti kita boleh meninggalkan Ibadah jika tidak tercapai hasilnya. Yang dikehendaki adalah kita berusaha membawa diri agar ikhlas beribadah dan cuba mencapai segala tujuannya.


5. Akhir sekali, difahami daripada hadis ini bahawa Islam adalah Akidah dan Amalan. Tiada guna Amalan tanpa Iman, dan sebaliknya tiada guna Iman tanpa Amalan.

Wallahu a'lam. Selamat Beramal!

http://jomtarbiyah.blogspot.com/

Rujukan:
Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto





Friday, 1 July 2011

Hadis 2: Islam, Iman dan Ihsan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis ke-2 dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah. Ia juga dikenali sebagai Hadis Jibril. Hadis ini agak panjang dan membincangkan 3 asas utama dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan. 

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Juga daripada Umar RA, beliau berkata: 

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh, dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya, sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah SAW dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua pahanya.

Dia segera berkata, “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, kamu mendirikan Solat, mengeluarkan Zakat, dan menunaikan Haji jika kamu mampu mengerjakannya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” Kami merasa hairan terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.

Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Iman.” Lalu Baginda SAW bersabda, “Bahawa kamu beriman kepada Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, Hari Kiamat dan kamu beriman dengan ketentuan Baik dan Buruk-Nya.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” 

Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Ihsan.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Bahawa kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu.” Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!

Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Hari Kiamat.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak tahu bila berlakunya Hari Kiamat).” 

Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya.” Lalu Baginda menjawab, “Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya. Dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan.”

Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Wahai Umar, tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang ad-Din kamu.”

(HR Muslim)

Makna Perkataan.


Kenapa Hadis Ini Penting?

Ibnu Daqiq al-‘Iid berkata: 

“Hadis ini adalah hadis yang merangkumi semua amalan zahir dan batin. Ilmu-ilmu syariat semuanya merujuk dan lahir daripada hadis ini. Ia seperti ibu kepada sunnah kerana ia mengandungi himpunan ilmu-ilmu sunnah, seperti al-Fatihah dinamakan Ummul Quran kerana ia mengandungi himpunan pengertian al-Quran.”

Pengajaran Hadis Buat Kita:

1. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan kata-katanya.  

2.Digalakkan memakai pakaian yang bersih dan menggunakan bau-bauan yang harum untuk memasuki masjid serta menghadiri majlis ilmu. 

3. Kita perlu menjaga adab di dalam majlis ilmu dan ketika berhadapan dengan Guru/Murabbi. 

4. Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan menyerah kepada Allah SWT. Dari segi syarak bermaksud ad-Din yang dibina di atas 5 tunggak Rukun Islam iaitu: 

i) Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW itu Utusan Allah SWT.

ii) Mendirikan Solat dalam waktunya, dengan rukun dan syarat yang sempurna. Juga menjaga sunat dan adabnya.

iii) Mengeluarkan Zakat.

iv) Berpuasa pada bulan Ramadhan.

v) Menunaikan Haji sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan. 

5. Iman dari segi bahasa ialah at-Tasdiq (membenarkan). Dari segi syarak ialah Tasdiq yang Jazim (Keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap Rukun Iman: 

i) Kewujudan Allah Yang Maha Pencipta dan bahawa Allah itu Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya.

ii) Kewujudan makhluk Allah SWT iaitu para Malaikat-Nya dan mereka adalah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan. Mereka sentiasa taat dan patuh kepada setiap arahan-Nya.

iii) Kitab-kitab samawiyah yang diturunkan oleh Allah SWT. Kitab-kitab ini adalah syariat-Nya sebelum ia diseleweng dan diubah oleh tangan-tangan manusia.

iv) Para Rasul yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada makhluk-Nya. Mereka diberikan kitab-kitab samawiyah dan bersifat maksum (terpelihara dari dosa).

v) Hari Kiamat, iaitu hari Allah SWT membangkitkan manusia dari kubur dan memberi pengadilan terhadap amalan baik dan buruk mereka semasa hidup di dunia.

vi) Semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan taqdir (ketentuan) Allah SWT dan kehendak-Nya. Berdasarkan hikmah yang hanya diketahui oleh-Nya sahaja.  

6. Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kita ikhlas dalam beribadah kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka ingatlah bahawa Dia melihat segala perbuatan kita, kecil atau besar.  

7. Ilmu tentang masa berlakunya Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT. Dia tidak memberitahu kepada makhluk-Nya samada Malaikat mahupun para Rasul. 

8. Antara tanda-tanda yang menunjukkan dekatnya Kiamat ialah:

i) Berlakunya kerosakan akhlak di mana ramai anak derhaka dan menyanggahi orang tua mereka. Mereka memperlakukan keduanya seperti hamba, dan mereka sebagai tuannya.

ii) Terbalik dan bercampur baurnya urusan, sehingga sehina-hina manusia menjadi Raja dan Pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa dan harta. Mereka bermegah-megah dengan bangunan pencakar langit dan merasa bongkak terhadap makhluk.  

9. Seorang Muslim hendaklah bertanya mengenai perkara yang bermanfaat untuk dunia dan akhiratnya sahaja, serta meninggalkan soalan yang tidak berfaedah.

10. Jika kita menghadiri majlis ilmu dan merasakan bahawa hadirin perlu mengetahui suatu masalah, tapi tiada seorangpun yang bertanya, maka perlu kita bertanya tentang perkara tersebut meskipun telah mengetahuinya. Agar hadirin turut dapat mengambil manfaat.

11. Jika seseorang yang ditanya tentang sesuatu maka tidak ada cela baginya untuk berkata: “Saya tidak tahu” dan hal tersebut tidak mengurangkan kedudukannya.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk kita semua!


Rujukan:
Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto

Thursday, 30 June 2011

Hadis 1: Niat dan Ikhlas

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis Pertama di dalam Matan Arba'in An-Nawawiyah.  Hadis ini sangat masyhur dan mempunyai banyak implikasi dalam kehidupan kita seharian.

Mari kita ikuti perbincangannya!

Teks hadis ini berbunyai seperti berikut:


Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Makna Perkataan:


Kenapa Hadis Ini Penting?

Sesungguhnya hadis ini adalah di antara hadis penting yang menjadi paksi kepada putaran Islam. Ia adalah asas kepada Islam. Kebanyakan hukum hakam Islam bersandarkan kepada hadis ini.

Imam Abu Daud berkata:

“Sesungguhnya hadis ini, iaitu hadis bahawasanya segala amalan itu dengan niat adalah separuh daripada Islam. Kerana ad-Din itu dua perkara, samada ianya perkara zahir iaitu amalan, ataupun batin iaitu niat.”

Imam Ahmad dan Imam Syafi’I berkata:

“Dalam hadis ini mengandungi 1/3 ilmu. Kerana usaha seseorang itu adalah samada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”

Para ulama gemar memulakan kitab dan penulisan mereka dengan hadis ini. Ia bertujuan mengingatkan para penuntut ilmu supaya mengikhlaskan niat mereka kepada Allah SWT.

Apakah Sebab Keluar Hadis Ini?

Imam at-Tobrani meriwayatkan dari rantaian perawi yang dipercayai bahawa Ibnu Mas’ud RA berkata:

“Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwini perempuan tersebut. Maka kami menamakannya sebagai Penghijrah Ummu Qais.”

Pengajaran Hadis Buat Kita:

1. Ulamak bersepakat bahawa setiap amalan yang dilakukan oleh Mukmin yang mukallaf tidak dikira dari sudut syarak (tidak diberi pahala) kecuali disertai niat dalam melakukannya.

2. Niat adalah salah satu rukun dalam Ibadah Langsung (al-Ibadah al-Maqsudah) seperti Solat, Haji dan Puasa. Tidak sah jika melakukannya dengan tidak disertai dengan niat.

3. Bagi Ibadah Tidak Langsung seperti wudhu’ dan mandi pula, berlaku perselisihan pendapat. Mazhab Hanafi berpendapat niat sebagai syarat sempurna sahaja. Manakala Mazhab Syafi’I dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga menjadi syarat sah.

4. Waktu bagi niat adalah di permulaan ibadah. Contohnya takbiratul ihram untuk Solat dan ihram dalam ibadah Haji. Bagi Puasa, memadai sebelum bermulanya puasa.

5. Tempat niat adalah di hati. Maka, tidak disyaratkan berlafaz dengan niat tersebut. Namun, disunatkan berlafaz jika dapat memudahkan hati mengingati apa yang ingin diniatkan.

6. Disyaratkan juga menentukan perkara yang diniatkan dan membezakan dengan perkara yang lain. Contohnya Solat Zohor atau Asar, Puasa nazar atau puasa ganti.

7. Implikasi hadis ini juga menerangkan bahawa sesiapa yang berniat melakukan amal soleh, namun terhalang kerana keuzuran (seperti sakit atau mati), maka dia diberi pahala berdasarkan niatnya.

8. Hadis ini membimbing kita supaya sentiasa ikhlas dalam amal ibadah, sehingga kita mendapat pahala di akhirat dan mendapat taufik serta kejayaan di dunia.

9. Setiap amalan yang bermanfaat dan baik akan menjadi ibadah apabila disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Contohnya belajar, bekerja, makan dan minum, beriadah dan sebagainya.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk kita semua!

Al-Wafi: Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto